📽️ How To Download Feedback Movie
6 years ago
Mengambil singkatan artikel pertama penulis dalam Majalah Minda- Karangkraf dahulu. Artikel bertajuk Gerakan Mahasiswa: Mencabar atau DiCabar? Kini penulisan penulis banyak terfokus pada isu politik, undang-undang, pengajian tinggi, dan gerakan mahasiswa..
Sejarah kedatangan kaum Cina bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi apabila pedagang-pedagang Cina khususnya dari wilayah Cina Selatan seperti Fujian dan Guangdong datang berniaga di Pelabuhan Melaka ketika itu. Zaman kemuncak kedatangan Cina ini ditandai pula dengan perkahwinan Puteri Hang Li Po dengan Sultan Muzafar Syah dan hari ini kaum Cina adalah merupakan penduduk majoriti kedua terbesar di Malaysia dengan jumlah 7 juta orang.
Walau bagaimana pun, berdasarkan perangkaan daftar pemilih pengundi bagi tahun 2013, sebanyak 55 peratus jumlah kaum Cina telah mendaftarkan diri sebagai pengundi dan jumlah ini lebih tinggi berbanding dengan jumlah kaum-kaum lain yang telah mendaftarkan diri sebagai pengundi jika di nisbahkan dengan jumlah penduduk secara keseluruhannya. Justeru, undi kaum Cina boleh dianggap penentu dalam memastikan kedudukan parti-parti politik yang bertanding hari ini.
Kerjasama di antara parti-parti politik berasaskan bangsa telah dimulakan Parti Perikatan apabila menyertai pilihanraya pada tahun 1955 dan pada Pilihanraya tahun 1959 kerjasama sebegini selepas kemerdekaan telah berjaya meyakinkan rakyat apabila menerima 73 peratus sokongan pengundi di peringkat Parlimen. Walau bagaimana pun, hubungan kerjasama ini ada pasang surutnya. Pada tahun 1969, parti Perikatan menghadapi ujian getir apabila hanya menerima 44.9 peratus tidak termasuk sokongan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak berbanding PAS 20.9 peratus da DAP 11.9 peratus. Beberapa negeri dan bandar besar di Selangor dan Kuala Lumpur telah dimenangi Parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP).
Sejak dari itu dengan reformasi yang dizahirkan dengan nama parti Barisan Nasional pada tahun 1974, parti kerjasama bersama MCA, Gerakan, MIC dan beberapa komponen parti-parti di Sabah dan Sarawak ini terus berjaya membentuk kerajaan dengan undi dua pertiga sehinggalah di landa tsunami politik pada tahun 2008. Walau pun kerjasama parti-parti politik pembangkang seperti PAS, DAP dan Keadilan hanya bermula pada tahun 1999 apabila berlakunya kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri namun mereka berjaya meraih sokongan rakyat sebanyak 45 kerusi Parlimen dan antara keputusan terbaik selepas tahun 1969.
Pada tahun 2008, parti Barisan Nasional hanya mendapat 51.4 peratus undi sokongan rakyat dan kegagalan mendapat dua pertiga majoriti mula dikatakan apabila undi Melayu berpecah kepada tiga parti politik seperti UMNO, Keadilan dan PAS. Manakala pengundi-pengundi Cina dan India mula beralih memberi sokongan kepada pakatan pembangkang ketika itu.
Pada Pilihanraya Umum ke 13, banyak kayu ukur yang menjadi asas pertimbangan pengundi Cina khususnya berhubung pelaksanaan hukum Hudud PAS, kestabilan politik dan ekonomi, keadilan sosial, ketelusan, integriti calon dan sebagainya. Walau bagaimana pun, kajian yang dilakukan Junaidi Awang Besar dan rakan-rakannya yang bertajuk Analisis Pola Pengundi Etnik Kaum Cina dalam Pilihanraya Kecil Dun Tenang, Johor telah membincangkan bahawa sejak tahun 1999 pengundian Cina terhadap calon berasaskan kaum mungkin akan berkurangan pada masa hadapan dan ia akan menandakan bermulanya politik baru di Malaysia ketika itu nanti.
Amer Saifude Ghazali dalam kajian beliau yang bertajuk Politik Etnik Malaysia: Analisis Pasca Pilihanraya Umum ke 12 pula menyatakan bagi kawasan pengundi dimana tiada majoriti kaum mendominasi pada tahun 2008, pengundi kaum Cina telah menolak politik pembangunan malahan menunjukkan sokongan kepada pakatan pembangkang. Ini menunjukkan secara tidak langsung pengundi Cina mempunyai kuasa penentuan yang besar khususnya di beberapa tempat termasuklah di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur.
Rujukan negeri-negeri ini penting memandangkan pengundi Cina merupakan kelompok majoriti berbanding Melayu seperti di Pulau Pinang (53.92%), Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur (51%). Bagi negeri Sabah (17%) dan Sarawak (32%) merupakan jumlah kedua tertinggi selepas etnik bumiputera Sabah dan Sarawak berbanding Melayu.
Adakah dengan munculnya kuasa pengundi Cina ini akan menghakis kuasa Melayu di Malaysia? Persoalan ini sangat rumit dan kompleks namun ia telah diselesaikan oleh Bapa-bapa Perlembagaan kita iaitu Suruhanjaya Reid pada tahun 1957. Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan keistimewaan orang Melayu yang terdapat pada Perkara 152 hanya boleh di pinda berdasarkan peruntukan Perkara 159 yang memerlukan sokongan dua pertiga bermaksud 148 orang ahli-ahli parlimen. Oleh itu adalah mustahil untuk dipinda memandangkan calon-calon Melayu yang bertanding pilihanraya umum ke 13 ini adalah lebih ramai berbanding bukan Melayu.
Selain itu, Suruhanjaya Reid telah mengariskan pindaan berhubung kuasa Raja-raja Melayu, agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu hanya boleh dilakukan dengan perkenan Majlis Raja-raja yang menjadi benteng terakhir sebagai pelindung hak yang telah disimpul kemas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, walaupun pengundi Cina mungkin menguasai sebahagian besar negeri-negeri dan wilayah namun dalam konsep demokrasi di Malaysia mereka tidak mampu membentuk sokongan di Parlimen tanpa wujudnya undi sokongan seperti kaum-kaum lain khususnya Melayu yang membentuk majoriti dan kaum India. Ini telah dibuktikan sejak pilihanraya pertama lagi pada tahun 1959.
Dengan sebab itulah, Pilihanaraya Umum ke 13 menarik untuk ditinjau apabila pengiktirafan juga di beri pada kaum-kaum lain untuk bertanding dalam parti yang majoritinya Melayu seperti PAS. Pencalonan Hu Pang Chow, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS yang akan menentang Datuk Wee Ka Siong yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri Pelajaran.
Oleh yang demikian, secara asasnya pengundi-pengundi Cina sudah mula keluar dari kelompong menyokong calon berasaskan kaum, ras dan agama. Dengan batu asasnya di tunjukkan pada tahun 2008, maka politik perkauman mungkin boleh dianggap semakin luntur dan ke belakang di sebalik wajah baru politik nilai dan adab. Justeru, hari ini sudah mula beberapa ahli Parlimen memulakan pencak silat dalam tempoh kempen pilihanraya perdebatan manifesto yang ingin di bawa di kawasan masing-masing. Dengan wujudnya politik baru ini maka masyarakat Malaysia sudah menandakan diri mereka semakin matang dalam berpolitik. Adakah masyarakat kita telah bersedia? PRU ke 13 adalah jawapannya.
Tarikh Pilihanraya Umum di Malaysia masih lagi menjadi tanda tanya apabila Parlimen masih lagi belum di bubarkan. Rakyat masih terus menanti walaupun Dewan Undangan Negeri Sembilan telah terbubar secara automatik apabila tamat tempohnya pada 28 Mac 2013 yang lalu.
Pastinya tarikh 28 Mac 2013 mencatatkan sejarah penting dalam sejarah pilihanraya di Malaysia, kerana buat pertama kalinya sebuah Dewan Undangan Negeri di dalam Malaysia terbubar secara automatik apabila genap tempohnya 5 tahun, setelah ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan telah mengangkat sumpah dan bersidang pada 28 Mac 2008 berdasarkan peruntukan Perkara 58, Perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan. Walau pun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sembilan telah dibubarkan secara rasmi namun Yang Berhormat Datuk Seri Utama Mohammad Hassan telah mengumumkan pentadbiran kerajaan tetap berfungsi sepertimana biasa memandangkan mereka kini berfungsi sebagai caretaker government manakala badan kehakiman dan badan eksekutif tidak terlibat dengan apa-apa pembubaran.
Ramai orang membuat spekulasi bagaimanakah pengiraan tarikh genap 5 tahun di buat. Berdasarkan peruntukan Perkara 55 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen haruslah berjalan dari tarikh mesyuaratnya yang pertama. Oleh itu, berdasarkan maksud peruntukan di atas ini bermakna Parlimen Malaysia hanya mempunyai tempoh tamat sah laku sehingga 28 April 2013. Ini kerana kesemua ahli Parlimen telah mengangkat sumpah dan mula bersidang pada 28 April 2008. Ada yang bertanya, bolehkah kiraan tarikh mengangkat sumpah dikira sebagai tarikh mula mesyuarat bersidang kerana di dalam peruntukan Perlembagaan hanya menyebut tarikh mula bersidang dan bukannya tarikh mula mengangkat sumpah.. Jawapannya adalah, secara konvensyen apabila seseorang ahli Parlimen mengangkat sumpah maka selepas itu akan diteruskan dengan persidangan mesyuarat.
Penulis harus sering kali mengingatkan pembaca bahawa di dalam kes Loh koi Choon, Hakim Raja Azlan Shah mengingatkan bahawa Perlembagaan harus diinterprestasikan secara liberal dan luas dan bukannya dengan cara yang sempit. Ini bermaksud apabila perkataan yang digunakan didalam Perlembagaan di rujuk maka ia harus diinterpretasikan secara luas seperti mengangkat sumpah dan bersidang di atas. Sangat signifikan juga Perlembagaan Persekutuan ini dirujuk serta diselang selikan dengan Perlembagaan Negeri memandangkan PErlembagaan Negeri merupakan cedokan daripada Perlembagaan Persekutuan bagi penulis menerangkan isu ini disini.
Dengan berlakunya pembubaran ini maka apa yang pasti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan yang telah berkhidmat genap 60 bulan ini mereka layak mendapat ganjaran dan saraan sepertimana serupa di dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan). 1980.
Walau pun, DUN Negeri Sembilan telah terbubar secara automatik dan akan disusuli negeri-negeri lain dan Parlimen, apa yang lebih penting ketika ini adalah kewujudan caretaker government atau kerajaan sementara. Ini kerana idea penubuhan kerajaan sementara telah pun menjadi salah satu isi penting kepada Jawatankuasa Pilihan Reformasi Pilihanraya yang telah ditubuhkan pada 2011 bagi menambah baik perjalanan pilihanraya di Malaysia.
Berdasarkan kertas kajian Caretaker Government during Election: A Comparative Study of Pakistan, Bangladesh and India, Pakistan, 2006 dari Institut of Legislative Development and Transparency, Kerajaan sementara bolehlah didefinisikan sebagai individu atau kumpulan manusia yang dilantik bagi mentadbir kerajaan bagi satu tempoh masa tertentu (kebiasaannya singkat) sehingga sebuah kerajaan baru yang diabsahkan (legitimate) terbentuk. Ada banyak sebab kerajaan sementara boleh dibentuk namun kebiasaannya adalah i) negara mengalami zaman darurat; ii) kerajaan sedia ada menghadapi undi tidak percaya dan kalah di dalam Parlimen dan iii) Parlimen dibubarkan secara normal dan akan menghadapi pilihanraya.
Contohnya ketika tahun 1969 negara menghadapi zaman darurat, satu jawatankuasa MAGERAN di bentuk yang bertindak mengambil alih kuasa kerajaan sebelum Parlimen dibenarkan berfungsi kembali pada tahun 1971. Pada tahun 1996 Presiden Farooq Leghari telah membubarkan Dewan PErhimpunan Kebangsaan (Parlimen) Pakistan dan membatalkan kerajaan Perdana Menteri ketika itu, Benazir Bhutto. Malik Meraj Khalid Rektor Universiti Islam Antarabangsa telah dilantik sebagai Perdana Menteri Kerajaan sementara. Oleh itu, kita harus faham pemerintah yakni Presiden atau Raja berhak melantik sesiapa sahaja yang tidak berkepentingan tetapi berkebolehan bagi memimpin kerajaan sementara. Ini juga yang terjadi pada tahun 1959 apabila YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj telah meletakkan jawatannya dan jawatan beliau ditanggung Tun Abdul Razak sebagai Pemangku Perdana Menteri selama 2 bulan bagi memastikan beliau dapat berkempen dengan efektif dan efisyen bagi Parti Perikatan.
Menyorot susur galur idea kerajaan sementara ini mula popular selepas Perang Dunia ke 2 apabila Perdana Menteri Churchill daripada Parti Konservatif ketika itu telah mendapat maklumat awal berhubung akan adanya perletakan jawatan dikalangan Menterinya yang datang daripada Parti Buruh. Justeru, Churchill telah meletakkan jawatannya sebelum tindakan diambil oleh Menteri Parti Buruhnya tanpa berunding dengan mereka terlebih dahulu. Oleh itu, Raja telah mengarahkan sebuah kerajaan sementara yang diketuai oleh Churchill bagi memastikan urusan harian kerajaan berjalan seperti biasa.
Menurut Prof Sir Ivor Jenning di dalam bukunya Cabinet Government, ia bukanlah tradisi British melantik caretaker government sewaktu pilihanraya berlangsung namun menjelang pilihanraya umum Britain pada tahun 1945 ketika itu, mereka perlu memilih diantara dua, sebuah kerajaan Parti Konservatif atau sebuah kerajaan Parti Buruh yang kuat dan diwaktu yang sama urusan Raja (kerajaan) perlu berjalan seperti biasa menyebabkan idea kerajaan sementara menjadi popular ketika itu.
Justeru, idea terhadap cadangan penubuhan kerajaan sementara ini penting bagi memastikan kerajaan sementara ini menjalankan urusan pentadbiran sehari-hari tanpa menyalahguna kuasanya untuk parti-parti tertentu. Menurut Jagdish Chandra Johari dalam bukunya The Constitution of India, The Politico Legal Study menyatakan ketika kerajaan sementara berfungsi mereka tidak boleh a) memulakan atau mewar-warkan dasar kerajaan yang baru b)berjanji atau memulakan program baru c)menyediakan elaun, kenaikan gaji dan emolumen dan d) tidak boleh membuat majlis-majlis yang boleh dihadiri Menteri. Manakala bagi Caretaker Conventions Australia 2010 menetapkan pula kerajaan sementara ini perlu mengelakkan daripada membuat sebarang keputusan dasar yang besar yang akan mengikat kerajaan akan datang; membuat sebarang perlantikan utama dan memasuki mana-mana kontrak atau perjanjian.
Walaupun asasnya, perlantikan kerajaan sementara ini kebiasaannya terdiri daripada kerajaan yang terdahulu. Namun bagi memastikan konsep semak dan imbang maka wakil pembangkang boleh juga dijemput menyertai kerajaan sementara. Selain itu, terdapat juga kaedah di mana wakil perkhidmatan awam yang berfungsi memainkan peranan ini. Oleh itu, perlantikan kerajaan sementara ini merupakan undang-undang tidak bertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan atau secara tidak langsung memberikan kuasa budibicara Yang DiPertuan Agong untuk melantik kerajaan sementara atau peralihan. Ia tidak menjadi titik pertikaian kerana Yang DiPertuan Agong juga boleh melantik wakil pembangkang jika berkebolehan sebagai sebahagian daripada peruntukan yang boleh di baca di dalam Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan. Namun kebiasaannya, wakil kerajaan terdahulu dipilih memandangkan pengalaman mentadbir dan tradisi konvensyen yang telah diamalkan sejak dahulu lagi.
Isu kewujudan kerajaan sementara sangat kritikal pada Pilihanraya Umum ke 13 yang bakal diadakan memandangkan pilihanraya merupakan hak setiap warganegara untuk menentukan calon yang terbaik bagi mewakili suara mereka di dalam Parlimen. Menurut Dr. Mohd Faisal Syam di dalam Proposal for a Caretaker Government during the Election Period for submission to the Malaysian Parliamentary Select Committee for Electoral Reform pada tahun 2011, beliau menyatakan pilihanraya juga menjadi peluang bagi warganegara untuk memberi atau menghukum calon-calon yang sedia ada atas asas integriti dan pencapaian mereka.
Akhirnya walaupun pelbagai pihak telah mencadangkan kita melihat konvensyen kerajaan sementara / peralihan dibeberapa buah negara seperti di UK, Australia dan sebagainya. Kita harus fahami konvensyen ini tidak mempunyai kuasa mengikat maksudnya jika masih lagi berlaku pelanggaran terhadap tatacara kelakuan yang dilakukan kerajaan sementara pemimpin kerajaan sementara yang memerintah maka ia tetap tiada gunanya. Namun, penulis juga memandang positif usaha Perdana Menteri meminta Peguam Negara menderaf tatacara bagi Kerajaan Sementara pada masa yang sama sangsi dengan usaha yang tergesa-gesa ini.
Penulis teringat kata-kata almarhum guru penulis, Dr Che Norlia Mustafa undang-undang yang dibuat seharusnya melihat keadaan mikro dan makro sesebuah negara itu. Malahan pada masa yang sama juga, signifikan undang-undang itu serta implikasinya terhadap sosial masyarakat harus diambil kira. Jika terusan mengambil cedokan undang-undang tanpa melihat keadaan persekitaran Malaysia, penulis bimbang kita akan menjadi seperti Akta Perhimpunan Aman yang diperingkat awalnya terdapat banyak percanggahan tanpa berunding dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Suruhanjaya Pilihanraya, parti-parti politik, NGO, SUHAKAM, universiti dan lain-lain lagi.
Oleh yang demikian, di titik akhirnya adalah semangat keterbukaan juga lah yang lebih penting. Jika kita menyorot sejarah kerajaan sementara ini kembali, ada sesuatu yang kita tertinggal dalam meneliti sejarah Perdana Menteri Churchill apabila mempopularkan idea kerajaan sementara ialah beliau telah menghadiri PostDam Conference bersama Menteri Luarnya Anthony Eden pada 17 Julai 1945 yang dihadiri juga Presiden Truman, Amerika Syarikat dan Stalin, Perdana Menteri USSR ketika itu. Perdana Menteri Churchill telah membawa juga Clement Attlee yang juga Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri Bayangan dengan Ernest Bevin (Menteri Luar Bayangan) walaupun mereka dari parti politik yang berbeda. Peristiwa ini telah menjadi ingatan penting berhubung apa yang dimaksudkan dengan semangat kerajaan sementara dan menonjolkan lagi Churchill sebagai seorang negarawan yang ulung di Britain ketika itu.