Sunday, January 11, 2009

KEBEBASAN AKADEMIK DI MALAYSIA : APA HALA TUJUNYA?



Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 atau lebih dikenali sebagai AUKU bukanlah suatu undang-undang yang begitu asing di dalam sistem pendidikan tinggi di Malaysia. Akta ini yang diperkenalkan Dr. Mahathir Mohamad ketika itu sebagai Menteri Pelajaran bertujuan untuk mengekang demonstrasi jalanan dan pengaruh sosialisme di dalam persatuan-persatuan pelajar khususnya di Universiti Malaya ketika itu-. Namun demikian, jika disorot sejarah AUKU ini, persoalan kebebasan berpolitik yang sering diwar-warkan mahasiswa lebih mendapat fokus berbanding kebebasan akademik termasuklah kebebasan bersuara di kalangan ahli-ahli akademik. Hatta, pindaan AUKU yang bakal di perdebatkan pada sesi Parlimen akan datang juga terarah kepada kebebasan mahasiswa berbanding ahli-ahli akademik.

Kebebasan akademik di dalam universiti bukan satu istilah yang janggal dalam konteks dunia hari ini. Ia bergerak seiring dengan kebebasan bersuara dan menyampaikan idea khususnya dalam diskusi-diskusi intelektual yang melibatkan ahli akademik. Persoalannya, sejauh mana ahli-ahli akademik universiti di Malaysia mendapat autonomi dan keistimewaan ini? Kedua, adakah wajar mempertimbangkan kebebasan mahasiswa itu lebih berbanding persoalan kebebasan akademik di Malaysia sedangkan kedudukan universiti Malaysia di kalangan kelas dunia masih jauh di belakang.

Perjuangan kebebasan akademik adalah sesuatu yang baru berbanding kebebasan hak asasi yang lain. Contohnya, walaupun idea berhubung kebebasan bersuara telah mula mendapat tempat ketika Revolusi Perancis tetapi idea berhubung kebebasan akademik hanya bermula sekitar 1900 yang diperjuangkan ahli-ahli akademik ketika itu. Ini dibuktikan dengan rentetan sejarah pada tahun 1898 dimana seorang Profesor terkemuka di Universiti Sydney, George Arnold Wood telah dihukum Senat disebabkan kelantangannya menentang Peperangan Boer. Setelah itu, di dalam tahun 1921, Vere Gordon Childe telah dinafikan haknya dalam pelantikan di Universiti Queensland disebabkan pandangan politiknya yang berideologi sosialis tetapi dibuktikan di Universiti Edinburgh beliau menjadi pakar sejarah yang begitu terkenal di zamannya.

Persoalan kebebasan akademik ini seharusnya dilihat bersandarkan obligasi ahli-ahli akademik ini kepada masyarakat. Keperluan ini boleh dilihat bersandarkan tiga disiplin penting yang mengikat ahli akademik itu dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan penulisan. Ini kerana ahli-ahli akademik seharusnya diberikan ruang bersuara melalui ketiga-tiga disiplin terbabit. Tetapi kebebasan akademik yang diberikan pula perlulah dijunjung dengan tanggungjawab besar khususnya apabila mereka menulis, mengajar dan membuat sesuatu penyelidikan. Dan sebagai galang ganti, ahli-ahli akademik ini perlu menyampaikannya pula kepada masyarakat.

Walaupun begitu, andaikata ahli-ahli akademik ini disaman orang perseorangan atau masyarakat di luar atas kajian, tulisan beliau, wajarkah universiti mempertahankan hasil mereka ini? Oleh yang demikian, ahli-ahli akademik perlu memahami sumbangan idea terhadap masyarakat luar tidak pernah dihalang malah digalakkan tetapi ia perlu bersandarkan kepada penyelidikan berasaskan pengkhususan mereka.

Kebebasan akademik di Malaysia khususnya yang melibatkan ahli-ahli akademik jarang sekali diketengahkan dan mendapat perhatian media massa. Ini kerana bersandarkan seksyen 24D, Akta Universiti dan Kolej Universiti, ahli-ahli akademik ini turut dikategorikan sebagai kakitangan awam dan terikat dengan peraturan-peraturan yang dikenakan kepada kakitangan awam di badan-badan berkanun lain. Ini dapat dilihat khususnya di dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pindaan 2002.

Peraturan 19 menyatakan bahawa kakitangan awam ini dilarang membuat sebarang kenyataan kepada awam secara penulisan atau pun percakapan yang boleh menjatuhkan, mengagalkan dasar-dasar kerajaan. Justeru, sekiranya kajian atau penyelidikan yang dilaksanakan ahli-ahli akademik ini membuat kesimpulan berdasarkan perkara di atas maka perkara ini seharusnya tidak boleh dihebahkan kepada masyarakat.

No comments: