Friday, December 18, 2009

Kepentingan Zon Maritim Malaysia

Pada tanggal 21 Ogos 2006, Datuk Seri Nazri Aziz Menteri di Jabatan Perdana Menteri membawa dua rang undang-undang yang penting dan signifikan terhadap zon maritim Malaysia ke Parlimen untuk dibacakan buat kali kedua. pertamanya, pindaan terhadap Ordinan 7 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1969 dan keduanya bacaan rang undang-undang Garis Pangkal Zon Maritim Malaysia 2006.

Keperluan membentangkan rang undang-undang ini disebabkan Malaysia melalui Peta Baru Malaysia Tahun 1979 telah mewartakan kawasan perairan wilayah dan pelantar benua melalui peta tersebut. Kewujudan peta ini juga telah menyebabkan kawasan perairan wilayah negara melalui Peta baru 1979 telah mendapat bantahan (contested area) dari beberapa negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.


Ini dibuktikan dengan kes seperti Pulau Sipadan dan Ligitan, Pulau Batu Puteh yang dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam menentukan kawasan pertindihan tersebut. Dan akhirnya Malaysia berjaya mendapat Pulau Sipidan dan Ligitan tetapi gagal di dalam kes Pulau Batu Puteh.

Di dalam Ordinan 7, (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1979 wujud klausa yang menyatakan zon garis pangkal Malaysia adalah 12 batu nautika sesuai dengan Konvensyen Undang-undang Perairan wilayah dan Zon Berdampingan 1958 ketika itu dan diikuti selari dengan Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 yang membenarkan negara pesisir pantai mengira zon maritim sesebuah negara dari garis pangkal pantainya sejauh 12 batu nautika. Walau bagaimana pun, kewujudan klausa lain yang menyatakan bagi 3 buah Akta yang lain seperti Akta Pelantar Benua 1966, Petroleum Mining Act 1966, dan Kanun Tanah Negara menerima pakai 3 batu nautika sebagai jarak rasmi.

Berasaskan Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa ketiga atau UNCLOS 3(1982), konvensyen ini membenarkan sesebuah negara pesisir pantai membentuk perairan negaranya dengan kewujudan perairan wilayah (territorial sea) sejauh 12 batu nautika, zon berdampingan (contiguous zone) sepanjang 12 batu nautika, zon ekonomi eksklusif (exclusive economic zone) sepanjang 200 batu nautika dari titik garis pangkal dan selebihnya merujuk laut lepas (high sea).

Akta Garis Pangkal Zon Maritim Malaysia walaupun telah dibentangkan dan diluluskan di parlimen namun belum diwartakan dengan kata lain perairan Malaysia belum disahkan. Perkara ini penting dan wajar diambil perhatian memandangkan beberapa kes-kes diperingkat antarabangsa yang melibatkan perairan negara belum selesai. Dan berasaskan penyata parlimen ketika membahaskan rang undang-undang ini sangat memalukan apabila perbahasan di kalangan ahli-ahli Parlimen langsung tidak berkaitan dengan garis pangkal dan memahami semangat undang-undang ini.

Penyelidikan dan kerja rumah sebelum membahaskan sesuatu akta seharusnya menjadi nadi penting bagi memastikan setiap ahli Parlimen mengambil bahagian dalam membahaskan rang undang-undang dengan tepat dan berkesan. Kesannya apabila Mahkamah membuat keputusan dan merujuk kembali kepada semangat undang-undang ini maka ia hanyalah sesuatu yang sia-sia. Sikap ahl parlimen yang sambil lewa membahaskan setiap rang undang-undang akan menjadi perhitungan dalam mempertimbangkan KPI mereka pada pemilihan akan datang.

Malaysia hanya membazirkan wang sahaja jika ahli-ahli Parlimen yang dilantik hanya tahu bercakap tetapi tidak memahami semangat dan kepentingan sesuatu perundangan itu digubal.

2 comments:

Guru said...

assalammualaikum

saya berpendapat ramai ahli parlimen mengambil sikap tidak ingin tahu ... kecuali menjaga tepi kain orang

Idzuafi said...

terima kasih, saya percaya jika semua meletakkan kepentingan politik berbanding kepentingan negara kita boleh maju ke hadapan. Persoalan sejauh mana pembangkang baik juga boleh menyumbang ke arah proses ini dimana berdasarkan hansard parlimen tersebut pembangkang juga tidak memainkan peranan. Kadang kala peranan hanya di main ketika sesuatu isu itu ada nilai politik berbanding nilai untuk negara.