Sunday, December 7, 2008

Bab 1: Menjadi Freshies...

Kehidupan di kampus sangat mengujakan. Justeru, kita sering kali terlupa ia hanya datang sekali. Jauh sekali kita teringat bahawa selepas 3 atau 4 tahun, kita akan meninggalkan alam kampus dan melangkah ke alam berkerjaya. Apa yang pasti hidup di kampus mengujakan bukan kerana suasananya semata-mata malahan di sini kita tak perlu berfikir susah payah tentang kewangan, pembayaran sewa rumah, elektrik, dan sebagainya. Pergi sahaja di mesin ATM di awal semester cucuk kad ATM, keluarlah duit walaupun ia sebenarnya duit pinjaman.

Kehidupan di kampus sebagai freshies sentiasa diulit dengan perasaa takut dan gementar. Kenangan dihantar ibubapa dan beratur panjang melakukan pengurusan borang-borang di Fakulti dan Bangunan Akademik merupakan rutin sebagai seorang mahasiswa baru atau freshies. Selain itu, sebelum datang ke kaunter akademik bagi urusan sebegini seelok-eloknya mahasiswa telah membuat persiapan terlebih dahulu. Urusan borang-borang akademik perlu disusun mengikut aturannya, borang pinjaman kewangan, borang asrama dan sijil-sijil akademik dimana perlu disahkan terlebih dahulu oleh pegawai Kumpulan Pengurusan & profesional sebelum dihantar.

Sering terjadi juga keperluan mahasiswa tidak mencukupi seperti borang yang salah diisi, gambar yang tidak mencukupi dan sebagainya. Kebiasaannya, ada juga wakil pihak akademik dan kolej kediaman yang akan menyediakan perkhidmatan fotostat bagi memudahkan urusan freshies yang menghadapi masalah seperti ini. Justeru, freshies perlu menyiapkan dua atau tiga salinan bagi memastikan urusan tidak tergendala apabila masalah-masalah uar jangka seperti ini berlaku.

Kesilapan-kesilapan seperti ini biasanya didorong kerana pengalaman ibubapa pertama kali menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran ke menara gading. Tidak kurang juga ibu bapa yang tidak mengambil iktibar dari pengalaman anak-anak terdahulu maka ia berulang kembali.

Pelbagai pengalaman baru akan dapat diperhati terhadap freshies ini. Ini kerana di sinilah buat pertama kali akan ada yang berjauhan dari keluarga lalu menjadi 'home sick'. Bertemu dengan kenalan baru dan suasana baru selalunya tidak digemari manusia. Justeru, sebagai freshies kita kena pandai menyesuaikan diri. Hari pertama menjadi penentu segalanya. Sekiranya kita meletakkan azam untuk berubah, semuanya akan bermula disini.

Pastinya kehidupan sebagai pelajar sekolah menengah (SPM atau STPM), jauh sekali berbeza dengan suasana di alam kampus. Di sinilah kelebihan pelajar berasrama penuh dan matrikulasi yang telah seringkali dilatih dan di disiplinkan agar menjadi seorang yang berdikari. Namun ada, juga di kalangan pelajar sekolah berasrama penuh ini yang terkandas akibat terlalu selesa disebabkan kononnya telah berpengalaman menempuh alam asrama.

Jika dahulunya anda seorang yang pendiam di bangku persekolahan tiada siapa yang tahu. Jika anda pernah mempunyai rekod disiplin di sekolah pun tiada siapa yang tahu. Kata-kata ini yang akan dibekalkan Pembantu Mahasiswa / ahli jawatankuasa suai kenal memandangkan masuk ke alam universiti seolah-olah kita membuka diari baru dimana tiada sesiapa mengenali kita untuk menjadi seseorang yang berwajah baru.

Justeru, pilihan di tangan anda? Mahu berubah atau terus kekal menjadi diri anda seperti di bangku sekolah...

Kebiasaannya kita akan rapat dengan teman sebilik, atau teman setingkat atau teman seprogram. Justeru, pecahkan kebuntuan ini mencari kawan sebanyak mungkin kerana kita akan berada di kampus sepanjang 3-4 tahun. Mana tahu kita akan memerlukan bantuan mereka satu hari nanti. Ada juga mahasiswa di waktu freshies ini mencari rakan-rakan senegeri atau rakan di mana universiti itu berada. Mudah mendapat bantuan dan hujung minggu boleh menemani rakan-rakan tersebut berkunjung ke rumahnya.

Tetapi, jauh lebih penting ada juga freshies yang bijak mengatur strategi mencari senior-senior sebagai rakan. Apatah lagi jika senior tersebut teman sebilik. Golongan ini boleh digelar sebagai opportunis kerana jika peluang tinggal bersama senior tidak diambil, maka mereka tidak akan memperolehi manfaatnya. Pinjam buku-buku teks, nota-nota kuliah, komputer dan sebagainya. Semua ini cukup besar maknanya apabila menjadi golongan yang dipanggil mahasiswa.

No comments: