Saturday, April 18, 2009

Graduan Undang-Undang UUM

Berita Utama/News GRADUAN UNDANG-UNDANG UUM LAYAK JALANI LATIHAN DALAM KAMAR

16 APRIL 2009 / 20 RABIULAKHIR 1430H =============================== "UUM: UNIVERSITI PILIHAN UTAMA" (FIRST CHOICE UNIVERSITY) PROUUM ONLINE, 16 April: Graduan program Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM) kini layak menjalani latihan dalam kamar, apabila Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia memberi kelulusan tersebut minggu lalu. Penolong Naib Canselor UUM College of Law, Government and International Studies (UUM COLGIS) Prof Madya Dr Asmah Laili Yeon berkata, kelulusan itu membolehkan graduan UUM diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara. Bagaimanapun, katanya, semua graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian (LL.B) (Hons) UUM perlu menunggu sehingga keputusan itu diwartakan seperti termaktub dalam Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166). "Selepas pemberitahuan tersebut diwartakan dan berkuatkuasa yang dijangka dalam seminggu dua ini, para graduan Undang-Undang UUM dianggap sebagai 'orang yang berkelayakan' bagi maksud Akta 166 di mana graduan Undang-Undang UUM boleh menjalani latihan dalam kamar atau chambering. "Graduan UUM yang telah menamatkan pengajian mereka hanya perlu menunggu notifikasi daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang membuat notifikasi terlebih dahulu," katanya. Sebelum ini graduan Undang-Undang UUM tidak dibenarkan untuk menjadi peguambela atau peguamcara, walaupun Program Undang-Undang ini telah mendapat akreditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 26 Oktober 2007. Oleh sebab program profesional ini perlu menunggu kelulusan dari Lembaga Profesion Undang-Undang Malaysia, graduan sulung UUM tidak dibenarkan untuk membuat latihan dalam kamar, sekali gus tidak boleh menjadi peguam bela atau peguamcara. Dr Asmah berkata, kelulusan ini memberi kelegaan kepada graduan sulung yang dikeluarkan UUM tahun lalu dan pelajar Undang-Undang UUM. Dr Asmah berkata, kelulusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang ini memberi kelegaan kepada semua graduan, pelajar dan ibu bapa. "Pelajar, ibu bapa dan graduan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, Agensi Kelayakan Malaysia dan semua Jawatankuasa Pengiktirafan kerana meletakkan program undang-undang UUM setaraf dengan universiti lain. "Pihak Universiti berharap dengan kenyataan ini dapat menyelesaikan isu dan dilema berkaitan graduan Undang-Undang UUM yang menghadapi kesukaran dalam kerjaya bidang guaman," katanya. Habis.

Dengan ihsan dari http://www.umis.uum.edu.my/umis/content.jsp?id=17005&kod=1&desc=Berita%20Utama/News

1 comment:

CastWriter86 said...

TAHNIAH UUM!

You did your waiting already.

Kami di Universiti Sultan Zainal Abidin ("UniSZA") masih terus berjuang mendapatkan peluang yang sama.

http://llb-unisza.blogspot.com/