Tuesday, May 21, 2013

Yang Berhormat Mahasiswa: Isu dan Cabaran

Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi pada 15 Disember 2012 yang lalu bakal mencatat sejarah penting politik nasional apabila mahasiswa dibenarkan untuk bertanding di dalam Pilihanraya Umum ke 13. Pengumuman ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika dilihat dari keputusan Mahkamah Persekutuan pada 22 November yang lalu apabila hakim sebulat suara dengan korum 5-0 bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Rayuan bahawa disebabkan kerajaan telah membuat pindaan terhadap peruntukan subseksyen 15 di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 pada Jun 2012 yang lalu bagi membenarkan partisipasi mahasiswa berpolitik di luar kampus maka ia bermaksud mahasiswa sudah boleh berpartisipasi secara langsung sebagai ahli parti, memegang jawatan hatta bertanding di dalam pilihanraya. Polemik sama ada mahasiswa wajar bertanding di dalam pilihanraya telah menimbulkan pelbagai persoalan. Namun antara yang terawal memberikan respon adalah Solidariti Mahasiswa Malaysia dengan penubuhan Gerakan Mahasiswa Pilihanraya Umum ke 13 atau lebih dikenali dengan GM13, jentera mahasiswa yang dibentuk di Dataran Merdeka pada 3 Januari yang lalu dan pada 5 Januari pula mereka menganjurkan Forum Mahasiswa dan Politik yang di hadiri kumpulan aktivis mahasiswa bersama-sama Dato Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Dr Maszlee Malik, ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Persoalan sama ada wajar atau tidak mahasiswa bertanding dalam PRU 13 seharusnya bukan dilihat sebagai satu persoalan enteng. Pihak berkepentingan seperti Kementerian Pengajian Tinggi, universiti, gerakan mahasiswa dan mahasiswa sendiri seharusnya menilai isu ini secara tuntas agar tidak timbul konflik di kemudian hari. Ini kerana ada pihak yang mempersoalkan sebelum itu mengapa hanya selepas kes Hilman Idham atau UKM4 yang mencabar peruntukan seksyen 15 AUKU 1971, baru kerajaan mengambil inisiatif memindanya sedangkan sebelum kes ini di bawa ke Mahkamah tiada desas desus pun akan wujud inisiatif kerajaan akan meminda AUKU dalam membenarkan mahasiswa berpolitik. Selain itu, apabila kes UKM 4 telah diputuskan Mahkamah Rayuan yang memberikan kemenangan kepada mahasiswa, kerajaan masih lagi berkeras untuk membuat rayuan terhadap keputusan ini di Mahkamah Persekutuan dan akhirnya Mahkamah Apex ini telah menolak secara keseluruhan rayuan kerajaan selepas itu. Walau pun kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi berfungsi untuk menyelaras dasar pengajian tinggi namun institusi pengajian tinggi awam masih ‘diam’ seribu bahasa. Seharusnya pentadbiran universiti perlu berperanan proaktif memandangkan autonomi di dalam mentadbir akademik mahasiswa berada di dalam kuasa Senat Universiti. Oleh itu, apabila isu mahasiswa dibenarkan bertanding PRU13 muncul dan dijangka menang, Yang Berhormat berstatus mahasiswa ini masih lagi belajar dan pada masa yang sama juga perlu mengambil berat kawasan yang dimenangi beliau. Oleh itu, seharusnya universiti juga telah dirunding dan bersedia bagi menyediakan keadaan yang kondusif bagi mahasiswa untuk bertanding dalam pilihanraya. Pemindahan jam kredit atau cuti sabatikal harus di berikan kepada mahasiswa yang ingin bertanding memandangkan kebebasan berpolitik merupakan kebebasan asasi yang telah diiktiraf di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan. Bagi mahasiswa dan gerakan mahasiswa secara keseluruhannya pula harus faham partisipasi mahasiswa yang bertanding pada pilihanraya kali ini akan menentukan sebenarnya survival gerakan mahasiswa di masa akan datang. Calon mahasiswa yang bertanding harus ingat, jentera parti-parti politik telah pun melakukan persediaan calon sejak 2 hingga 3 tahun yang lalu hatta ada sesetengah parti politik telah berkempen selepas PRU ke 12. Jika mahasiswa hanya ingin bertanding dengan ‘menunjukkan muka’ sahaja maka ia hanya akan merugikan gerakan mahasiswa secara keseluruhannya. Tambahan lagi, pendirian yang diambil untuk bertanding di kerusi ‘panas’ seperti Parlimen Pekan dan sebagainya harus difikir secara realistik sama ada mahasiswa yang ingin bertanding boleh menang di kawasan tersebut. Mahasiswa juga harus ingat kehadiran mereka di dalam pentas politik bukan untuk nama atau kuasa tetapi pengiktirafan di dalam badan perundangan setelah hampir 40 tahun AUKU memandulkan politik mahasiswa. Justeru, mahasiswa tidah harus ‘gila kuasa’ untuk bertanding 222 buah kerusi. Bagi penulis cukup sekadar satu kerusi tetapi seluruh tenaga di gemblengkan gerakan mahasiswa membantu bagi kemenangan seorang calon mahasiswa tersebut. Mahasiswa secara keseluruhannya dikenali sebagai kelompok yang mempunyai pemikiran kritis dan penuh daya kreativiti. Mahasiswa yang bakal bertanding di dalam PRU 13 ini harus berperanan membawa politik baru di dalam kempen pilihanraya di Malaysia. Idea politik baru seperti bersedia untuk berdebat dengan mana-mana calon parti di kawasan itu akan memberikan kelebihan kepada rakyat untuk mengenali bakal Yang Berhormatnya yang bakal diundinya. Bayangkan jika wakil rakyat yang dipilih pun tidak mampu berdebat dengan mahasiswa, apatah lagi ingin membawa suara rakyat di dalam Dewan perundangan pula. Walau pun ramai bersetuju mahasiswa turun bertanding di dalam pilihanraya kali ini namun di sisi lain terdapat juga pandangan mahasiswa seharusnya menjadi pengerak merakyatkan suara ‘third force’. Aliran hujah yang dikemukakan Dr Maszlee Malik sebagai ahli panel forum Mahasiswa dan Politik ini dilihat ada juga kebenarannya. Idea beliau adalah dengan mencadangkan mahasiswa membantu menjadi orang tengah menganjurkan perdebatan antara calon-calon yang bertanding, menjadi pemerhati bebas kepada beberapa institusi yang menjadi pemerhati bebas seperti IDEAS, menyebarluaskan politik idea dan pendidikan politik yang sihat dan sebagainya. Peranan ini boleh dimainkan mahasiswa memandangkan mahasiswa merupakan kelompok yang dilihat berpengetahuan dalam sesuatu komuniti. Secara keseluruhannya peranan mahasiswa perlu beranjak setapak ke hadapan lagi dalam demam pilihanraya tidak lama lagi. Jika dulu pilihanraya kampus menjadi medan mahasiswa berpolitik kini mahasiswa sudah diberikan autonomi berpolitik di luar kampus. Penulis teringat kata-kata seorang bekas pimpinan kampus, apa guna pimpinan kampus hanya gah berpolitik di dalam kampus namun apabila sudah bergraduat mereka hilang dan senyap dalam masyarakat. Sama ada kenyataan ini benar atau tidak, biarlah mahasiswa Generasi Y yang menentukannya.

No comments: