Thursday, November 13, 2008

Ucapan YDP MPP Meraikan Minggu Haluan Siswa UUM 06/07


Assalamualaikum w.b.t

Pertama-tamanya sekali marilah kita merafaqkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, diberikan peluang dan ruang untuk menyampaikan sepatah dua kata bagi mewakili Persatuan Mahasiswa Universiti Utara Malaysia. Ini juga merupakan ucapan sulung saya di hadapan rakan-rakan mahasiswa. Selamat datang dan selamat menjadi mahasiswa UUM.



Rakan-rakan mahasiswa,

Persatuan Mahasiswa Universiti Utara Malaysia adalah persatuan yang diakui penubuhannya dibawah AUKU 1971 dan Perlembagaan Universiti yang menaungi hampir 20,000 mahasiswa dibawahnya. Dan setiap tahun melalui pilihan raya kampus yang sah, mahasiswa ini akan memilih 39 kerusi bagi mewakili fakulti dan umum bagi menganggotai kabinet PMUUM. Dengan tiga halatuju yang telah digariskan kabinet PMUUM tahun ini, kita telah mengagaskan 3 perkara utama yang akan menjadi tunjang kepada gerakan ini bergerak iaitu meningkat soft skill, kebajikan mahasiswa dan perpaduan.


Universiti kita telah berusia 21 tahun. Garapan pentadbiran universiti dahulu telah membuka jalan kemudahan dan kesenangan yang kita nikmati hari ini. Bangunan yang tersergam indah, landskap terbaik, infrastruktur terkini dan pelbagai lagi membuktikan usaha yang bersungguh-sungguh kerajaan dalam memastikan agenda pendidikan tinggi dapat direalisasikan. Ini dapat dilihat terhadap jumlah perbelanjaan kerajaan dalam membangunkan ipta di negara ini. Statistik KPT menunjukkan kos operasi dan pembangunan pada tahun 2004 berjumlah RM5269.10 juta ringgit meningkat bagi tahun 2005 sebanyak RM6089.4 juta ringgit. Peningkatan sebanyak 16 peratus.

Marilah kita sama-sama berfikir sejenak dan melafazkan rasa syukur terpilih dan menyambung pelajaran di dalam ipt ini. Kita harus rasa bertuah dan beruntung jika perbandingan di buat antara universiti di Indonesia dan Malaysia. Salah satu contoh adalah Universitas Sumatera Utara, setelah berusia 52 tahun barulah mendapat infrastruktur dan kemudahan seperti berada disini.


Hadirin sekalian,

Pengangguran dikalangan graduan IPTA dikatakan antara 50,000 hingga 80,000 menjadi buah mulut masyarakat. Kebimbangan ini dizahirkan bukan sahaja perbincangan di warung kopi di Changlun ini malahan juga ketika perbahasan di dalam Dewan perundang-undangan negara, Parlimen Malaysia.


PMUUM tidak menafikan pengangguran ini berpunca dari ketidakyakinan mahasiswa berkomunikasi dalam bahasa inggeris dan kurang mahir soft skill, justeru Mesyuarat pertama bersama Prof. Dato Dr. Hasan Said, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi telah bersepakat MPP IPTA tahun ini akan berusaha meningkatkan nilai tambah mahasiswa kita khususnya berkaitan softskill.


PMUUM mencadangkan dan menyarankan bagi meningkatkan ketidakyakinan penguasaan bahasa Inggeris, mahasiswa mahasiswi seharusnya mengambil inisiatif sendiri mendampingi guru-guru bahasa atau para pensyarah yang boleh berkomunikasi dengan menggunakan bahasa inggeris berasaskan sistem tutor 1-2, atau 1-1 selama 1-2jam dipejabat mereka. Kita memahami para pensyarah kita tidak pernah lokek ilmu khususnya dalam mengayakan ilmu demi meningkatkan penguasaan bahasa inggeris anak didik mereka. Dengan cara ini, universiti tidak perlu terbeban untuk menggajikan lebih banyak tutor atau pensyarah. Inilah sistem tutorial di University Oxford yg seharusnya kita implementasikan mengikut sitcon kita (situasi dan kondisi).


Umum mengetahui kita tidak mungkin menyaingi Oxford University yang telah berusia ratusan tahun berbanding universiti kita yang baru berusia 21 tahun. Tetapi sebagai mahasiswa sebuah ‘universiti pengurusan’, kita perlu melihat, menilai dan menganalisis kejayaan universiti diluar agar kejayaan universiti tersebut dapat diimplementasikan dalam universiti kita berasaskan kemampuan dan kreativiti kita.


Hadirin sekalian,

Universiti ini adalah pusat tradisi keilmuan yang berdiri megah, mengharapkan mahasiswa yang lahir disuntik dengan semangat yang gagah, bukan berasaskan senjata tajam yang ditegah tetapi menggunakan kebenaran ilmu yang tidak boleh disanggah.


Justeru, PMUUM mengharapkan mahasiswa mahasiswi tidak mentalkinkan budaya ilmu yang seharusnya terus subur dan membara disini. Tuntutlah pelbagai jenis ilmu dan janganlah menjumudkan diri kita dengan bidang pengajian kita. Biarlah graduan undang-undang yang lahir dari UUM memahami ilmu ekonomi, pengajian antarabangsa, IT dan sebagainya. Atau graduan ekonomi yang boleh berbicara tentang undang-undang, kewangan, dan sebagainya. Dunia hari ini menuntut mahasiswa yang mahir pelbagai bidang sesuai dengan globalisasi yang tidak pernah mengenal sempadan.


Tetapi kita perlu ingat biarlah kita berbicara berasaskan sumber autoritatif yang benar yg akan menjadi justifikasi terhadap setiap apa yang kita katakan. Biarlah kita bercakap seperti orang yang berilmu ada kajian empirikal, contoh yang pernah dipraktikkan, atau tesis yang dirujuk kerana kita mahasiswa universiti supaya kata-kata kita tidak di salah anggap.


Yang berbahagia Dato’, para pensyarah, rakan-rakan mahasiswa,

Tegurlah kepimpinan kami agar kami dapat terus berdiri kukuh mengakar ke bumi, mencakar dilangit. Kabinet MPP bukanlah badan eksklusif tetapi ia merupakan badan eksekutif mahasiswa. Justeru, ia tidak harus bercakap mewakili kepentingan mana-mana pihak malahan suaranya mewakili 20,000 mahasiswa yang dinaunginya. Inilah konsep ‘majority rule, minority right’ yang perlu dihadami semua ahli mpp. Kami terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menerima kritikan mahasiswa, pentadbir, dan ahli akademik demi memacu kecemerlangan universiti dan mahasiswa. Yakin dan percayalah, inilah taklif bukan tashrif yang akan dipersoalkan diakhirat kelak.


Akhir kalam, dengan lafaz yang mulia,kalimah yang suci saya sudahi dengan

Wabillahi taufik wal hidayah….

No comments: