Thursday, November 13, 2008

Persatuan Mahasiswa perlu berwajah ‘muda’



Kehadiran pelbagai persatuan mahasiswa yang bersifat pertubuhan bukan kerajaan telah banyak mengakar aktivitisme mahasiswa di luar kampus. Kehadiran persatuan ini bukan sahaja bersifat nasionalisme, kerohanian (agama), politik dan sebagainya. Nama –nama persatuan yang dominan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), dan sebagainya merupakan sebahagian nama persatuan yang telah berakar umbi sejak era 1960 an lagi.

Walaupun begitu, persatuan mahasiswa ini yang semakin banyak diwarisi kepimpinannya bukan lagi terdiri dari kalangan mahasiswa. Bahkan ada kepimpinan persatuan terdiri dari keseluruhannya yang berkerjaya dan bukan lagi berwajah mahasiswa. Justeru, persoalan yang timbul adakah ia masih lagi relevan untuk berbicara soal mahasiswa sedangkan ia bukan lagi berwajah mahasiswa. Analoginya jika anda adalah pelajar sebuah sekolah dan telah masih lagikah anda mampu berbicara soal pelajar dalam zaman itu?

Persoalan inilah seharusnya dijawab oleh kepimpinan persatuan dan badan bukan kerajaan yang mengatakan mereka memperjuangkan hak mahasiswa. Hak mahasiswa akan sentiasa menjadi mutlak mahasiswa. Contoh yang mudah, dasar kerajaan seperti menghadkan kepimpinan persatuan belia berdasarkan had umur 40 tahun merupakan langkah yang bijak. Ini kerana kerajaan memahami pergerakan belia hanya akan berfungsi dengan baik jika nadi belia sealiran dengan jantung persatuan belia. Justeru, belia yang melebihi had umur 40 tahun perlu memahami masa, keadaan dan kondisi sekitarnya tidak mengizinkan mereka bersama dengan persatuan yang ingin diterajui walaupun mereka mengatakan mereka berkemampuan.

Keadaan yang sama juga perlu difahami persatuan yang mengelarkan diri mereka gerakan mahasiswa. Sejarah juga membuktikan gerakan mahasiswa hanya boleh diwarisi pemimpin yang bergelar mahasiswa. Ini kerana mahasiswa yang dipilih untuk menerajui persatuan mahasiswa tidak mempunyai kepentingan politik. Pandangan mereka ‘suci’ dari dinodai kepentingan diri atau mana-mana badan yang tidak bertanggung jawab. Sikap mahasiswa yang bersifat non partisan dan melontarkan idea yang disaduri dengan ilmu membuktikan scenario ini.

Walaupun hakikatnya begitu, keadaan hari ini tidak menjanjikan persatuan mahasiswa sedemikian. Limitasi terhadap persatuan mahasiswa dari terus bergelumang dengan politik diluar masih lagi diperlukan walaupun begitu sewajarnya limitasi ini bersifat minimum agar ia tidak menghakis jati diri dan kematangan berfikir mahasiswa. Kebebasan membicarakan politik semasa masih lagi tidak terhalang dan perbincangan ilmiah sains politik dan undang-undang yang beracuankan akademik masih lagi dibenarkan. Justeru, mahasiswa sendirilah yang perlu dipilih untuk memimpin kerana mereka memahami diri rakan-rakan mahasiswa apabila memimpin persatuan mahasiswa dari ditunggangi mana-mana parti politik atau badan luar yang tidak bertanggungjawab.

No comments: