Monday, November 16, 2009

Kerja Mula Sebagai Pembantu Penyelidik

Apa dia pembantu penyelidik atau RA? Dalam menjalankan tugas sebagai seorang pensyarah, mereka juga dikenali sebagai penyelidik dan mengkaji dan menulis artikel-artikel ilmiah berdasarkan fakta dan maklumat yang benar dan tepat. Persoalannya, sejauh mana pensyarah di Malaysia menjalankan tugas dan amanah tersebut?

Oleh yang demikian, bagi memudahkan urusan penyarah/penyelidik maka universiti menubuhkan jawatan RA bagi membantu mencari bahan dan maklumat yang berguna bagi membolehkan para penyelidik ini menulis tanpa banyak gangguan.

Penulis memulakan kerja sebagai RA semalam. Keperluan membantu Dr. Anisah, pensyarah undnag-undang perubatan penulis di UKM. Beliau menyatakan sudah hampir dua tahun perancangan penulisan buku ini tertangguh. Justeru, penulis diminta untuk membantu. Bagi penulis ini pengalaman berharga dan berguna kerana penulis dapat menimba pengalaman menjadi penyelidik.

Penulis akan terikat sebulan dengan Dr Anisah dan mencari dan merangka keperluan bagi sebuah buku. Perancangan sehingga hujung tahun ini akan ada 3 buah buku yang akan siap diterbitkan. Projek pertama penulis 'Etika & Undang-undang Perubatan'.

Wednesday, November 11, 2009

Phd atau tidak?

Saya katakan di dalam my note facebook, saya suka dengan apa yang saya buat sekarang. Menulis, membuat research, dan membantu pensyarah dalam perkara-perkara akademik. Dan tadi saya berbincang dengan Nurul (tunang tersayang) kalau ada rezeki lepas habis Master akan terus buat PhD.

Pada saya, masa dah terlalu cepat berlalu. Umur saya 28 tahun 2010. Tetapi pada masa yang sama saya perlu bekerja. itulah yang nurul cakapkan bila nak keja?...

Jadi saya membuat pilihan akan buat PhD part time, ada dua pilihan undang-undang laut antarabangsa atau undang-undang perubatan secara khusus berhubung etika perubatan.
tetapi saya masih lagi mencari posisi sesuai untuk penulisan kalau sekiranya saya melanjutkan pengajian di dalam undang-undang laut.

1)Maritime delimitation in the Straits of Malacca: Legal Effect to Littoral State Malaysia....

2) Pisang Island in Malaysia: Legal Position in the UNCLOS.

Kalau terus buat Phd saya telah berkira-kira part time akan mengambil masa 5 tahun. Dan maksudnya jika berjaya pun, ketika itu umur saya 32 tahun. Saya tidak mampu lagi menunggu ada biasiswa atau sebagainya.

Dan pastinya setelah berbincang dengan abg mamat (sepupu, anak wak roni). ada baik dan buruknya... saya terus membuat phd...

Tahun depan harus memikirkan kembali.... But the most important thing...UKM, i will come back

Wednesday, November 4, 2009

DR Asri II

Saya bukan penyokong tegar Dr Asri tetapi perbedaan pendapat dalam Islam suatu rahmat. Maka ia memberikan kita peluang untuk melihat, mendengar dan mengamalkan amalan berasaskan nas-nas dan dalil-dalil yang sahih. Penangkapan Dr Asri beberapa hari yang lalu sebenarnya memberikan peluang kepada penulis yang sebelum ini diajak rakan-rakan, teman-teman untuk berguru dan mendengar kuliah mp3 beliau. Walaupun penulis sebelum ini belajar di Kedah, bukan bermaksud penulis berpeluang untuk mendengar kuliah beliau secara langsung di Perlis sekadar di ajak berkongsi pengalaman dengan beberapa teman berhubung perkara ini.

Penulis tidak merasakan perlunya kita 'terlalu' memperbahaskan isu ini terlalu dasar hingga merugikan kekuatan umat Islam. Namun apa yang lebih penting sikap kita mendepani isu ini sesama sahabat, kawan2 dan teman2 yang berlainan idea, pandangan. Cukuplah sekadar kita menyedari adabul ikhtilaf (adab dalam percanggahan pendapat) dan penulis bersetuju jika sebelah pihak tidak lagi dapat berlapang dada dengan pandangan dan idea ini. Lebih baik penulis mengundur diri.

Kita tidak akan dapat manfaat dengan mendepani dan menyinggung hujah sahabat2 kita. Dan penulis bersyukur diam adalah senjata ampuh dari terus bercakaran dan tidak mengembangkan minda penulis berhubung sesuatu isu.

Sunday, November 1, 2009

'Ini merupakan penangkapan terpilih' Dr Asri

Petikan dari akhbar the Star versi Melayu. Penangkapan terhadap Dr Asri telah dilakukan di Hulu Kelang kerana mengajar tanpa tauliah.

Walau apa pun alasannya, pandangan sisi peru kita lihat dimana bayak lagi maksiat dan orang Islam di Pub-pub, orang yang menyebarkan agama Islam di dakwa dan di tahan. Sangat kejam jika boleh diistilahkan.

Bukan penulis penyokong fahaman wahabi ini tetapi tindakan ini perlu parallel dan sealiran dengan keperluan agama Islam yang ingin syiarnya dikembangkan.

Monday, September 28, 2009

Kami tiga sahabat


Allah temukan saya dengan kawan-kawan yang baik, tak kira di mana saya berada. Di UiTM Melaka, di UUM,di MPP, di Kolej, Law Society, di Perodua, di USIM dan akhirnya di UKM. Sepanjang saya belajar dan bekerja alhamdulillah, saya mempunyai rakan-rakan ini yang boleh dihubungi ketika saya berada di kawasan mereka. Akhirnya saya ada rakan-rakan di seluruh negara untuk dihubungi apabila berkunjung ke tempat mereka. Teringat kata pepatah melayu, berkawan biar seribu tetapi berkasih biar seorang sahaja.

Contohnya bila saya berada di Segamat, kawan masa di kolej Proton ada untuk dihubungi dan meminta bantuan. Di Terengganu, bila saya ke sana ada kawan-kawan yang menyediakan tempat penginapan. ALLAH memudahkan dan menjalinkan hubungan silaratul rahim ini dengan baik dan berpanjangan.

Pastilah yang penting utama dalam persahabatan adalah keikhlasan dimana kita bukan opportunis mengambil peluang untuk kepentingan diri tetapi teman untuk berkongsi, suka duka, pahit manis dan sebagainya. Tips bersahabat sepertimana yang diungkapkan oleh Ustaz Tuan Ibrahim di satu kuliahnya adalah kasihlah kita kepada kawan/sahabat kita kerana ALLAH s.w.t

Satu kisah seorang sahabat nabi s.a.w berjumpa Rasulullullah di dalam masjid lalu dibelakangnya lalu seorang sahabat lain dan sahabat ini berkata kepada Rasullullah, aku kasih sahabat ku itu kerana ALLAH s.w.t. Maka Rasullullah bertanya adakah sahabat mu itu mengetahuinya, maka dijawabnya tidak. Rasullullah meminta ia mengatakan kepada sahabatnya yang lalu tadi dengan apa yang dilafazkan dihadapan nabi.

Dalam mengungkap erti persahabatan lebih dalam dan bermakna maksudnya dari erti berkawan. Sahabat menegtahui segala serba serbi sahabat yang lain. Makan minumnya, sakit peningnya, masalahnya dan sebagainya. Kawan hanya mungkin ungkapan yg kita fahami luaran sahaja.

Dalam meneruskan pengajian sehingga kini, penulis mempunyai dua sahabat baik. Seorang teman kelulusan UiTM dengan kelas pertama LLB (Hons) dan BLS, seorang teman UIAM. kedua-duanya ada persamaan iaitu bekas Timbalan Pendakwa Raya di Sarawak dan Putrajaya. Kami melengkapi antara satu sama lain. Adakala kami berbual-bual pasal isu politik, sosial, makanan, melancong dan sebagainya. Dari isu serius, pembelajaran, keluarga dan masa hadapan (kerjaya).

Kadang kala juga, kami membicarakan cukup serius isu agama. Kalau berkaraoke pun boleh tahan juga... Tapi kami belum lagi ke sana.... hahaha

Kami mempunyai 'keinginan' dan berkongsi 'common interest' yg sama. Mungkin kebetulan atau satu suratan.... Ingin bercuti sama, meredah mencari tempat makanan untuk dirasa dan dinikmati.... Nikmat bersahabat dengan mereka

Mendidik generasi masa hadapan yang lebih celik undang-undang bukan untuk disalah guna tetapi menjadi alat mencapai keadilan dan kebenaran. Pastilah tiada ungkapan yang lebih baik sepertimana diungkap Rasulullulah s.a.w aku kasih sahabat-sahabat ku ini kerana ALLAH s.w.t. Moga sahabat-sahabat ku ini juga dijodohkan dengan jodoh baik sesuai dengan perwatakan agama mereka.

Saturday, September 12, 2009

Isu Arak di Selangor

Terngiang-ngiang kata-kata Ustaza Salehhudin pagi tadi ketika kuliah Suboh...

'Arak ini adalah ibu segala maksiat, kejahatan'

Cerita seorang abid yang sangat patuh dan beribadah kepada ALLAH, beliau digoda iblis melalui seorang wanita dimana diberi minum arak, dan apabila mabuk berzina dengan wanita tersebut dan akhirnya dia membunuh wanita tersebut.

Maka dapat disimpulkan bermula arak maka kejahatan lain berkait pula.

Apabila pemimpin mengambil tindakan tidak membenarkan arak dipertonton dan dijual kepada umat Islam. Apa kaitan dengan bukan Islam? Mereka masih lagi boleh meminum arak malahan tidak dihalang dan tidak ditegah. Tetapi urusan umat Islam meminum,menjual arak secara terbuka maka itu dilarang,ditegah bahkan agama Islam mengharamkan.

Maka orang bukan Islam tidak perlu khuatir dan takut berhubung perkara ini.

Thursday, July 30, 2009

Kecuaian dalam Perubatan di Malaysia: Lembaran Baru bagi Hak Pesakit

Perkhidmatan asas kesihatan dan perubatan percuma yang diberikan kerajaan sejak merdeka merupakan antara usaha berterusan kerajaan bagi memastikan rakyat berada di dalam kehidupan yang terjamin dan sempurna. Usaha prihatin ini diterjemahkan dan dapat dilihat menerusi Belanjawan 2009 yang dibacakan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui peruntukan sebanyak RM 13.7 billion bagi menambahbaik dan memastikan kemudahan kesihatan untuk rakyat terus dapat dipenuhi.

Walau bagaimanapun, seiring dengan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan percuma yang disediakan kerajaan, kejadian kes-kes kecuaian turut mengalami peningkatan yang mendadak. Berdasarkan sumber Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM219, 508 dan jumlah ini meningkat pada tahun 2001 kepada RM430, 502 dan pada tahun 2002 wujud peningkatan sekali ganda sebanyak RM 951, 889 dibelanjakan bagi pampasan kes-kes kecuaian. Namun jumlah ini boleh dikategorikan masih lagi kecil memandangkan kebanyakan kes-kes di Malaysia masih lagi terikat dengan prinsip di dalam kes ‘Bolam melawan Jawatankuasa Pengurusan Hospital Friern’ yang berlaku di Britain pada tahun 1951 yang merupakan rujukan penting di dalam kes kecuaian perubatan.

Keputusan penghakiman sebelum ini yang sering kali terikat dengan prinsip Bolam dapat dilihat menerusi kes awal yang berlaku di Malaysia pada tahun 1968 seperti Swamy melawan Mathews, Chin Keow melawan Kerajaan Malaysia 1967, Elizabeth Choo melawan Kerajaan Malaysia 1970 dan banyak lagi serta terakhir keputusan di Mahkamah Rayuan pada tahun 2001 dalam kes Foo Fiona melawan Dr Soo Fook Mun dan Hospital Assunta.

Namun, rayuan tertinggi di Mahkamah Persekutuan pada tahun 2006 di dalam kes Foo Fiona itu juga telah membuka lembaran baru dalam kes kecuaian perubatan di Malaysia bilamana Mahkamah berpandangan perayu harus mendapat pampasan di atas kecuaian yang dilakukan responden terhadap dirinya. Keputusan ini bukan sahaja telah melegakan mangsa sendiri yang mula membawa kes ini sejak 24 tahun yang lalu di Mahkamah Tinggi pada tahun 1982 malahan ia memuktamadkan isu perundang-undangan dalam kecuaian perubatan di Malaysia untuk mengikat kes-kes sepertinya di masa hadapan.
Perayu di dalam kes ini telah terlibat dengan kemalangan yang dibawa teman lelakinya dan dihantar ke Hospital Assunta untuk menerima rawatan. Dua pembedahan telah dilakukan akibat bengkak di beberapa anggota badannya. Kecederaan kritikal adalah dileher apabila perayu mengalami kesakitan apabila seringkali mengalihkan kepalanya. Responden telah mengadakan pembedahan pertama tanpa nasihat pakar saraf yang menyebabkan lumpuh. Pembedahan kedua juga tidak berjaya dan perayu menyaman responden atas kecuaian yang dilakukan ke atas beliau.

Intipati penting di dalam keputusan tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, dengan meminjam kata-kata Lord Woolfe bahawa ‘terma keputusan doktor mengetahui apa yang terbaik untuk pesakitnya harus kini diperincikan jika beliau telah bertindak secara logik dan munasabah dan memastikan kesemua faktanya adalah tepat’. Keputusan yang dibacakan Dato’ Siti Norma, Hakim Mahkamah Persekutuan ini bukan sahaja beralih dari terus terikat dengan kes ‘Bolam melawan Jawatankuasa Pengurusan Hospital Friern’ yang menjadi ikutan sejak dahulu di Britain bahkan memperincikannya berasaskan keadaan di Malaysia.

Menyorot fakta kes Bolam pada tahun 1951 pula, beliau telah diterima masuk sebagai pesakit mental akibat dari tekanan yang terlampau. Beliau telah dinasihatkan menerima rawatan terapi berasaskan elektrod yang diletakkan di kepala dimana kejutan elektrik dihantar melalui mesin penyambung. Walau bagaimana pun, pakar psikiatri itu tidak memaklumkan kepada Bolam bahawa antara risikonya adalah retakan akibat rawatan itu.

Kesan rawatan kedua yang diterima Bolam menyebabkan beliau mengalami beberapa kecedaraan termasuk retakan pada pinggulnya. Beliau menyaman pihak hospital atas kecuaian dan Hakim McNair ketika itu telah membuat catatan penting dalam penghakimannya yang menjadi ikutan sehingga hari ini dengan menyatakan seseorang doktor itu dikatakan tidak melakukakan kecuaian jika beliau telah bertindak dan memenuhi prosedur yang dianggap sesuai oleh badan perubatan yang bertanggungjawab terhadap tindakan perubatannya. Maka lahirlah apa yang dikatakan konsep ‘doktor mengetahui apa yang terbaik untuk pesakitnya’.

Keputusan penting ini diterima pakai ketika itu bukan sahaja di Britain malahan negara-negara Komanwel hinggalah keputusan yang bertentangan di dalam beberapa kes Australia dan disahkan dalam kes Rogers melawan Whitaker. Hakim ketika itu membuat justifikasi perundangan di mana dalam menentukan seseorang doktor itu cuai tidak boleh ditentukan komuniti atau kumpulan profesion itu sendiri maka mahkamahlah yang seharusnya membuat keputusan berasaskan pertimbangan penting dimana pesakit sendiri menentukan kehidupannya. Kegagalan doktor memaklumkan risiko dan membuat keputusan tanpa memaklumkan pesakit menyebabkan hakim berpendapat beliau telah melakukan kecuaian di dalam perubatan.

Perkembangan beberapa kes penting di Australia inilah yang telah mengembangkan konsep hak pesakit dimana ia perlu dihormati dan dimaklumkan sebarang risiko terhadap sesuatu amalan perubatan yang ingin dicadangkan terlebih dahulu kepada pesakit. Malahan di beberapa negara termasuklah Malaysia, konsep ini dikemaskini dan telah diwujudkan ‘piagam pelanggan’ pada tahun 1995 yang merupakan kesinambungan konsep hak pesakit sebelum itu.

Walaupun di Malaysia, perkembangan konsep hak pesakit agak terkebelakang namun di dalam beberapa kes mahkamah tidak menafikan kewujudan hak ini bahkan mengiktirafnya. Kes Privy Council Chin Keow melawan Kerajaan Malaysia, Hong Chuan Lay melawan Dr Eddie Soo Fook Mun dan beberapa kes perubatan lain. Keputusan di dalam beberapa siri penghakiman ini menunjukkan hakim-hakim di Malaysia telah mula menerima dan mengiktiraf hak pesakit dengan mengambil kira keputusan penghakiman bukan sahaja di Britain malahan senario yang sama di Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara Komanwel.

Pertembungan di antara prinsip Bolam dan konsep hak pesakit akan terus menjadi titik persoalan sampai bila-bila memandangkan konsep ini melibatkan prinsip yang sangat subjektif pada pandangan manusia. Keputusan menyalahkan dengan meletakkan kehidupan seseorang di tangan doktor semata-mata juga tidaklah tepat dan sebaliknya membenarkan pesakit menentukan kehidupannya sendiri yang mereka sendiri tidak mahir ilmu perubatan juga sangat meragukan. Ia ibarat pepatah lama Melayu antara telur dan ayam betina siapa yang diciptakan terlebih dahulu.

Oleh yang demikian, kecuaian perubatan di Malaysia boleh dielakkan jika pengamal perubatan sentiasa bertanggungjawab terhadap amalan perubatannya dan pesakit hanya menggunakan hak disisi undang-undang apabila perlu dalam memastikan keadilan terbela.