Monday, November 10, 2008

Akademi Kepimpinan Mahasiswa Malaysia

Kepimpinan negara acapkali dikaitkan dengan kepimpinan mahasiswa di kampus. Ini kerana mahasiswa dianggap pemimpin masa depan negara. Justeru, kepimpinan mahasiswa yang ditonjolkan hari ini akan mengambarkan kepimpinan negara pada masa hadapan kelak. Kelahiran pemimpin negara dikalangan pemimpin mahasiswa tidak perlu disangkal. Bukti yang cukup jelas Perdana Menteri kita, YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi yang merupakan bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Walaupun begitu, sudah sampai masanya idea kepimpinan mahasiswa disebarluar dan diberi nilai tambah kualitinya melalui kerangka yang sewajarnya . Ini kerana kebolehan memimpin mahasiswa sentiasa perlu disuburkan dengan idealisme baru dan dimajukan ke hadapan setanding dengan mahasiswa di luar negara. Justeru, satu medan latihan berkala dalam membentuk jatidiri kepimpinan perlu difikirkan. Ini kerana dengan penubuhan badan atau akademi ini, ia akan menjadi tempat rujukan khususnya dalam melatih pemimpin di kampus untuk menjadi pemimpin di masa hadapan.

Oleh itu idea Akademi Kepimpinan Mahasiswa yang dicadangkan ini akan menjadi medan latihan, pemikir dan badan yang akan sentiasa membantu meningkatkan mutu kualiti kepimpinan kampus di Malaysia.

Selain itu, badan ini juga boleh membantu meningkatkan keupayaan kepimpinan pemimpin pelajar di peringkat sekolah-sekolah khususnya sekolah menengah. Ini kerana bakat kepimpinan mahasiswa bukan hak mutlak untuk terus disandang tetapi untuk dikongsi dan diterapkan di dalam diri para pelajar semenjak kecil lagi. Ibarat kata pepatah Melayu, meluntur buluh biar dari rebungnya. Justeru, usaha menyebarluaskan idea dan budaya kepimpinan ini perlulah di galas oleh pemimpin mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

Tambahan pula institusi pengajian tinggi adalah pusat percambahan ilmu dan intelektual. Status quonya sebagai menara gading menjadikan ianya satu tempat yang dihormati kerana punca ilmu bermula di sini. Perdebatan ilmu dikalangan para pensyarah, mahasiswa dan warga kampus di dalamnya sentiasa dipandang tinggi dan menjadi rujukan golongan tertentu khususnya masyarakat apabila timbul sesuatu isu. Oleh itu, masyarakat sentiasa menganggap pemimpin mahasiswa yang lahir dari proses perkembangan ilmu inilah yang akan mengubah kehidupan masyarakat pada masa hadapan.

Walaupun begitu, proses membentuk kepimpinan mahasiswa dikalangan institusi pengajian tinggi berbeza-beza. Perkara ini timbul berkemungkinan disebabkan dasar universiti dan keadaan di dalam sesuatu kampus. Contohnya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dikenali dengan jumlah pelajar antarabangsa dan kebolehan pengucapan awam dikalangan mahasiswanya, Universiti Utara Malaysia dengan asas keusahawanan serta pengurusan yang menjadi teras universitinya dan pelbagai lagi. Sedikit sebanyak dasar dan keadaan universiti ini mencorakkan proses kelahiran pemimpin mahasiswa di dalam universiti tersebut.

Keadaan ini seharusnya bukan menjadi satu halangan malahan ia merupakan kekuatan kepada pemimpin mahasiswa di institusi pengajian tinggi kita hari ini. Dengan jumlah institusi pengajian tinggi awam yang berjumlah 18 buah kesemuanya, kita akan mempunyai kepelbagaian bentuk kepimpinan yang didasari dengan pelbagai bentuk kekuatan. Seharusnya acuan inilah yang akan memperkukuh Akademi Kepimpinan Mahasiswa yang akan ditubuhkan.

Dengan Majlis Perwakilan Pelajar sebagai tonggak utama ditampung kebolehannya dengan kepimpinan di peringkat akar umbi (persatuan, kelab dan kolej), pemimpin mahasiswa kita mampu me’rakyat’kan idea kepimpinan diperingkat sekolah menengah dan rendah. Pemimpin pelajar sekolah menengah di Malaysia hari ini juga perlu didedahkan dengan budaya politik kampus yang biasa dicanang di dalam media massa kita. Dengan pendedahan sebegini, para pelajar akan mengetahui tentang manifesto, budaya berkempen, pilihanraya dan sebagainya.

Secara tidak langsung, kepimpinan para pelajar ini akan terbina khususnya kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, penngurusan dan sebagainya.

Kewujudan Akademi ini juga akan membantu mengenal pasti punca kebejatan sosial dikalangan para pelajar yang semakin meruncing. Pendedahan keputusan kaji selidik berkaitan remaja perempuan yang bermasalah oleh salah seorang pensyarah beberapa tahun yang lalu sudah cukup menakutkan kita. Bila mana hampir kesemua remaja perempuan ini pernah melakukan hubungan seksual secara rela. Apakah tanggungjawab pemimpin mahasiswa kita? Atau dimana peranan mahasiswa kita mendepani isu sensitif ini? Persoalan inilah yang seharusnya mejadi tugas dan amanah berat untuk pemimpin mahasiswa kita lihat dan bantu.

Kita harus memahami negara kita Malaysia akan menjadi negara maju pada tahu 2020. Namun, adakah kita bersedia menjadi negara maju mengikut acuan kita sepertimana yang diungkap Tun Dr. Mahahthir Mohamad? Kerisauan inilah yang seharusnya kita bimbangkan bilamana negara maju yang berjaya hari ini tidak ampuh mendepani krisis sosial dikalangan remajanya. Perkara ini telah pun disedari pemimpin negara kita namun apakah tindakan mahasiswa kita yang berada di institusi pengajian tinggi

Pemimpin mahasiswa di dalam kampus tidak seharusnya tegar dengan isu kampus semata-mata malahan pemikiran dan idea mereka seharusnya melampaui zaman. Inilah yang seharusnya dihayati oleh pemimpin mahasiswa kita dalam buku ‘Mahasiswa Mengugat’ tulisan Muhamad Abu Bakar apabila merujuk kenyataan Naib Canselor Pertama Universiti Malaya secara tidak langsung ketika itu ingin mahasiswanya perlu bersifat global dan kembali kepada masyarakat bukan asyik dengan program di dalam kampus.

Kejayaan Akademi Kepimpinan Mahasiswa ini seharusnya tidak diukur dengan partisipasi yang ingin menyertainya tetapi apa yang penting adanya usaha yang berkesan dan secara konsisten demi membantu membangunkan remaja kita secara holistik. Analoginya cukup mudah, andaikata anak pisang yang ditanam sedang rosak adakah kita masih lagi menganggap buah pisang yang dihasilkan akan mempunyai mutu yang baik? Begitu juga remaja Malaysia hari ini, sekiranya mereka berterusan terjebak dengan gejala sosial dan tidak dibantu, diawasi, dan dipupuk bakatnya adakah kita akan menganggap mereka akan berjaya membantu negara satu hari nanti?

Dengan penubuhan Akademi ini, sekurang-sekurangnya sejarah gerakan mahasiswa di Malaysia dapat didokumentasikan. Dengan adanya badan ini juga kepimpinan mahasiswa di Malaysia dapat ditonjolkan bakatnya sehingga ke peringkat antarabangsa dan pengalamannya dapat dikongsi demi membangunkan masyarakat Malaysia yang maju di masa hadapan kelak.

No comments: