Tuesday, May 21, 2013

PENGUNDI BARU : APA PATUT DI KETAHUI MENGENAI HAK MENGUNDI?

Pada umumnya, seramai 2.3 juta pengundi muda telah digazetkan melalui Daftar Pemilih 2012 bagi melayakkan mereka mengundi buat pertama kalinya. Dengan itu juga, pengundi yang digazetkan ini telah memenuhi sebahagian haknya sebagai seorang warganegara yang telah dijamin hak untuk mengundi di bawah Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan. Jumlah 2.3 juta ini juga membentuk 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi rakyat Malaysia yang dicatatkan seramai 13.3 juta orang. Namun jauh lebih penting adalah figura di mana 5.5 juta pengundi pada Pilihanraya Umum ke 13 kali ini adalah pengundi berusia di bawah 40 tahun yang membentuk 40 peratus. Justeru, sebagai pengundi muda terdapat peruntukan undang-undang yang harus difahami agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dengan baik dan sempurna. Di antara peruntukan undang-undang yang perlu diketahui adalah berdasarkan peruntukan di dalam Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya 1954 dan Peraturan-Peraturan (Perjalanan Pilihanraya) 1981. Walau bagaimana pun, peraturan-peraturan ini lebih dominan dan wajar diketahui sebagai pengundi berbanding Akta Kesalahan Pilihanraya yang ada. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012 yang telah diwartakan menjelaskan dua pindaan penting iaitu, penggunaan dakwat kekal dan pengiring kepada OKU. Pilihanraya Umum ke 13 mencatatkan sejarah baru memandangkan buat pertama kalinya penggunaan dakwat kekal dengan setiap pengundi akan dicalit jarinya sebelum diberikan kertas undi. Ini kerana bermula sejak tahun 1955 hinggalah pada Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008, negara kita tidak pernah menggunakan dakwat kekal sebagai jaminan bahawa pengundi tidak boleh mengundi buat kali kedua. Walaupun pada PRU ke 12, SPR telah bersetuju untuk menggunakan dakwat kekal ini namun disebabkan terdapat ura-ura adanya dakwat kekal yang telah dibeli pihak yang tidak bertanggungjawab dari negara luar dan cuba diseludup maka kerajaan telah membatalkan hasrat tersebut. Justeru, usaha SPR bagi memastikan ketelusan ini harus dipuji memandangkan pada masa yang sama beberapa buah negara seperti Indonesia, Pakistan, India dan sebagainya turut menggunakan kaedah yang sama bagi memastikan pengundi tidak boleh mengundi buat kali kedua memandangkan dakwat ini kekal bagi tempoh yang agak lama. Bagi umat Islam, mereka tidak perlu gusar memandangkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan melalui Pengerusinya Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin telah menyatakan penggunaan dakwat kekal ini adalah harus dan dibenarkan. Ini bersandarkan tiga sebab utama iaitu tidak najis, tidak memudaratkan serta boleh menyerap air. Justeru, umat Islam di negara ini masih lagi boleh menunaikan solat walaupun setelah jari telunjuk kirinya dicalitkan dengan dakwat kekal ini. Selain itu, pada hari pengundian kelak, pengundi muda dan baru pertama kali mengundi perlu menunjukkan kad pengenalan mereka bagi memastikan identiti pengundi. Setelah itu, pengundi akan disebut nama dan nombor kad pengenalannya oleh kerani SPR pertama. Kemudian, kerani SPR kedua akan mencalitkan dakwat kekal di jari telunjuk kiri dan kerani ketiga akan menyerahkan dua borang kertas undi yang terdiri daripada kertas undi peringkat Parlimen dan kertas undi Dewan Undangan Negeri. Pengundi wajib memangkah di kotak kosong yang disediakan bagi mengelakkan kertas undi di anggap rosak dan jangan sesekali pengundi cuba menyeludup keluar kertas undi kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 3(h) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya 1954 yang boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda tidak melebihi lima ribu ringgit. Tambahan lagi adalah pindaan baru 2012 berhubung dengan pengiring bagi pengundi Orang Kurang Upaya (OKU). Jika pada pilihanraya umum yang lalu, pengundi OKU hanya boleh diiring oleh sanak keluarga yang terdekat namun pindaan 2012 membenarkan sesiapa sahaja mengiringi pengundi OKU khususnya petugas parti. Walau bagaimana pun, pengiring ini perlulah memastikan mereka mendapat kebenaran dan perakuan daripada pengundi OKU tersebut bagi membolehkan mereka dibenarkan mengiringi mereka. Ini dapat dilakukan apabila pengiring tersebut mengisi borang 10 yang disediakan bagi tujuan terbabit. Bagi memastikan proses perjalanan pilihanraya kali ini mesra OKU maka Suruhanjaya Pilihanraya turut sama melantik badan bukan kerajaan yang terdiri daripada Gabungan Persatuan Orang Cacat Malaysia. Ini bagi membolehkan SPR menambah baik undang-undang dan peraturan-peraturan pilihanraya khususnya bagi orang kurang upaya dalam membolehkan kemudahan yang sama turut dibuat bagi mempermudahkan urusan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Bagi memastikan rakyat memahami fungsi dan peranan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), institusi ini bergerak secara proaktif disamping sentiasa mengemaskini laman webnya dalam mendidik rakyat agar mengetahui hak mereka sebagai pengundi. Dengan pelbagai media cetak dan elektronik, kemudahan dan pendidikan demokrasi yang dilakukan SPR bolehlah dianggap berkesan. Namun, jika usaha-usaha ini akan menjadi sia-sia jika pengundi yang telah mendaftarkan diri sebagai pengundi tidak turun mengundi pada hari pengundian. Jika pengundi ini tidak dapat mengundi di sebabkan majikan tidak membenarkannya maka majikannya sebenarnya telah melakukan kesalahan di bawah seksyen Seksyen 3(n) yang menyatakan bahawa “menghalang seseorang yang telah layak mengundi daripada mengundi di kawasannya” merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya 1954. Oleh yang demikian, pengundi harus diperingat berulang kali bahawa setiap undi itu sangat berharga. Jikalau setiap pengundi di Malaysia menghadami dan membaca buku tulisan Alexander Keyssar yang bertajuk “The Right to vote: The Contested history of democracy in the United States”, penulis pasti setiap pengundi di Malaysia akan lebih menghargai setiap undian mereka memandangkan sejarah pengundi di Amerika Syarikat yang bukan sahaja dihalang mengundi disebabkan agama, warna kulit, gender malahan disebabkan etnik, bangsa, umur dan sebagainya. Dengan sejarah yang panjang inilah hari ini setiap warganegara di negara Uncle Sam itu amat menghayati erti setiap UNDI.

No comments: