Thursday, March 19, 2009

Kira undi cara manual muktamad - Pemilihan Agung UMNO

Kira undi cara manual muktamad

PUTRAJAYA 19 Mac - Keputusan menggunakan sistem pengundian dan pengiraan undi secara manual pada pemilihan UMNO minggu depan adalah muktamad.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Jawatankuasa Pengurusan UMNO membuat keputusan itu setelah mendapat maklum balas bahawa sistem berkomputer yang diperkenalkan mendapat bantahan majoriti para perwakilan.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat kerana tidak mahu wujud sebarang keraguan di kalangan calon dan perwakilan terhadap proses pemilihan parti.

Menurutnya, walaupun sistem manual akan menyebabkan tempoh pemilihan mengambil masa, pihak pengurusan parti tetap akur dengan kehendak akar umbi.

"Kita akan undi ikut cara lama dan perkara ini sudah disahkan.

"Bila ada curiga di kalangan calon dan perwakilan walaupun sistem komputer ada ketelusan, maka kita putuskan ikut cara lama,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jumaat lalu, hampir 90 peratus wakil-wakil calon tidak bersetuju sistem berkomputer atau sistem imbasan digital diguna pakai pada pemilihan UMNO minggu depan.

Bantahan itu dibuat ketika sesi taklimat pengundian dan pengiraan undi untuk pemilihan Ahli Majlis Tertinggi dan sayap-sayap pergerakan bagi penggal 2008-2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat lalu.

Sebelum ini, UMNO telah memutuskan untuk menggunakan 40 mesin pengimbas Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam sistem pengundian berkomputer pada pemilihan parti kali ini.

Bagaimanapun, jelas Tengku Adnan, UMNO masih memperkenalkan elemen baru iaitu memaparkan gambar calon-calon pada kertas undi bagi memudahkan para perwakilan memilih serta memangkah.

Di kala politik kampus, semua IPTA disarankan menggunakan e-vote kumpulan di atas enggan mempercayai e-vote. Ibarat ibu ketam menyuruh anak ketam berjalan dengan betul. Penafian cukup senang bagi golongan di atas. Kalau mahasiswa macamana?

No comments: