Wednesday, December 3, 2008

Graduang Undang-Undang UUM layak jalani latihan dalam kamar



Graduan undang-undang Universiti Utara Malaysia pada bulan Disember ini genaplah setahun tidak dapat menjalani latihan dalam kamar sepertimana yang diperuntukkan di dalam Akta Profesion Guaman bagi menjadi pengamal undang-undang yang bertauliah. Sesuatu yang amat memalukan di dalam sistem pengajian tinggi negara yang kita katakan universitinya ingin menuju ke arah universiti kelas dunia namun graduan program profesionalnya tidak boleh diterima untuk menjadi sebahagian pelatih dalam kamar.

Program undang-undang Universiti Utara Malaysia bukan sahaja dirumus melalui subjek-subjek teras undang-undang yang hampir sama dengan graduan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi MARA bahkan ditambah nilai kursus pengajiannya di dalam bidang pengurusan dan perakaunan. Secara keseluruhannya, graduan undang-undang UUM perlu menghabiskan 154 jam kredit di dalam tempoh empat tahun berbanding graduan undang-undang universiti awam lain hanya perlu menghabiskan lebih kurang 130 jam kredit di dalam tempoh yang sama. Justeru, dimana ketidakbolehan mahasiswa undang-undang UUM untuk menjalani latihan di dalam kamar jika secara teorinya subjek diajar adalah sama.

Selain itu, partisipasi mahasiswa undang-undang UUM bukan sahaja boleh dilihat sejak program ini diperkenalkan pada akhir tahun 2003 tetapi sehingga hari ini mahasiswa undang-undang UUM tidak pernah tidak menyertai program mahasiswa undang-undang anjuran Fakulti Undang-Undang di institusi pengajian tinggi awam lain serta badan profesional seperti Majlis Peguam. Ini dibuktikan penyertaan setiap tahun di dalam pertandingan Debat Bahasa Melayu Majlis Peguam Malaysia, pertandingan Mahkamah Moot peringkat kebangsaan, pertandingan Kaunseling Pelanggan dan sebagainya.

Kesemua ini membuktikan komitmen mahasiswa undang-undang UUM di dalam pertandingan di dalam dan di luar anjuran Fakulti Undang-Undang dan badan profesional guaman bagi memastikan mahasiswa undnag-undang UUM tidak keciciran di dalam dunia profesional guaman diluar walaupun berada nun jauh di utara tanahair. Kenyataan memperlekehkan graduan undang-undang UUM tidak dapat diterima sedangkan kami belum diuji di dalam dunia realiti khususnya ketika berada di dalam tempoh latihan di dalam kamar.

Kenyataan sesetengah pihak mengkehendaki kami menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman atau lebih dikenali Certificate of Legal Practise (CLP) adalah kenyataan berat sebelah dan hanya mengundang rasa tidak puas hati dikalangan kami. Pertama, kami merupakan graduan undang-undang yang telah pun menamatkan pengajian undang-undang di dalam tempoh empat tahun sepertimana graduan undang-undang universiti awam yang lain. Ini termasuklah pengajian tahun akhir kami merangkumi kursus Jurisprudens, Prosedur Jenayah di Malaysia, Prosedur Sivil di Malaysia, undang-undang keterangan dan Amalan Profesional yang juga merupakan kursus wajib di dalam peperiksaan Sijil Amalan Guaman. Oleh itu, apa rasionalnya kami dikehendaki menduduki peperiksaan yang sama sedangkan kami telah pun belajar dan digredkan untuk kursus tersebut?

Kedua, kenyataan menafikan kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam kursus pengajian undang-undang tahun akhir juga menafikan kualiti para pensyarah yang mengajar di UUM. Sedangkan para pensyarah ini juga mempunyai kelulusan Sarjana atau PhD dan juga merupakan graduan undang-undang universiti tempatan dan luar negara yang telah mempunyai pengalaman di dalam amalan guaman sehingga lebih 10 tahun. Persoalan-persoalan ini perlu dirungkaikan dan justifikasi yang kukuh perlu dimaklumkan kepada kami agar kami tidak menjadi seperti ibarat menuggu bulan jatuh ke riba.

Sehingga hari ini dari Perlis hingga ke Sabah, dari Johor sampailah ke Kelantan graduan undang-undang UUM berada dimana-mana. Kelewatan memberikan kelulusan untuk mahasiswa undang-undang UUM menjalani latihan di dalam kamar hanyalah merugikan modal insan yang ada pada generasi baru undang-undang di Malaysia seperti kami.

No comments: