Showing posts with label Gerakan Mahasiswa. Show all posts
Showing posts with label Gerakan Mahasiswa. Show all posts

Tuesday, May 21, 2013

Yang Berhormat Mahasiswa: Isu dan Cabaran

Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi pada 15 Disember 2012 yang lalu bakal mencatat sejarah penting politik nasional apabila mahasiswa dibenarkan untuk bertanding di dalam Pilihanraya Umum ke 13. Pengumuman ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika dilihat dari keputusan Mahkamah Persekutuan pada 22 November yang lalu apabila hakim sebulat suara dengan korum 5-0 bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Rayuan bahawa disebabkan kerajaan telah membuat pindaan terhadap peruntukan subseksyen 15 di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 pada Jun 2012 yang lalu bagi membenarkan partisipasi mahasiswa berpolitik di luar kampus maka ia bermaksud mahasiswa sudah boleh berpartisipasi secara langsung sebagai ahli parti, memegang jawatan hatta bertanding di dalam pilihanraya. Polemik sama ada mahasiswa wajar bertanding di dalam pilihanraya telah menimbulkan pelbagai persoalan. Namun antara yang terawal memberikan respon adalah Solidariti Mahasiswa Malaysia dengan penubuhan Gerakan Mahasiswa Pilihanraya Umum ke 13 atau lebih dikenali dengan GM13, jentera mahasiswa yang dibentuk di Dataran Merdeka pada 3 Januari yang lalu dan pada 5 Januari pula mereka menganjurkan Forum Mahasiswa dan Politik yang di hadiri kumpulan aktivis mahasiswa bersama-sama Dato Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Dr Maszlee Malik, ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Persoalan sama ada wajar atau tidak mahasiswa bertanding dalam PRU 13 seharusnya bukan dilihat sebagai satu persoalan enteng. Pihak berkepentingan seperti Kementerian Pengajian Tinggi, universiti, gerakan mahasiswa dan mahasiswa sendiri seharusnya menilai isu ini secara tuntas agar tidak timbul konflik di kemudian hari. Ini kerana ada pihak yang mempersoalkan sebelum itu mengapa hanya selepas kes Hilman Idham atau UKM4 yang mencabar peruntukan seksyen 15 AUKU 1971, baru kerajaan mengambil inisiatif memindanya sedangkan sebelum kes ini di bawa ke Mahkamah tiada desas desus pun akan wujud inisiatif kerajaan akan meminda AUKU dalam membenarkan mahasiswa berpolitik. Selain itu, apabila kes UKM 4 telah diputuskan Mahkamah Rayuan yang memberikan kemenangan kepada mahasiswa, kerajaan masih lagi berkeras untuk membuat rayuan terhadap keputusan ini di Mahkamah Persekutuan dan akhirnya Mahkamah Apex ini telah menolak secara keseluruhan rayuan kerajaan selepas itu. Walau pun kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi berfungsi untuk menyelaras dasar pengajian tinggi namun institusi pengajian tinggi awam masih ‘diam’ seribu bahasa. Seharusnya pentadbiran universiti perlu berperanan proaktif memandangkan autonomi di dalam mentadbir akademik mahasiswa berada di dalam kuasa Senat Universiti. Oleh itu, apabila isu mahasiswa dibenarkan bertanding PRU13 muncul dan dijangka menang, Yang Berhormat berstatus mahasiswa ini masih lagi belajar dan pada masa yang sama juga perlu mengambil berat kawasan yang dimenangi beliau. Oleh itu, seharusnya universiti juga telah dirunding dan bersedia bagi menyediakan keadaan yang kondusif bagi mahasiswa untuk bertanding dalam pilihanraya. Pemindahan jam kredit atau cuti sabatikal harus di berikan kepada mahasiswa yang ingin bertanding memandangkan kebebasan berpolitik merupakan kebebasan asasi yang telah diiktiraf di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan. Bagi mahasiswa dan gerakan mahasiswa secara keseluruhannya pula harus faham partisipasi mahasiswa yang bertanding pada pilihanraya kali ini akan menentukan sebenarnya survival gerakan mahasiswa di masa akan datang. Calon mahasiswa yang bertanding harus ingat, jentera parti-parti politik telah pun melakukan persediaan calon sejak 2 hingga 3 tahun yang lalu hatta ada sesetengah parti politik telah berkempen selepas PRU ke 12. Jika mahasiswa hanya ingin bertanding dengan ‘menunjukkan muka’ sahaja maka ia hanya akan merugikan gerakan mahasiswa secara keseluruhannya. Tambahan lagi, pendirian yang diambil untuk bertanding di kerusi ‘panas’ seperti Parlimen Pekan dan sebagainya harus difikir secara realistik sama ada mahasiswa yang ingin bertanding boleh menang di kawasan tersebut. Mahasiswa juga harus ingat kehadiran mereka di dalam pentas politik bukan untuk nama atau kuasa tetapi pengiktirafan di dalam badan perundangan setelah hampir 40 tahun AUKU memandulkan politik mahasiswa. Justeru, mahasiswa tidah harus ‘gila kuasa’ untuk bertanding 222 buah kerusi. Bagi penulis cukup sekadar satu kerusi tetapi seluruh tenaga di gemblengkan gerakan mahasiswa membantu bagi kemenangan seorang calon mahasiswa tersebut. Mahasiswa secara keseluruhannya dikenali sebagai kelompok yang mempunyai pemikiran kritis dan penuh daya kreativiti. Mahasiswa yang bakal bertanding di dalam PRU 13 ini harus berperanan membawa politik baru di dalam kempen pilihanraya di Malaysia. Idea politik baru seperti bersedia untuk berdebat dengan mana-mana calon parti di kawasan itu akan memberikan kelebihan kepada rakyat untuk mengenali bakal Yang Berhormatnya yang bakal diundinya. Bayangkan jika wakil rakyat yang dipilih pun tidak mampu berdebat dengan mahasiswa, apatah lagi ingin membawa suara rakyat di dalam Dewan perundangan pula. Walau pun ramai bersetuju mahasiswa turun bertanding di dalam pilihanraya kali ini namun di sisi lain terdapat juga pandangan mahasiswa seharusnya menjadi pengerak merakyatkan suara ‘third force’. Aliran hujah yang dikemukakan Dr Maszlee Malik sebagai ahli panel forum Mahasiswa dan Politik ini dilihat ada juga kebenarannya. Idea beliau adalah dengan mencadangkan mahasiswa membantu menjadi orang tengah menganjurkan perdebatan antara calon-calon yang bertanding, menjadi pemerhati bebas kepada beberapa institusi yang menjadi pemerhati bebas seperti IDEAS, menyebarluaskan politik idea dan pendidikan politik yang sihat dan sebagainya. Peranan ini boleh dimainkan mahasiswa memandangkan mahasiswa merupakan kelompok yang dilihat berpengetahuan dalam sesuatu komuniti. Secara keseluruhannya peranan mahasiswa perlu beranjak setapak ke hadapan lagi dalam demam pilihanraya tidak lama lagi. Jika dulu pilihanraya kampus menjadi medan mahasiswa berpolitik kini mahasiswa sudah diberikan autonomi berpolitik di luar kampus. Penulis teringat kata-kata seorang bekas pimpinan kampus, apa guna pimpinan kampus hanya gah berpolitik di dalam kampus namun apabila sudah bergraduat mereka hilang dan senyap dalam masyarakat. Sama ada kenyataan ini benar atau tidak, biarlah mahasiswa Generasi Y yang menentukannya.

Wednesday, May 27, 2009

Pemimpin Mahasiswa Perlu Menjadi 'Mover"

Daring To Dare merupakan tag line bagi Proton, salah sebuah Perusahaan Automobil Nasional negara. Penulis semasa memimpin Jawatankuasa Pembangunan Pelajar Kolej Proton telah diberi maklum bahawa untuk menjadi Kolej Terbaik, kita perlu mencipta sesuatu yang baru.

Akhirnya di zaman kami, Jawatankuasa Kolej menjemput mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad merasmikan program di kolej kediaman. Maka penulis dan rakan-rakan JPPK telah meletakkan satu indicator yang JPPK junior dibawah kami agak sukar mengapainya. Apa motivasi yang menyebabkan kami boleh sebegitu?

Di zaman kami di kolej, kami bukan sahaja keluar berjumpa pengurusan Proton membentangkan projek yang akan dibuat di Kolej Proton, hubungan yang baik dengan industri ini membantu kami mengurangkan kos dalam bentuk 'in kinds' dimana t-shirt, files, pen dan barang-barang lain telah ditanggung Proton. Justeru, duit kolej boleh disalurkan untuk program-program lain dan keperluan yang lebih bermanfaat.

Daring to Dare perlu difahami bukan sahaja dalam perkataannya tetapi mengajak kita melakukan sesuatu luar dari resmi kita/ kebiasaan kita. Di UUM contohnya kita sudah biasa dengan program tradisi dan akhirnya ia diturunkan dari generasi ke satu generasi JPPK. Di zaman kami melalui Liza, Timb. Pres JPPK yang kini tutor di UMK, beliau mencetuskan idea gotong royong sekampung dimana kami sama-sama memasak dan 'rewang' untuk menjayakan gotong royong tersebut.

Sebab itu, di titik akhirnya pemimpin mahasiswa perlu menjadi pencetus kepada suatu yang baru di dalam kampus. Barulah beliau akan disegani dan digemari. Kebiasaan akan menghilangkan pemimpin mahasiswa dari terus diingat dalam zaman mereka. Penulis yakin penulis hanya lebih dikenali sebagai salah seorang yg memimpin di Kolej berbanding berada di MPP kerana sebab di atas.

Limitasi masa seseorang pemimpin mahasiswa untuk bertugas sangat terhad. Mereka hanya mempunyai 6-8 bulan setelah ditolak cuti semester dan sebagainya. Ini tidak termasuk persediaan kertas kerja, group binding dan menghadapi masalah puak di dalam kumpulan tersebut. Justeru itu, seseorang pemimpin mahasiswa seharusnya hanya fokus kepada program berimpak tinggi dan tidak terlalu banyak selain tugas hakiki membantu memperbaiki kemudahan pelajar.

Budaya yang di cetus dan dimulakan pemimpin mahasiswa sekiranya baik pasti akan merakyat kepada semua mahasiswa di kampus. Persoalannya sejauh mana pemimpin mahasiswa kita hari ini dikampus-kampus telah bertindak sebagai pencetus, mover atau perintis kepada budaya baru itu???

Kita fikir bersama-sama

Thursday, May 7, 2009

Analisis Ucapan Dato Saifudin Abdullah




Pada 7hb Mei 2009, Dato Saifuddin membuat lawatan kerja ke USIM dan berdialog dengan pemimpin mahasiswa.

Penulis mengenali Dato Saifuddin sebagai seorang yg simple dan pemimpin politik yang 'bekerja'. Beliau pernah menjadi pembentang kerta kerja berhubung AUKU ketika penulis menjadi pengarah Persidangan Mahasiswa Undang-Undang Kebangsaan. Walau pun ketika itu, beliau telah bergelar Dato, beliau telah drive sendiri dengan isterinya ke UUM untuk menyampaikan kertas kerja tersebut dengan penginapan yang tak seberapa dan honorarium yang tak sampai RM500 sebagai saguhati membentas kertas tersebut.

Dalam ucapan beliau tadi, beliau menekankan peri pentingnya menghayati budaya ilmu. Menjelaskan berhubung prinsip budaya ilmu iaitu dengan meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat paling tinggi. Mennuntut dan berkongsi ilmu yang dicari dan bertindak berasakan dengan ilmu yang ada.

Justeru, belaiu memahami permintaan orang muda tidak besar iaitu mahu suara mahasiswa di dengar oleh kerajaan. Mengingini pandangan mahasiswa diiktiraf. Kesemua ini dapat dilakukan dengan memahami mahasiswa bukan sahja perlu diakui pemimpin masa depan bahkan pemimpin hari.

Perbincangan

Penulis pernah menceritakan bagaimana suara orang muda pada hari ini menyebabkan kerajaan di tolak. Penulis percaya jika ada 10 orang seperti Dato Saifuddin Abdullah dan Dato Mustapa Mohamad, BN boleh dan akan kekal memimpin Malaysia.

Penulis yakin dan percaya mahasiswa atau pemimpin mahasiswa tidak mempunyai apa-apa 'self interest' dalam menyuarakan dan melontarkan pandangan. Lihat saja isu yang cuba diketengahkan supaya adalah menjadikan ia lebih telus dan adil. Persoalan nasional dan kampus dibuat berasaskan pandangan dan melihat situasi dan suasana di kampus luar dan negara luar. Ini bermakna mahasiswa membuat analisis sebelum menyampaikan atau melontarkan pandangan dan pendapat.

Berapa ramai pemimpin mahasiswa hari ini yang menyelami jiwa kampus...

Dato Saifuddin Abdullah

Dato' Seri Ahmad Shabery Chik

Mereka ini jiwa tulin pemimpin mahasiswa di kampus. Justeru apabila diletakkan sebagai Menteri atau Timbalan Menteri Pengajian Tinggi mereka akan lebih menjiwai suasana kampus dan mahasiswa serta tidak berasa kekok untuk berjumpa pemimpin mahasiswa.

Justeru, penulis yakin orang yang boleh menjiwai KPT adalah mereka yang pernah berada dan membuat kerja-kerja kemahasiswaan sebelum ini. Carilah permata tersebut di antara menteri2 yang ada ketika ini di dalam kabinet.

Monday, March 23, 2009

Universiti negara Kecil

Kata-kata seorang kawan di USIM yg juga merupakan kawan baik kepada Hisyammuddin Rais menarik perhatian kami. Betul... universiti sebagai negara kecil perlu difahami dan diberikan autonominya yang sedemikian rupa. Bayangkan MPP sebagai kabinet yg mentadbir kebajikan negara kecil ini. Rakyat yang terdiri daripada pelajar.

Pusat kesihatan sebagai hospital, kedai2, the mall dan sebagainya adalah nadi ekonomi dan keusahawanan/perniagaan. Justeru, tidak hairanlah suasana politik yg dicorak di dalm universiti sebenar sepatutnya sehangat keadaan pilihanraya di luar. Atau jauh lebih penting kerana ra'yatnya terdiri dari golongan bijak pandai seolah2 di zaman Yunani dan Rom.

Walau pun itu, idealis nya suasana universiti dan keadaannya. Namun ini tidak terjadi. Walau seluhur mana idea kita ingin bangunkan anak bangsa kita.... ia tidak akan mendapat pandangan yg baik dari pihak yg rasa kan itu bukannya. Sudah hilang rasa menghormati pandangan orang lain walaupun pandangan itu bukan populis....

Sudah hilang makna menghormati adabul ikhtilaf kerna yang kita pentingkan adalah periuk nasi kita... Walau sehebat mana pun kita.... kita tidak akan berjaya kalau tujuan kita bukan untuk membangunkan anak bangsa... Tanggungjawab graduan kita memastikan kehidupan mahasiswa kita di universiti adlah menjadi jauh lebih baik dari kiter.

Mari kita renungkan....

Tuesday, January 27, 2009

Politik Kampus 2009

Istilah Politik Kampus sering menarik perhatian warganya tidak kira seseorang itu berstatus mahasiswa, bekas mahasiswa, masyarakat, ahli akademik atau tokoh politik. Tahun 2009 menyaksikan hampir keseluruhan kampus, IPTA yang berada di kawasan Lembah Klang mengadakan pilihanraya kampus.

Namun dari sumber yang tidak dipastikan kesahihannya, istilah pilihanraya kampus tidak dibenarkan digunakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi lalu diganti dengan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar. Walau apa pun bunyinya, dimata dan hati pimpinan dan tokoh gerakan siswa ia tetap akan dikenali pilihanraya kampus.

Pelbagai cerita, tohmahan dan nista dikeluarkan terhadap calon-calon yang bertanding. Walaupun bukan wang yang ditaburkan di dalam pilihanraya kampus namun 'gula-gula' sebagai habuan kepada jentera dan orang kuat yang bekerja untuk calon telah diberi. Rokok, makanan, air minuman dan sebagainya sebagai galanga ganti tidak tahu klasifikasi nya di dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Adakah boleh ia dikatakan sebgaai rasuah...

Penulis telah meninggalkan setahun alam kampus namun masih lagi mengambil tahu perkembangan apa yang terjadi di kampus. Persoalan wajar atau tidak calon pilihanraya bertindak agresif seolah-olah ia pilihanraya nasional terpulang kepada mahasiswa untuk menilai. Namun jauh dilubuk hati penulis, sikap ini akan mengambarkan wajah sebenar calon-calon dan jentera jika bekerja sebagai politikus diluar. Jika gambarannya maki hamun, santapannya fitnah dan jalannya riya' maka itulah ia diluar sana.

Seharusnya, medan pilihanraya kampus ini digunakan untuk kita menilai dan belajar bahawa jawatan ini sesuatu yang sangat indah ranum luarnya tapi duri isi tanggungjawabnya. Penulis hampir muak dengan sikap politikus kecil di kampus seolah-olah mereka boleh merubah dunia sedangkan ia cubaan kecil sebelum jawatan besar di luar sana kelak.

Thursday, November 13, 2008

Persatuan Mahasiswa perlu berwajah ‘muda’



Kehadiran pelbagai persatuan mahasiswa yang bersifat pertubuhan bukan kerajaan telah banyak mengakar aktivitisme mahasiswa di luar kampus. Kehadiran persatuan ini bukan sahaja bersifat nasionalisme, kerohanian (agama), politik dan sebagainya. Nama –nama persatuan yang dominan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), dan sebagainya merupakan sebahagian nama persatuan yang telah berakar umbi sejak era 1960 an lagi.

Walaupun begitu, persatuan mahasiswa ini yang semakin banyak diwarisi kepimpinannya bukan lagi terdiri dari kalangan mahasiswa. Bahkan ada kepimpinan persatuan terdiri dari keseluruhannya yang berkerjaya dan bukan lagi berwajah mahasiswa. Justeru, persoalan yang timbul adakah ia masih lagi relevan untuk berbicara soal mahasiswa sedangkan ia bukan lagi berwajah mahasiswa. Analoginya jika anda adalah pelajar sebuah sekolah dan telah masih lagikah anda mampu berbicara soal pelajar dalam zaman itu?

Persoalan inilah seharusnya dijawab oleh kepimpinan persatuan dan badan bukan kerajaan yang mengatakan mereka memperjuangkan hak mahasiswa. Hak mahasiswa akan sentiasa menjadi mutlak mahasiswa. Contoh yang mudah, dasar kerajaan seperti menghadkan kepimpinan persatuan belia berdasarkan had umur 40 tahun merupakan langkah yang bijak. Ini kerana kerajaan memahami pergerakan belia hanya akan berfungsi dengan baik jika nadi belia sealiran dengan jantung persatuan belia. Justeru, belia yang melebihi had umur 40 tahun perlu memahami masa, keadaan dan kondisi sekitarnya tidak mengizinkan mereka bersama dengan persatuan yang ingin diterajui walaupun mereka mengatakan mereka berkemampuan.

Keadaan yang sama juga perlu difahami persatuan yang mengelarkan diri mereka gerakan mahasiswa. Sejarah juga membuktikan gerakan mahasiswa hanya boleh diwarisi pemimpin yang bergelar mahasiswa. Ini kerana mahasiswa yang dipilih untuk menerajui persatuan mahasiswa tidak mempunyai kepentingan politik. Pandangan mereka ‘suci’ dari dinodai kepentingan diri atau mana-mana badan yang tidak bertanggung jawab. Sikap mahasiswa yang bersifat non partisan dan melontarkan idea yang disaduri dengan ilmu membuktikan scenario ini.

Walaupun hakikatnya begitu, keadaan hari ini tidak menjanjikan persatuan mahasiswa sedemikian. Limitasi terhadap persatuan mahasiswa dari terus bergelumang dengan politik diluar masih lagi diperlukan walaupun begitu sewajarnya limitasi ini bersifat minimum agar ia tidak menghakis jati diri dan kematangan berfikir mahasiswa. Kebebasan membicarakan politik semasa masih lagi tidak terhalang dan perbincangan ilmiah sains politik dan undang-undang yang beracuankan akademik masih lagi dibenarkan. Justeru, mahasiswa sendirilah yang perlu dipilih untuk memimpin kerana mereka memahami diri rakan-rakan mahasiswa apabila memimpin persatuan mahasiswa dari ditunggangi mana-mana parti politik atau badan luar yang tidak bertanggungjawab.

Monday, November 10, 2008

Akademi Kepimpinan Mahasiswa Malaysia

Kepimpinan negara acapkali dikaitkan dengan kepimpinan mahasiswa di kampus. Ini kerana mahasiswa dianggap pemimpin masa depan negara. Justeru, kepimpinan mahasiswa yang ditonjolkan hari ini akan mengambarkan kepimpinan negara pada masa hadapan kelak. Kelahiran pemimpin negara dikalangan pemimpin mahasiswa tidak perlu disangkal. Bukti yang cukup jelas Perdana Menteri kita, YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi yang merupakan bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Walaupun begitu, sudah sampai masanya idea kepimpinan mahasiswa disebarluar dan diberi nilai tambah kualitinya melalui kerangka yang sewajarnya . Ini kerana kebolehan memimpin mahasiswa sentiasa perlu disuburkan dengan idealisme baru dan dimajukan ke hadapan setanding dengan mahasiswa di luar negara. Justeru, satu medan latihan berkala dalam membentuk jatidiri kepimpinan perlu difikirkan. Ini kerana dengan penubuhan badan atau akademi ini, ia akan menjadi tempat rujukan khususnya dalam melatih pemimpin di kampus untuk menjadi pemimpin di masa hadapan.

Oleh itu idea Akademi Kepimpinan Mahasiswa yang dicadangkan ini akan menjadi medan latihan, pemikir dan badan yang akan sentiasa membantu meningkatkan mutu kualiti kepimpinan kampus di Malaysia.

Selain itu, badan ini juga boleh membantu meningkatkan keupayaan kepimpinan pemimpin pelajar di peringkat sekolah-sekolah khususnya sekolah menengah. Ini kerana bakat kepimpinan mahasiswa bukan hak mutlak untuk terus disandang tetapi untuk dikongsi dan diterapkan di dalam diri para pelajar semenjak kecil lagi. Ibarat kata pepatah Melayu, meluntur buluh biar dari rebungnya. Justeru, usaha menyebarluaskan idea dan budaya kepimpinan ini perlulah di galas oleh pemimpin mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

Tambahan pula institusi pengajian tinggi adalah pusat percambahan ilmu dan intelektual. Status quonya sebagai menara gading menjadikan ianya satu tempat yang dihormati kerana punca ilmu bermula di sini. Perdebatan ilmu dikalangan para pensyarah, mahasiswa dan warga kampus di dalamnya sentiasa dipandang tinggi dan menjadi rujukan golongan tertentu khususnya masyarakat apabila timbul sesuatu isu. Oleh itu, masyarakat sentiasa menganggap pemimpin mahasiswa yang lahir dari proses perkembangan ilmu inilah yang akan mengubah kehidupan masyarakat pada masa hadapan.

Walaupun begitu, proses membentuk kepimpinan mahasiswa dikalangan institusi pengajian tinggi berbeza-beza. Perkara ini timbul berkemungkinan disebabkan dasar universiti dan keadaan di dalam sesuatu kampus. Contohnya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dikenali dengan jumlah pelajar antarabangsa dan kebolehan pengucapan awam dikalangan mahasiswanya, Universiti Utara Malaysia dengan asas keusahawanan serta pengurusan yang menjadi teras universitinya dan pelbagai lagi. Sedikit sebanyak dasar dan keadaan universiti ini mencorakkan proses kelahiran pemimpin mahasiswa di dalam universiti tersebut.

Keadaan ini seharusnya bukan menjadi satu halangan malahan ia merupakan kekuatan kepada pemimpin mahasiswa di institusi pengajian tinggi kita hari ini. Dengan jumlah institusi pengajian tinggi awam yang berjumlah 18 buah kesemuanya, kita akan mempunyai kepelbagaian bentuk kepimpinan yang didasari dengan pelbagai bentuk kekuatan. Seharusnya acuan inilah yang akan memperkukuh Akademi Kepimpinan Mahasiswa yang akan ditubuhkan.

Dengan Majlis Perwakilan Pelajar sebagai tonggak utama ditampung kebolehannya dengan kepimpinan di peringkat akar umbi (persatuan, kelab dan kolej), pemimpin mahasiswa kita mampu me’rakyat’kan idea kepimpinan diperingkat sekolah menengah dan rendah. Pemimpin pelajar sekolah menengah di Malaysia hari ini juga perlu didedahkan dengan budaya politik kampus yang biasa dicanang di dalam media massa kita. Dengan pendedahan sebegini, para pelajar akan mengetahui tentang manifesto, budaya berkempen, pilihanraya dan sebagainya.

Secara tidak langsung, kepimpinan para pelajar ini akan terbina khususnya kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, penngurusan dan sebagainya.

Kewujudan Akademi ini juga akan membantu mengenal pasti punca kebejatan sosial dikalangan para pelajar yang semakin meruncing. Pendedahan keputusan kaji selidik berkaitan remaja perempuan yang bermasalah oleh salah seorang pensyarah beberapa tahun yang lalu sudah cukup menakutkan kita. Bila mana hampir kesemua remaja perempuan ini pernah melakukan hubungan seksual secara rela. Apakah tanggungjawab pemimpin mahasiswa kita? Atau dimana peranan mahasiswa kita mendepani isu sensitif ini? Persoalan inilah yang seharusnya mejadi tugas dan amanah berat untuk pemimpin mahasiswa kita lihat dan bantu.

Kita harus memahami negara kita Malaysia akan menjadi negara maju pada tahu 2020. Namun, adakah kita bersedia menjadi negara maju mengikut acuan kita sepertimana yang diungkap Tun Dr. Mahahthir Mohamad? Kerisauan inilah yang seharusnya kita bimbangkan bilamana negara maju yang berjaya hari ini tidak ampuh mendepani krisis sosial dikalangan remajanya. Perkara ini telah pun disedari pemimpin negara kita namun apakah tindakan mahasiswa kita yang berada di institusi pengajian tinggi

Pemimpin mahasiswa di dalam kampus tidak seharusnya tegar dengan isu kampus semata-mata malahan pemikiran dan idea mereka seharusnya melampaui zaman. Inilah yang seharusnya dihayati oleh pemimpin mahasiswa kita dalam buku ‘Mahasiswa Mengugat’ tulisan Muhamad Abu Bakar apabila merujuk kenyataan Naib Canselor Pertama Universiti Malaya secara tidak langsung ketika itu ingin mahasiswanya perlu bersifat global dan kembali kepada masyarakat bukan asyik dengan program di dalam kampus.

Kejayaan Akademi Kepimpinan Mahasiswa ini seharusnya tidak diukur dengan partisipasi yang ingin menyertainya tetapi apa yang penting adanya usaha yang berkesan dan secara konsisten demi membantu membangunkan remaja kita secara holistik. Analoginya cukup mudah, andaikata anak pisang yang ditanam sedang rosak adakah kita masih lagi menganggap buah pisang yang dihasilkan akan mempunyai mutu yang baik? Begitu juga remaja Malaysia hari ini, sekiranya mereka berterusan terjebak dengan gejala sosial dan tidak dibantu, diawasi, dan dipupuk bakatnya adakah kita akan menganggap mereka akan berjaya membantu negara satu hari nanti?

Dengan penubuhan Akademi ini, sekurang-sekurangnya sejarah gerakan mahasiswa di Malaysia dapat didokumentasikan. Dengan adanya badan ini juga kepimpinan mahasiswa di Malaysia dapat ditonjolkan bakatnya sehingga ke peringkat antarabangsa dan pengalamannya dapat dikongsi demi membangunkan masyarakat Malaysia yang maju di masa hadapan kelak.

Saturday, October 25, 2008

Idea Parlimen Mahasiswa Malaysia?

Perdebatan atau seni retorik merupakan salah satu cabang seni ilmu dalam melontarkan idea dan pendapat. Seni ilmu ini yang telah lama wujud mula muncul dan populis ketika di zaman Socrates dan Plato. Kewujudan 'Academia' ketika itu yang berkehendakkan penuntut nya menyampaikan idea secara tuntas dalam mencari kebenaran ilmu menjadikan seni retorik seolah-olah merupakan seni ilmu yang wajid di pelajari pada zaman Yunani kuno tersebut.

Selain itu, dorongan kaum lelaki dalam sistem politik Yunani ketika itu memaksa mereka menguasai seni ini dengan baik dalam memastikan agenda politik mereka dapat mempengaruhi dewan perundangan mereka ketika ini. Walhasilnya, sistem yang ada tersebut telah menjadi warisan kepada hampir semua negara di dunia ini dalam menerima pakai sistem 'Parlimen' yang boleh kita nampak hari ini.

JUsteru, seni debat atau retorik ini tidak boleh tidak perlu berjalan seiring dengan kewujudan kuasa di dalam Parlimen. Memetik kata-kata Datuk Saifudin Abdullah selaku penaung pertama Alumni Debat Malaysia menyatakan betapa pentingnya budaya berdebat di semai dan diajar kepada semua rakyat Malaysia sejak mereka kecil lagi. Ini kerana melalui retorik dan debat, kanak-kanak akan dilatih bertanya secara logik dalam mena'akul sesuatu perkara.

Bukan itu sahaja, apabila budaya ini disemai sejak kecil maka mahasiswa di uiversiti tidak akan lagi menghadapi sindrom mati 'bertanya' sepertimana yang kita nampak hari ini. Sorotan penulis pagi ini dalam internet sangat menarik perhatian dimana penulis mengenali UK Youth PArliament.

Kewujudannya wajar dipertimbangkan dan mempunyai aliran sehati sejiwa dengan idea yang pernah dicanangkan di Malaysia iaitu Parlimen Mahasiswa. Dimana silapnya, idea ini tidak diteruskan dan dicerap dengan baik pemimpin pemimpin kerajaan. Dalam memastikan negara Malaysia terus maju selepas 2020, bukan sahaja ia perlu memastikan generasi hari ini kritis dalam sesuatu perkara malahan generasi seterusnya...

Perdebatan di dalam UK Youth Parliament bukan sahaja di adakan di Parlimen UK malahan disertai hampir semua kategori umur dari mahasiswa, pelajar sekolah menengah dan pelajar sekolah rendah. Idea-idea mereka di garap dengan baik malahan juah lebih penting mereka mempelajari budaya menghormati pandangan rakan sepertimana di dalam Islam telah utarakan adabul ikhtilaf.

Seharusnya, ini menjadi panduan dan rujukan kita dimana wajar sekiranya kita mempertimbangkan Parlimen Mahasiswa di Malaysia dari terus kita melihat anak dan cucu kita mati bertanya apabila masuk di universiti kelak. Jadi mana dia YB-YB kita yang sanggup mencerap idea ini, jangan sekadar jadi jaguh bangsa untuk tubuh kerajaan baru atau terus ingin sibuk mengungguli pencalonan menjadi pemimpin utama parti politik tapi idea sebegini kecil pun ingin disanggahnya....

Wednesday, October 15, 2008

UiTM di Hati Ku


Ku ucap terima kasih pada alimi atas titipan gambar kenang-kenangan ku ketika berada di UiTM Melaka. Gambar ini ketika kami meraikan Muktamar INSAN atau PKPIM UiTM Melaka. Aku ditaklifkan sebagai Pengerusi Tetap bagi memastikan perjalanan dan aturan mesyuarat berjalan mengikut keadaan dan tertibnya.

Pastinya rakan-rakan di dalam gambar ini akan terkenang kan kemanisan kami bermuktamar dan bermuhasabah. Bertamrin merupakan antara resam sebagai ahli gerakan. Walau pun kami ditekan, di pandang serong dianggap pembangkang namun kuat dihati kami, kami ingin mendaulahkan Islam di dalam institusi pengajian tinggi yang syumul ini.

Teringat kata-kata Naib Canselornya yang cukup riya' yang menyatakan institutsi bumiputera ini bukan ingin melahirkan ustadz atau ustazah, kami ingin lahirkan ahli sains, teknokrat bumiputera yang berjaya...

Jijik sangat ke mendaulahkan Islam walaupun bukan datangnya kami ini dari latarbelakang pendidikan agama....

Renung-renungkan lah....