Wednesday, October 29, 2008

Memahami Pemikiran Orang Muda...

Keputusan pilihanraya umum yang ke 12 lalu, pastinya mencatatkan satu lagi lembaran baru dalam landskap politik tanahair. Sebahagian besar pengundi yang terdiri daripada golongan muda telah menterjemahkan hak demokrasi mereka melalui peti-peti undi. Natijahnya, Barisan Nasional yang menerajui kerajaan selama lebih 50 tahun telah dinafikan kuasa majoriti dua per tiga buat pertama kalinya dalam sejarah. Keputusan memeranjatkan itu seolah-olah memperlihatkan golongan muda memberi amaran ingin melihat perubahan dan suara mereka didengari.

Keajaiban ini bukan sahaja menyebabkan lima buah negeri jatuh di tangan pembangkang malahan Nurul Izzah Anwar yang turut di kenali dengan jolokan Puteri Reformasi telah menumbangkan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga di kawasan parlimen Lembah Pantai. Kejayaan ini pastilah di sambut dengan penuh syukur dan gembira golongan muda memandangkan Nurul Izzah baru sahaja berusia 27 tahun dan merupakan ahli Parlimen termuda bagi penggal kali ini.

Menyorot sejarah golongan muda di dalam badan perundangan negara ini pastinya masyarakat masih lagi mengingati nama Fong Po Kuan dari Parti Demokratik Rakyat Malaysia (DAP) yang turut menjadi ahli Yang Berhormat termuda ketika berusia 26 tahun di parlimen Batu Gajah. Peluang mengetengahkan calon golongan muda khususnya oleh parti-parti pembangkang akhirnya mendatangkan hasil. Keperluan golongan muda di dalam Parlimen bukan sesuatu yang asing bagi negara-negara maju. Sekadar menyebut beberapa contoh yang jelas seperti di Kanada bilamana Pierre Poilievre telah menjadi ahli termuda dalam Canadian House of Commons ketika berusia 24 tahun.

Selain itu, Malcolm Fraser dan Paul Keating baru berusia 25 tahun bilamana memenangi pilihanraya Australia pada tahun 1955 dan 1969. Begitu juga di Ireland yang mempunyai sejarah yang cukup panjang dalam meletakkan golongan muda menjadi ahli badan legislatif mereka. Kesediaan negara-negara sebegini meletakkan calon golongan muda seharusnya diteladani memandangkan masyarakat di dalam negara tersebut mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan muda dalam menjana idea yang konstruktif dan membina.

Sebenarnya keperluan meletakkan segelintir golongan muda dianggap perlu bagi menjamin kesinambungan kepimpinan negara di masa hadapan. Penghasilan bakat- bakat kepimpinan yang bermutu tinggi di dalam Majlis Perwakilan Pelajar di institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara seharusnya dijadikan platform awal untuk membolehkan golongan muda ini dilatih dan digilap bakatnya untuk mewakili golongan muda.

Ini penting kerana hanya pemimpin mahasiswa dan belia sahaja yang memahami aspirasi dan kehendak golongan mereka. Sekiranya, hasrat mereka diwakili dan direpresentasikan bukan dari golongan mereka pastinya ia adalah sesuatu yang janggal. Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang ditubuhkan kerajaan sejak 2001 dilihat kini kurang ‘berbisa’ bagi membenarkan golongan muda ini dari terus menyumbang idea dan pandangan. Kehendak golongan muda sebegini untuk terlibat di dalam politik negara juga pernah dizahirkan beberapa kali di dalam forum dan memorandum kepada kerajaan.

Antara contoh yang jelas adalah perjuangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti terhadap kongkongan mahasiswa dari berpartisipasi dengan kegiatan parti politik. AUKU yang digubal 1971 bukan sahaja mengikat malahan sebenarnya telah ‘membunuh’ kehidupan mahasiswa untuk menjadi golongan muda yang penuh dengan idealisme. Selain itu, jika diteliti memorandum yang dihantar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkaitan 13 Tuntutan Pelajar Islam dalam Pilihanraya Umum ke 12 juga menyebutkan dengan terang-terangan agar wakil generasi muda wajar dilantik sebagai Senator dalam Dewan Negara bagi mewakili hasrat mereka.

Seharusnya hasrat ini dilihat dalam ruang lingkup menjaga kepentingan dan pembinaan negara maju yang cukup panjang. Ini kerana golongan muda ini perlu diberikan peluang di dalam badan legislatif negara memandangkan kelompok ini juga mewakili sebahagian besar golongan mahasiswa dan belia di dalam negara ini yang telah menjadi pengundi.

Sekiranya kerajaan boleh melantik wakil senator yang terdiri daripada golongan istimewa, pesara, seniman dan sebagainya di dalam Dewan Negara mengapa tidak golongan muda yang terdiri daripada mahasiswa dan belia diberi hak yang sama. Keperluan meletakkan wakil mahasiswa atau belia di dalam badan perundangan itu kian mendesak apabila kini terdapat pelbagai isu yang menghujani generasi tersebut.

Isu- isu seperti kebejatan gejala sosial, hak mahasiswa di dalam universiti, PTPTN dan sebagainya akan memberikan ruang yang secukupnya bagi wakil mahasiswa yang dilantik membahaskan isu tersebut bersandarkan kaca mata mereka yang mendepani sendiri isu terbabit. Analoginya mudah bilamana orang lain yang makan buah durian tetapi orang lain yang menyatakan kelazatannya mengambarkan bagaimana golongan yang tidak pernah berhadapan secara realiti isu-isu diatas dapat berbahas dan membuat undang-undang dengan baik untuk golongan mahasiswa dan belia.

Justeru, kejayaan golongan muda seperti Yang Berhormat Fong Po Kuan dan Nurul Izzah Anwar dalam menjuarai isu golongan muda dan global hanyalah sebilangan kecil contoh golongan ini yang jauh lebih baik lagi dari segelintir ahli Yang Berhormat senior yang hanya sekadar menjadi pemerhati. Justeru, kerajaan seharusnya lebih bersikap terbuka khususnya pasca pilihanraya dalam menghalang ketirisan golongan muda dari terlibat dengan kegiatan berpolitik bagi mengelakkan ‘keajaiban’ pilihanraya umum ke 12 berulang kembali. Keputusan berani dan telus ini perlu bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali.

Golongan muda hari ini sudah cukup bijak untuk turut sama menyampaikan pendapat. Keperluan untuk berdemonstrasi seharusnya boleh diganti kerajaan dengan membenarkan golongan ini dilantik di Parlimen bagi membolehkan pendapat mereka disalurkan secara demokrasi. Kewujudan wakil golongan muda ini untuk belajar dan menimba pengalaman di tempat sebegini bukan sahaja akan dilihat satu lagi pengiktirafan kerajaan terhadap mereka malahan akan mengiktiraf kata-kata Prof DiRaja Ungku Aziz dalam buku ‘Mahasiswa Mengugat’ karya Mohamad Abu Bakar iaitu belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, berpengalaman (mencabar) dan terpelajar.

*Artikel ini telah disiarkan Dewan Masyarakat pada bulan Julai 2008 yang lalu.

No comments: