Thursday, July 30, 2009

Kecuaian dalam Perubatan di Malaysia: Lembaran Baru bagi Hak Pesakit

Perkhidmatan asas kesihatan dan perubatan percuma yang diberikan kerajaan sejak merdeka merupakan antara usaha berterusan kerajaan bagi memastikan rakyat berada di dalam kehidupan yang terjamin dan sempurna. Usaha prihatin ini diterjemahkan dan dapat dilihat menerusi Belanjawan 2009 yang dibacakan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui peruntukan sebanyak RM 13.7 billion bagi menambahbaik dan memastikan kemudahan kesihatan untuk rakyat terus dapat dipenuhi.

Walau bagaimanapun, seiring dengan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan percuma yang disediakan kerajaan, kejadian kes-kes kecuaian turut mengalami peningkatan yang mendadak. Berdasarkan sumber Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM219, 508 dan jumlah ini meningkat pada tahun 2001 kepada RM430, 502 dan pada tahun 2002 wujud peningkatan sekali ganda sebanyak RM 951, 889 dibelanjakan bagi pampasan kes-kes kecuaian. Namun jumlah ini boleh dikategorikan masih lagi kecil memandangkan kebanyakan kes-kes di Malaysia masih lagi terikat dengan prinsip di dalam kes ‘Bolam melawan Jawatankuasa Pengurusan Hospital Friern’ yang berlaku di Britain pada tahun 1951 yang merupakan rujukan penting di dalam kes kecuaian perubatan.

Keputusan penghakiman sebelum ini yang sering kali terikat dengan prinsip Bolam dapat dilihat menerusi kes awal yang berlaku di Malaysia pada tahun 1968 seperti Swamy melawan Mathews, Chin Keow melawan Kerajaan Malaysia 1967, Elizabeth Choo melawan Kerajaan Malaysia 1970 dan banyak lagi serta terakhir keputusan di Mahkamah Rayuan pada tahun 2001 dalam kes Foo Fiona melawan Dr Soo Fook Mun dan Hospital Assunta.

Namun, rayuan tertinggi di Mahkamah Persekutuan pada tahun 2006 di dalam kes Foo Fiona itu juga telah membuka lembaran baru dalam kes kecuaian perubatan di Malaysia bilamana Mahkamah berpandangan perayu harus mendapat pampasan di atas kecuaian yang dilakukan responden terhadap dirinya. Keputusan ini bukan sahaja telah melegakan mangsa sendiri yang mula membawa kes ini sejak 24 tahun yang lalu di Mahkamah Tinggi pada tahun 1982 malahan ia memuktamadkan isu perundang-undangan dalam kecuaian perubatan di Malaysia untuk mengikat kes-kes sepertinya di masa hadapan.
Perayu di dalam kes ini telah terlibat dengan kemalangan yang dibawa teman lelakinya dan dihantar ke Hospital Assunta untuk menerima rawatan. Dua pembedahan telah dilakukan akibat bengkak di beberapa anggota badannya. Kecederaan kritikal adalah dileher apabila perayu mengalami kesakitan apabila seringkali mengalihkan kepalanya. Responden telah mengadakan pembedahan pertama tanpa nasihat pakar saraf yang menyebabkan lumpuh. Pembedahan kedua juga tidak berjaya dan perayu menyaman responden atas kecuaian yang dilakukan ke atas beliau.

Intipati penting di dalam keputusan tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara ketika itu, dengan meminjam kata-kata Lord Woolfe bahawa ‘terma keputusan doktor mengetahui apa yang terbaik untuk pesakitnya harus kini diperincikan jika beliau telah bertindak secara logik dan munasabah dan memastikan kesemua faktanya adalah tepat’. Keputusan yang dibacakan Dato’ Siti Norma, Hakim Mahkamah Persekutuan ini bukan sahaja beralih dari terus terikat dengan kes ‘Bolam melawan Jawatankuasa Pengurusan Hospital Friern’ yang menjadi ikutan sejak dahulu di Britain bahkan memperincikannya berasaskan keadaan di Malaysia.

Menyorot fakta kes Bolam pada tahun 1951 pula, beliau telah diterima masuk sebagai pesakit mental akibat dari tekanan yang terlampau. Beliau telah dinasihatkan menerima rawatan terapi berasaskan elektrod yang diletakkan di kepala dimana kejutan elektrik dihantar melalui mesin penyambung. Walau bagaimana pun, pakar psikiatri itu tidak memaklumkan kepada Bolam bahawa antara risikonya adalah retakan akibat rawatan itu.

Kesan rawatan kedua yang diterima Bolam menyebabkan beliau mengalami beberapa kecedaraan termasuk retakan pada pinggulnya. Beliau menyaman pihak hospital atas kecuaian dan Hakim McNair ketika itu telah membuat catatan penting dalam penghakimannya yang menjadi ikutan sehingga hari ini dengan menyatakan seseorang doktor itu dikatakan tidak melakukakan kecuaian jika beliau telah bertindak dan memenuhi prosedur yang dianggap sesuai oleh badan perubatan yang bertanggungjawab terhadap tindakan perubatannya. Maka lahirlah apa yang dikatakan konsep ‘doktor mengetahui apa yang terbaik untuk pesakitnya’.

Keputusan penting ini diterima pakai ketika itu bukan sahaja di Britain malahan negara-negara Komanwel hinggalah keputusan yang bertentangan di dalam beberapa kes Australia dan disahkan dalam kes Rogers melawan Whitaker. Hakim ketika itu membuat justifikasi perundangan di mana dalam menentukan seseorang doktor itu cuai tidak boleh ditentukan komuniti atau kumpulan profesion itu sendiri maka mahkamahlah yang seharusnya membuat keputusan berasaskan pertimbangan penting dimana pesakit sendiri menentukan kehidupannya. Kegagalan doktor memaklumkan risiko dan membuat keputusan tanpa memaklumkan pesakit menyebabkan hakim berpendapat beliau telah melakukan kecuaian di dalam perubatan.

Perkembangan beberapa kes penting di Australia inilah yang telah mengembangkan konsep hak pesakit dimana ia perlu dihormati dan dimaklumkan sebarang risiko terhadap sesuatu amalan perubatan yang ingin dicadangkan terlebih dahulu kepada pesakit. Malahan di beberapa negara termasuklah Malaysia, konsep ini dikemaskini dan telah diwujudkan ‘piagam pelanggan’ pada tahun 1995 yang merupakan kesinambungan konsep hak pesakit sebelum itu.

Walaupun di Malaysia, perkembangan konsep hak pesakit agak terkebelakang namun di dalam beberapa kes mahkamah tidak menafikan kewujudan hak ini bahkan mengiktirafnya. Kes Privy Council Chin Keow melawan Kerajaan Malaysia, Hong Chuan Lay melawan Dr Eddie Soo Fook Mun dan beberapa kes perubatan lain. Keputusan di dalam beberapa siri penghakiman ini menunjukkan hakim-hakim di Malaysia telah mula menerima dan mengiktiraf hak pesakit dengan mengambil kira keputusan penghakiman bukan sahaja di Britain malahan senario yang sama di Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara Komanwel.

Pertembungan di antara prinsip Bolam dan konsep hak pesakit akan terus menjadi titik persoalan sampai bila-bila memandangkan konsep ini melibatkan prinsip yang sangat subjektif pada pandangan manusia. Keputusan menyalahkan dengan meletakkan kehidupan seseorang di tangan doktor semata-mata juga tidaklah tepat dan sebaliknya membenarkan pesakit menentukan kehidupannya sendiri yang mereka sendiri tidak mahir ilmu perubatan juga sangat meragukan. Ia ibarat pepatah lama Melayu antara telur dan ayam betina siapa yang diciptakan terlebih dahulu.

Oleh yang demikian, kecuaian perubatan di Malaysia boleh dielakkan jika pengamal perubatan sentiasa bertanggungjawab terhadap amalan perubatannya dan pesakit hanya menggunakan hak disisi undang-undang apabila perlu dalam memastikan keadilan terbela.

No comments: