Sunday, December 13, 2009

Mari kita melangkah ke depan

Saya menghabiskan sedikit masa ketika cuti ini sebagai RA di UKM. Di sebelah malam duduk di dalam bilik sambil tangan mencari-cari dan membaca perkara baru di dalam internet. Terima kasih kepada mereka yang mencipta internet yang membolehkan kita mencari maklumat dalam sekelip mata.

Saya duduk dan mengadap komputer. Cuba mengingati konsep yang pernah di pelajari semasa Diploma Pentadbiran Awam dahulu berhubung 'Local Government' atau kerajaan tempatan. Ketika Diploma kami dikehendaki mengambil satu kertas/subjek khas berkaitan perkara ini.

Kerajaan Tempatan merupakan salah satu bentuk kerajaan dan ketiga di dalam sistem pentadbiran awam Malaysia. Ia di beri penekanan selepas Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan setelah itu Kerajaan Tempatan. Kerajaan tempatan di Malaysia diketuai YDP Majlis Bandaraya/Perbandaran dan dibantu ahli-ahli Majlis yang kebiasaannya di lantik oleh kerajaan negeri yang dimenangi parti politik di sesebuah negeri.

Berdasarkan Senarai Negeri, Jadual Sembilan, Perlembagaan Persekutuan kerajaan tempatan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri namun bagi tujuan pelarasan maka di peringkat Pusat, ditubuhkan kementerian Perumahan, dan Kerajaan Tempatan bagi memudahkan urusannya.

Di Malaysia, kerajaan tempatan mempunyai kuasa membuat peraturan-peraturan kecil (by law) berasaskan kuasa yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Mempunyai kuasa memungut cukai seperti cukai pintu. Memberi kebenaran berniaga dan lesen di dalam kawasan bidang kuasanya. Dan dahulu kuasanya juga meliputi pemungutan sampah dan sisa pepejal yang ketika ini telah diperbadankan melalui Suruhanjaya Sisa Pepejal Malaysia.

Menyorot kembali sejarah kerajaan tempatan di Malaysia, direkodkan pilihanraya kerajaan tempatan pertama pernah diadakan seawal tahun 1857 dimana ahli Majlis Perbandaran Georgetown seramai tiga daripada lima ahlinya dipilih melalui pemilihan terus penduduknya. Dan sejarah pilihanraya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur mencipta sejarah apabila UMNO dan MCA menang 9 daripada 12 kerusi yang membuka jalan penubuhan Perikatan selepas itu.

Pada tahun 1965, kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja Athi Nahappan yang mencadangkan dan mengesyorkan penambahbaikan terhadap sistem kerajaan tempatan. Dan antara cadangan yang agak signifikan malahan dianggap penting adalah pemilihan ahli kerajaan tempatan melalui pilihanraya dihidupkan semula. Malangnya idea ini telah dikesampingkan dan rentetan dari syor Suruhanjaya Di Raja itu beberapa Akta di luluskan termasuklah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Bandar dan Desa 1976.

Pilihanraya tahun 2008 membuka lembaran baru apabila desas desus kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat mendesak diadakan pilihanraya peringkat kerajaan tempatan kembali. Isu ini penting memandangkan seharusnya ahli-ahli majlis berperanan sebagai 'check and balance' dan menjadi mata dan telinga bagi rakyat di dalam daerah tersebut dalam membangunkan kawasan komuniti mereka. Namun, sebaliknya yang berlaku dimana menurut Ketua Audit Negara wujud kepincangan dan ketirisan yang agak berleluasa di kalangan majlis perbandaran dan kerajaan tempatan apabila penganugerahan kontrak kecil diberikan secara terus tanpa melalui tender terbuka.

Peranan ahli majlis yang bersifat politik ini gagal berfungsi sebagai 'good governance' dan tidak dikenali di kalangan masyarakat awam di dalam daerah dan komuniti tersebut. Secara tidak langsung ia merencatkan pembangunan yang diharap dapat membantu rakyat. Persoalannya, sampai bila lagi kita harus menunggu Malaysia terus dibuai mimpi indah dimana pembangunan dirasai segelintir pihak tanpa 'good' governance' gagal diterapkan di dalam setiap pentadbiran kerajaan.

Rakyat tidak mampu menunggu lagi dan kita harus melangkah satu tapak ke hadapan. Biarlah ahli Majlis kita orang tempatan yang duduk di dalam komuniti/daerah itu yang bekerja petang dan malam untuk kesejahteraan rakyat. Mereka di bayar elaun untuk tujuan tersebut...

Undang-undang harus dipinda bagi tujuan tersebut. Mari kita sama-sama fikirkan adakah salah kita mengikut sistem yang lebih baik dengan tujuan rakyat mendapat keuntungan dan nikmat pembangunan yang sewajarnya. Pilihanraya kerajaan tempatan dimana ahli-ahlinya akan dikenali masyarakat, senang berurusan sekiranya mempunyai masalah dan mereka dapat mengawal pembangunan di kawasan tersebut.Fikir-fikirkan...

No comments: