Penamaan calon pada hari Sabtu lepas memuktamadkan senarai calon-calon yang akan bertanding bagi Pilihanraya Umum ke 13 kali ini. Seramai 1900 calon layak bertanding Pilihanraya Umum kali ini bagi merebut kerusi sama ada di peringkat Parlimen mahupun peringkat Dewan Undangan Negeri. Dengan berakhirnya penamaan calon maka bermulalah tempoh berkempen bagi calon-calon yang layak bertanding ini. Walaupun dari sudut perundangan, tempoh berkempen hanya dibenarkan selepas penamaan calon berdasarkan peruntukan seksyen 24, Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya 1954 namun segelintir parti-parti politik telah mula berkempen lebih awal menggunakan media sosial.
Berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta di sokong Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pengguna internet pada tahun 2012 telah meningkat kepada hampir 19 juta orang. Daripada jumlah itu, kaum lelaki paling aktif menggunakan internet dengan 54 peratus berbanding wanita hanya mencatat 46 peratus. Tetapi jauh lebih penting data-data di atas berhubung kait dengan pilihanraya adalah kategori penduduk di dalam lingkungan usia 20 tahun hingga 35 tahun mencatatkan hampir 50 peratus penggunaan internet di Malaysia.
Dengan jumlah 2.3 juta pengundi baru serta kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar 5.5 juta adalah pengundi muda berusia di bawah 40 tahun, ia merupakan satu angka yang seharusnya tidak dipandang mudah mana-mana parti lawan. Justeru, penggunaan media sosial secara optimum sebagai satu medium berpolitik era baru sebenarnya memberikan pilihan serta mempermudahkan anak-anak muda membuat pilihan. Walau pun, jumlah ini tidak semestinya menentukan kemenangan sesuatu parti politik namun undi kelompok ini mampu memberikan kesan besar dalam pilihanraya umum kali ini.
Penggunaan media baru sebagai wadah kempen bukanlah satu fenomena baru. Kajian yang dilakukan Junaidi Awang dan Dr. Mohd Fuad Mat Jali berhubung Impak Akses Internet terhadap Partisipasi Politik Pengundi’ mencatatkan pada pilihanraya umum 2008, tsunami politik yang berlaku di negara ini telah menyebabkan Barisan Nasional kehilangan undi majoriti dua pertiga di dalam dewan rakyat serta pendekatan kempen dengan menggunakan perang siber amat ketara dengan peningkatannya khususnya selepas penamaan calon di dalam PRU 2008 yang lalu.
Natijah daripada keputusan PRU 2008 itulah, sejak dari tu, semua wakil-wakil rakyat mula berjinak-jinak dengan blog, facebook, twitter dan sebagainya. Buktinya, Perdana Menteri Malaysia sendiri Datuk Seri Najib Razak mempunyai 1.6 juta orang yang ‘like’ halaman beliau di media sosial facebook berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah 500, 000 orang sahaja.
Penggunaan media sosial seperti blog, laman web, forum siber, you tube, email, facebook dan twitter sebagai medium berkempen dengan meletakkan jadual kempen, gambar-gambar berkempen akan memudahkan anak-anak muda mengetahui perkembangan ahli-ahli politik mereka. Selain itu, kempen era baru ini sangat signifikan memandangkan pengundi muda yang baru pertama kali mengundi kadangkala tidak mengenali calon disebabkan faktor bekerja di luar kawasan tempat mengundi dan sebagainya. Oleh yang demikian, sekurang-kurangnya sepanjang tempoh berkempen pengundi luar boleh mengenali calon berdasarkan partisipasi dan kempen beliau di kawasan mengundi tersebut.
Selain penggunaan media baru sebagai wadah baru berkempen, kajian yang dilakukan Samsudin A. Rahim di dalam kertas kerja beliau “Media, Demokrasi dan Generasi muda: Analisis Keputusan Pilihanraya ke 12’ menekankan generasi muda iaitu khususnya Generasi Y kini sememangnya sudah sebati dengan internet dan menjadikannya sebagai sumber yang boleh dipercayai. Keupayaan generasi muda ini mendapat maklumat di celah jari mereka memerlukan setiap parti-parti politik perlu bersedia dan mempunyai kumpulan kempen yang cekap dengan kemudahan teknologi maklumat dan internet.
Ini kerana kegagalan calon-calon menyalurkan maklumat dan manifesto secepat mungkin dengan cara efektif dan efisyen akan menyebabkan parti lawan memasarkan diri mereka dengan mudah dalam setiap rumah-rumah pengundi mereka. Kepercayaan maklumat daripada media ini adalah penting kerana ia menjadi asas seseorang pengundi itu membuat keputusan. Apabila maklumat sebegini dapat disalurkan dengan cara mudah dan pantas maka ia memudahkan pengundi membuat penilaian dan keputusan bagi memilih calon pada hari pengundian nanti.
Secara konklusinya, calon-calon pilihanraya umum ke 13 hari ini berhadapan dengan satu kelompok yang celik maklumat dengan penggunaan internet. Justeru, calon-calon muda seperti Khairy Jamaluddin, Muammar Gaddafi, Nurul Izzah, dan sebagainya mempunyai kelebihan masing-masing dalam penggunaan media sosial sebagai wadah berkempen. Namun demikian, ia tidak sama sekali menafikan kelompok lama tetapi mesra media sosial seperti Perdana Menteri sendiri. Dengan kempen era baru ini sekurang-kurangnya kos percetakan akan berkurangan dan pembaziran dapat dielakkan. Mungkin sudah sampai masanya kita memikirkan untuk mengaplikasi teknologi sebagai alternatif berkesan menemui pengundi di alam siber.
Di beberapa negara maju seperti pemilihan Presiden Amerika Syarikat atau pilihanraya di United Kingdom, bahan-bahan kempen mereka tidaklah sampai beratus ribu dollar berbanding di negara kita. Ini kerana selepas 5 Mei nanti, bahan-bahan kempen konvensional ini akan dibuang begitu sahaja. Justeru, sudah sampai masanya kita menilai semula aplikasi di zaman teknologi maklumat ini. Apabila ini berlaku maka akan benarlah kata-kata Alvin Toffler dalam bukunya The Third Wave yang berbunyi gelombang ketiga yang akan menakluk dunia selepas pertanian dan perindustrian adalah teknologi maklumat.’
No comments:
Post a Comment