Tuesday, May 21, 2013

UNDI KAUM CINA DI MALAYSIA: APA KAYU UKUR MENGUNDI CALON PRU 13?

Sejarah kedatangan kaum Cina bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi apabila pedagang-pedagang Cina khususnya dari wilayah Cina Selatan seperti Fujian dan Guangdong datang berniaga di Pelabuhan Melaka ketika itu. Zaman kemuncak kedatangan Cina ini ditandai pula dengan perkahwinan Puteri Hang Li Po dengan Sultan Muzafar Syah dan hari ini kaum Cina adalah merupakan penduduk majoriti kedua terbesar di Malaysia dengan jumlah 7 juta orang. Walau bagaimana pun, berdasarkan perangkaan daftar pemilih pengundi bagi tahun 2013, sebanyak 55 peratus jumlah kaum Cina telah mendaftarkan diri sebagai pengundi dan jumlah ini lebih tinggi berbanding dengan jumlah kaum-kaum lain yang telah mendaftarkan diri sebagai pengundi jika di nisbahkan dengan jumlah penduduk secara keseluruhannya. Justeru, undi kaum Cina boleh dianggap penentu dalam memastikan kedudukan parti-parti politik yang bertanding hari ini. Kerjasama di antara parti-parti politik berasaskan bangsa telah dimulakan Parti Perikatan apabila menyertai pilihanraya pada tahun 1955 dan pada Pilihanraya tahun 1959 kerjasama sebegini selepas kemerdekaan telah berjaya meyakinkan rakyat apabila menerima 73 peratus sokongan pengundi di peringkat Parlimen. Walau bagaimana pun, hubungan kerjasama ini ada pasang surutnya. Pada tahun 1969, parti Perikatan menghadapi ujian getir apabila hanya menerima 44.9 peratus tidak termasuk sokongan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak berbanding PAS 20.9 peratus da DAP 11.9 peratus. Beberapa negeri dan bandar besar di Selangor dan Kuala Lumpur telah dimenangi Parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP). Sejak dari itu dengan reformasi yang dizahirkan dengan nama parti Barisan Nasional pada tahun 1974, parti kerjasama bersama MCA, Gerakan, MIC dan beberapa komponen parti-parti di Sabah dan Sarawak ini terus berjaya membentuk kerajaan dengan undi dua pertiga sehinggalah di landa tsunami politik pada tahun 2008. Walau pun kerjasama parti-parti politik pembangkang seperti PAS, DAP dan Keadilan hanya bermula pada tahun 1999 apabila berlakunya kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri namun mereka berjaya meraih sokongan rakyat sebanyak 45 kerusi Parlimen dan antara keputusan terbaik selepas tahun 1969. Pada tahun 2008, parti Barisan Nasional hanya mendapat 51.4 peratus undi sokongan rakyat dan kegagalan mendapat dua pertiga majoriti mula dikatakan apabila undi Melayu berpecah kepada tiga parti politik seperti UMNO, Keadilan dan PAS. Manakala pengundi-pengundi Cina dan India mula beralih memberi sokongan kepada pakatan pembangkang ketika itu. Pada Pilihanraya Umum ke 13, banyak kayu ukur yang menjadi asas pertimbangan pengundi Cina khususnya berhubung pelaksanaan hukum Hudud PAS, kestabilan politik dan ekonomi, keadilan sosial, ketelusan, integriti calon dan sebagainya. Walau bagaimana pun, kajian yang dilakukan Junaidi Awang Besar dan rakan-rakannya yang bertajuk Analisis Pola Pengundi Etnik Kaum Cina dalam Pilihanraya Kecil Dun Tenang, Johor telah membincangkan bahawa sejak tahun 1999 pengundian Cina terhadap calon berasaskan kaum mungkin akan berkurangan pada masa hadapan dan ia akan menandakan bermulanya politik baru di Malaysia ketika itu nanti. Amer Saifude Ghazali dalam kajian beliau yang bertajuk Politik Etnik Malaysia: Analisis Pasca Pilihanraya Umum ke 12 pula menyatakan bagi kawasan pengundi dimana tiada majoriti kaum mendominasi pada tahun 2008, pengundi kaum Cina telah menolak politik pembangunan malahan menunjukkan sokongan kepada pakatan pembangkang. Ini menunjukkan secara tidak langsung pengundi Cina mempunyai kuasa penentuan yang besar khususnya di beberapa tempat termasuklah di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur. Rujukan negeri-negeri ini penting memandangkan pengundi Cina merupakan kelompok majoriti berbanding Melayu seperti di Pulau Pinang (53.92%), Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur (51%). Bagi negeri Sabah (17%) dan Sarawak (32%) merupakan jumlah kedua tertinggi selepas etnik bumiputera Sabah dan Sarawak berbanding Melayu. Adakah dengan munculnya kuasa pengundi Cina ini akan menghakis kuasa Melayu di Malaysia? Persoalan ini sangat rumit dan kompleks namun ia telah diselesaikan oleh Bapa-bapa Perlembagaan kita iaitu Suruhanjaya Reid pada tahun 1957. Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan keistimewaan orang Melayu yang terdapat pada Perkara 152 hanya boleh di pinda berdasarkan peruntukan Perkara 159 yang memerlukan sokongan dua pertiga bermaksud 148 orang ahli-ahli parlimen. Oleh itu adalah mustahil untuk dipinda memandangkan calon-calon Melayu yang bertanding pilihanraya umum ke 13 ini adalah lebih ramai berbanding bukan Melayu. Selain itu, Suruhanjaya Reid telah mengariskan pindaan berhubung kuasa Raja-raja Melayu, agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu hanya boleh dilakukan dengan perkenan Majlis Raja-raja yang menjadi benteng terakhir sebagai pelindung hak yang telah disimpul kemas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, walaupun pengundi Cina mungkin menguasai sebahagian besar negeri-negeri dan wilayah namun dalam konsep demokrasi di Malaysia mereka tidak mampu membentuk sokongan di Parlimen tanpa wujudnya undi sokongan seperti kaum-kaum lain khususnya Melayu yang membentuk majoriti dan kaum India. Ini telah dibuktikan sejak pilihanraya pertama lagi pada tahun 1959. Dengan sebab itulah, Pilihanaraya Umum ke 13 menarik untuk ditinjau apabila pengiktirafan juga di beri pada kaum-kaum lain untuk bertanding dalam parti yang majoritinya Melayu seperti PAS. Pencalonan Hu Pang Chow, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS yang akan menentang Datuk Wee Ka Siong yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri Pelajaran. Oleh yang demikian, secara asasnya pengundi-pengundi Cina sudah mula keluar dari kelompong menyokong calon berasaskan kaum, ras dan agama. Dengan batu asasnya di tunjukkan pada tahun 2008, maka politik perkauman mungkin boleh dianggap semakin luntur dan ke belakang di sebalik wajah baru politik nilai dan adab. Justeru, hari ini sudah mula beberapa ahli Parlimen memulakan pencak silat dalam tempoh kempen pilihanraya perdebatan manifesto yang ingin di bawa di kawasan masing-masing. Dengan wujudnya politik baru ini maka masyarakat Malaysia sudah menandakan diri mereka semakin matang dalam berpolitik. Adakah masyarakat kita telah bersedia? PRU ke 13 adalah jawapannya.

No comments: