Tuesday, May 21, 2013

Yang Berhormat Mahasiswa: Isu dan Cabaran

Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi pada 15 Disember 2012 yang lalu bakal mencatat sejarah penting politik nasional apabila mahasiswa dibenarkan untuk bertanding di dalam Pilihanraya Umum ke 13. Pengumuman ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika dilihat dari keputusan Mahkamah Persekutuan pada 22 November yang lalu apabila hakim sebulat suara dengan korum 5-0 bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Rayuan bahawa disebabkan kerajaan telah membuat pindaan terhadap peruntukan subseksyen 15 di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 pada Jun 2012 yang lalu bagi membenarkan partisipasi mahasiswa berpolitik di luar kampus maka ia bermaksud mahasiswa sudah boleh berpartisipasi secara langsung sebagai ahli parti, memegang jawatan hatta bertanding di dalam pilihanraya. Polemik sama ada mahasiswa wajar bertanding di dalam pilihanraya telah menimbulkan pelbagai persoalan. Namun antara yang terawal memberikan respon adalah Solidariti Mahasiswa Malaysia dengan penubuhan Gerakan Mahasiswa Pilihanraya Umum ke 13 atau lebih dikenali dengan GM13, jentera mahasiswa yang dibentuk di Dataran Merdeka pada 3 Januari yang lalu dan pada 5 Januari pula mereka menganjurkan Forum Mahasiswa dan Politik yang di hadiri kumpulan aktivis mahasiswa bersama-sama Dato Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Dr Maszlee Malik, ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Persoalan sama ada wajar atau tidak mahasiswa bertanding dalam PRU 13 seharusnya bukan dilihat sebagai satu persoalan enteng. Pihak berkepentingan seperti Kementerian Pengajian Tinggi, universiti, gerakan mahasiswa dan mahasiswa sendiri seharusnya menilai isu ini secara tuntas agar tidak timbul konflik di kemudian hari. Ini kerana ada pihak yang mempersoalkan sebelum itu mengapa hanya selepas kes Hilman Idham atau UKM4 yang mencabar peruntukan seksyen 15 AUKU 1971, baru kerajaan mengambil inisiatif memindanya sedangkan sebelum kes ini di bawa ke Mahkamah tiada desas desus pun akan wujud inisiatif kerajaan akan meminda AUKU dalam membenarkan mahasiswa berpolitik. Selain itu, apabila kes UKM 4 telah diputuskan Mahkamah Rayuan yang memberikan kemenangan kepada mahasiswa, kerajaan masih lagi berkeras untuk membuat rayuan terhadap keputusan ini di Mahkamah Persekutuan dan akhirnya Mahkamah Apex ini telah menolak secara keseluruhan rayuan kerajaan selepas itu. Walau pun kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi berfungsi untuk menyelaras dasar pengajian tinggi namun institusi pengajian tinggi awam masih ‘diam’ seribu bahasa. Seharusnya pentadbiran universiti perlu berperanan proaktif memandangkan autonomi di dalam mentadbir akademik mahasiswa berada di dalam kuasa Senat Universiti. Oleh itu, apabila isu mahasiswa dibenarkan bertanding PRU13 muncul dan dijangka menang, Yang Berhormat berstatus mahasiswa ini masih lagi belajar dan pada masa yang sama juga perlu mengambil berat kawasan yang dimenangi beliau. Oleh itu, seharusnya universiti juga telah dirunding dan bersedia bagi menyediakan keadaan yang kondusif bagi mahasiswa untuk bertanding dalam pilihanraya. Pemindahan jam kredit atau cuti sabatikal harus di berikan kepada mahasiswa yang ingin bertanding memandangkan kebebasan berpolitik merupakan kebebasan asasi yang telah diiktiraf di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan. Bagi mahasiswa dan gerakan mahasiswa secara keseluruhannya pula harus faham partisipasi mahasiswa yang bertanding pada pilihanraya kali ini akan menentukan sebenarnya survival gerakan mahasiswa di masa akan datang. Calon mahasiswa yang bertanding harus ingat, jentera parti-parti politik telah pun melakukan persediaan calon sejak 2 hingga 3 tahun yang lalu hatta ada sesetengah parti politik telah berkempen selepas PRU ke 12. Jika mahasiswa hanya ingin bertanding dengan ‘menunjukkan muka’ sahaja maka ia hanya akan merugikan gerakan mahasiswa secara keseluruhannya. Tambahan lagi, pendirian yang diambil untuk bertanding di kerusi ‘panas’ seperti Parlimen Pekan dan sebagainya harus difikir secara realistik sama ada mahasiswa yang ingin bertanding boleh menang di kawasan tersebut. Mahasiswa juga harus ingat kehadiran mereka di dalam pentas politik bukan untuk nama atau kuasa tetapi pengiktirafan di dalam badan perundangan setelah hampir 40 tahun AUKU memandulkan politik mahasiswa. Justeru, mahasiswa tidah harus ‘gila kuasa’ untuk bertanding 222 buah kerusi. Bagi penulis cukup sekadar satu kerusi tetapi seluruh tenaga di gemblengkan gerakan mahasiswa membantu bagi kemenangan seorang calon mahasiswa tersebut. Mahasiswa secara keseluruhannya dikenali sebagai kelompok yang mempunyai pemikiran kritis dan penuh daya kreativiti. Mahasiswa yang bakal bertanding di dalam PRU 13 ini harus berperanan membawa politik baru di dalam kempen pilihanraya di Malaysia. Idea politik baru seperti bersedia untuk berdebat dengan mana-mana calon parti di kawasan itu akan memberikan kelebihan kepada rakyat untuk mengenali bakal Yang Berhormatnya yang bakal diundinya. Bayangkan jika wakil rakyat yang dipilih pun tidak mampu berdebat dengan mahasiswa, apatah lagi ingin membawa suara rakyat di dalam Dewan perundangan pula. Walau pun ramai bersetuju mahasiswa turun bertanding di dalam pilihanraya kali ini namun di sisi lain terdapat juga pandangan mahasiswa seharusnya menjadi pengerak merakyatkan suara ‘third force’. Aliran hujah yang dikemukakan Dr Maszlee Malik sebagai ahli panel forum Mahasiswa dan Politik ini dilihat ada juga kebenarannya. Idea beliau adalah dengan mencadangkan mahasiswa membantu menjadi orang tengah menganjurkan perdebatan antara calon-calon yang bertanding, menjadi pemerhati bebas kepada beberapa institusi yang menjadi pemerhati bebas seperti IDEAS, menyebarluaskan politik idea dan pendidikan politik yang sihat dan sebagainya. Peranan ini boleh dimainkan mahasiswa memandangkan mahasiswa merupakan kelompok yang dilihat berpengetahuan dalam sesuatu komuniti. Secara keseluruhannya peranan mahasiswa perlu beranjak setapak ke hadapan lagi dalam demam pilihanraya tidak lama lagi. Jika dulu pilihanraya kampus menjadi medan mahasiswa berpolitik kini mahasiswa sudah diberikan autonomi berpolitik di luar kampus. Penulis teringat kata-kata seorang bekas pimpinan kampus, apa guna pimpinan kampus hanya gah berpolitik di dalam kampus namun apabila sudah bergraduat mereka hilang dan senyap dalam masyarakat. Sama ada kenyataan ini benar atau tidak, biarlah mahasiswa Generasi Y yang menentukannya.

PENGUNDI BARU : APA PATUT DI KETAHUI MENGENAI HAK MENGUNDI?

Pada umumnya, seramai 2.3 juta pengundi muda telah digazetkan melalui Daftar Pemilih 2012 bagi melayakkan mereka mengundi buat pertama kalinya. Dengan itu juga, pengundi yang digazetkan ini telah memenuhi sebahagian haknya sebagai seorang warganegara yang telah dijamin hak untuk mengundi di bawah Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan. Jumlah 2.3 juta ini juga membentuk 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi rakyat Malaysia yang dicatatkan seramai 13.3 juta orang. Namun jauh lebih penting adalah figura di mana 5.5 juta pengundi pada Pilihanraya Umum ke 13 kali ini adalah pengundi berusia di bawah 40 tahun yang membentuk 40 peratus. Justeru, sebagai pengundi muda terdapat peruntukan undang-undang yang harus difahami agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dengan baik dan sempurna. Di antara peruntukan undang-undang yang perlu diketahui adalah berdasarkan peruntukan di dalam Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya 1954 dan Peraturan-Peraturan (Perjalanan Pilihanraya) 1981. Walau bagaimana pun, peraturan-peraturan ini lebih dominan dan wajar diketahui sebagai pengundi berbanding Akta Kesalahan Pilihanraya yang ada. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012 yang telah diwartakan menjelaskan dua pindaan penting iaitu, penggunaan dakwat kekal dan pengiring kepada OKU. Pilihanraya Umum ke 13 mencatatkan sejarah baru memandangkan buat pertama kalinya penggunaan dakwat kekal dengan setiap pengundi akan dicalit jarinya sebelum diberikan kertas undi. Ini kerana bermula sejak tahun 1955 hinggalah pada Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008, negara kita tidak pernah menggunakan dakwat kekal sebagai jaminan bahawa pengundi tidak boleh mengundi buat kali kedua. Walaupun pada PRU ke 12, SPR telah bersetuju untuk menggunakan dakwat kekal ini namun disebabkan terdapat ura-ura adanya dakwat kekal yang telah dibeli pihak yang tidak bertanggungjawab dari negara luar dan cuba diseludup maka kerajaan telah membatalkan hasrat tersebut. Justeru, usaha SPR bagi memastikan ketelusan ini harus dipuji memandangkan pada masa yang sama beberapa buah negara seperti Indonesia, Pakistan, India dan sebagainya turut menggunakan kaedah yang sama bagi memastikan pengundi tidak boleh mengundi buat kali kedua memandangkan dakwat ini kekal bagi tempoh yang agak lama. Bagi umat Islam, mereka tidak perlu gusar memandangkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan melalui Pengerusinya Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin telah menyatakan penggunaan dakwat kekal ini adalah harus dan dibenarkan. Ini bersandarkan tiga sebab utama iaitu tidak najis, tidak memudaratkan serta boleh menyerap air. Justeru, umat Islam di negara ini masih lagi boleh menunaikan solat walaupun setelah jari telunjuk kirinya dicalitkan dengan dakwat kekal ini. Selain itu, pada hari pengundian kelak, pengundi muda dan baru pertama kali mengundi perlu menunjukkan kad pengenalan mereka bagi memastikan identiti pengundi. Setelah itu, pengundi akan disebut nama dan nombor kad pengenalannya oleh kerani SPR pertama. Kemudian, kerani SPR kedua akan mencalitkan dakwat kekal di jari telunjuk kiri dan kerani ketiga akan menyerahkan dua borang kertas undi yang terdiri daripada kertas undi peringkat Parlimen dan kertas undi Dewan Undangan Negeri. Pengundi wajib memangkah di kotak kosong yang disediakan bagi mengelakkan kertas undi di anggap rosak dan jangan sesekali pengundi cuba menyeludup keluar kertas undi kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 3(h) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya 1954 yang boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda tidak melebihi lima ribu ringgit. Tambahan lagi adalah pindaan baru 2012 berhubung dengan pengiring bagi pengundi Orang Kurang Upaya (OKU). Jika pada pilihanraya umum yang lalu, pengundi OKU hanya boleh diiring oleh sanak keluarga yang terdekat namun pindaan 2012 membenarkan sesiapa sahaja mengiringi pengundi OKU khususnya petugas parti. Walau bagaimana pun, pengiring ini perlulah memastikan mereka mendapat kebenaran dan perakuan daripada pengundi OKU tersebut bagi membolehkan mereka dibenarkan mengiringi mereka. Ini dapat dilakukan apabila pengiring tersebut mengisi borang 10 yang disediakan bagi tujuan terbabit. Bagi memastikan proses perjalanan pilihanraya kali ini mesra OKU maka Suruhanjaya Pilihanraya turut sama melantik badan bukan kerajaan yang terdiri daripada Gabungan Persatuan Orang Cacat Malaysia. Ini bagi membolehkan SPR menambah baik undang-undang dan peraturan-peraturan pilihanraya khususnya bagi orang kurang upaya dalam membolehkan kemudahan yang sama turut dibuat bagi mempermudahkan urusan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Bagi memastikan rakyat memahami fungsi dan peranan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), institusi ini bergerak secara proaktif disamping sentiasa mengemaskini laman webnya dalam mendidik rakyat agar mengetahui hak mereka sebagai pengundi. Dengan pelbagai media cetak dan elektronik, kemudahan dan pendidikan demokrasi yang dilakukan SPR bolehlah dianggap berkesan. Namun, jika usaha-usaha ini akan menjadi sia-sia jika pengundi yang telah mendaftarkan diri sebagai pengundi tidak turun mengundi pada hari pengundian. Jika pengundi ini tidak dapat mengundi di sebabkan majikan tidak membenarkannya maka majikannya sebenarnya telah melakukan kesalahan di bawah seksyen Seksyen 3(n) yang menyatakan bahawa “menghalang seseorang yang telah layak mengundi daripada mengundi di kawasannya” merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya 1954. Oleh yang demikian, pengundi harus diperingat berulang kali bahawa setiap undi itu sangat berharga. Jikalau setiap pengundi di Malaysia menghadami dan membaca buku tulisan Alexander Keyssar yang bertajuk “The Right to vote: The Contested history of democracy in the United States”, penulis pasti setiap pengundi di Malaysia akan lebih menghargai setiap undian mereka memandangkan sejarah pengundi di Amerika Syarikat yang bukan sahaja dihalang mengundi disebabkan agama, warna kulit, gender malahan disebabkan etnik, bangsa, umur dan sebagainya. Dengan sejarah yang panjang inilah hari ini setiap warganegara di negara Uncle Sam itu amat menghayati erti setiap UNDI.

Politik Muka Buku : Politik Era Baru Di Malaysia

Penamaan calon pada hari Sabtu lepas memuktamadkan senarai calon-calon yang akan bertanding bagi Pilihanraya Umum ke 13 kali ini. Seramai 1900 calon layak bertanding Pilihanraya Umum kali ini bagi merebut kerusi sama ada di peringkat Parlimen mahupun peringkat Dewan Undangan Negeri. Dengan berakhirnya penamaan calon maka bermulalah tempoh berkempen bagi calon-calon yang layak bertanding ini. Walaupun dari sudut perundangan, tempoh berkempen hanya dibenarkan selepas penamaan calon berdasarkan peruntukan seksyen 24, Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya 1954 namun segelintir parti-parti politik telah mula berkempen lebih awal menggunakan media sosial. Berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta di sokong Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pengguna internet pada tahun 2012 telah meningkat kepada hampir 19 juta orang. Daripada jumlah itu, kaum lelaki paling aktif menggunakan internet dengan 54 peratus berbanding wanita hanya mencatat 46 peratus. Tetapi jauh lebih penting data-data di atas berhubung kait dengan pilihanraya adalah kategori penduduk di dalam lingkungan usia 20 tahun hingga 35 tahun mencatatkan hampir 50 peratus penggunaan internet di Malaysia. Dengan jumlah 2.3 juta pengundi baru serta kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar 5.5 juta adalah pengundi muda berusia di bawah 40 tahun, ia merupakan satu angka yang seharusnya tidak dipandang mudah mana-mana parti lawan. Justeru, penggunaan media sosial secara optimum sebagai satu medium berpolitik era baru sebenarnya memberikan pilihan serta mempermudahkan anak-anak muda membuat pilihan. Walau pun, jumlah ini tidak semestinya menentukan kemenangan sesuatu parti politik namun undi kelompok ini mampu memberikan kesan besar dalam pilihanraya umum kali ini. Penggunaan media baru sebagai wadah kempen bukanlah satu fenomena baru. Kajian yang dilakukan Junaidi Awang dan Dr. Mohd Fuad Mat Jali berhubung Impak Akses Internet terhadap Partisipasi Politik Pengundi’ mencatatkan pada pilihanraya umum 2008, tsunami politik yang berlaku di negara ini telah menyebabkan Barisan Nasional kehilangan undi majoriti dua pertiga di dalam dewan rakyat serta pendekatan kempen dengan menggunakan perang siber amat ketara dengan peningkatannya khususnya selepas penamaan calon di dalam PRU 2008 yang lalu. Natijah daripada keputusan PRU 2008 itulah, sejak dari tu, semua wakil-wakil rakyat mula berjinak-jinak dengan blog, facebook, twitter dan sebagainya. Buktinya, Perdana Menteri Malaysia sendiri Datuk Seri Najib Razak mempunyai 1.6 juta orang yang ‘like’ halaman beliau di media sosial facebook berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah 500, 000 orang sahaja. Penggunaan media sosial seperti blog, laman web, forum siber, you tube, email, facebook dan twitter sebagai medium berkempen dengan meletakkan jadual kempen, gambar-gambar berkempen akan memudahkan anak-anak muda mengetahui perkembangan ahli-ahli politik mereka. Selain itu, kempen era baru ini sangat signifikan memandangkan pengundi muda yang baru pertama kali mengundi kadangkala tidak mengenali calon disebabkan faktor bekerja di luar kawasan tempat mengundi dan sebagainya. Oleh yang demikian, sekurang-kurangnya sepanjang tempoh berkempen pengundi luar boleh mengenali calon berdasarkan partisipasi dan kempen beliau di kawasan mengundi tersebut. Selain penggunaan media baru sebagai wadah baru berkempen, kajian yang dilakukan Samsudin A. Rahim di dalam kertas kerja beliau “Media, Demokrasi dan Generasi muda: Analisis Keputusan Pilihanraya ke 12’ menekankan generasi muda iaitu khususnya Generasi Y kini sememangnya sudah sebati dengan internet dan menjadikannya sebagai sumber yang boleh dipercayai. Keupayaan generasi muda ini mendapat maklumat di celah jari mereka memerlukan setiap parti-parti politik perlu bersedia dan mempunyai kumpulan kempen yang cekap dengan kemudahan teknologi maklumat dan internet. Ini kerana kegagalan calon-calon menyalurkan maklumat dan manifesto secepat mungkin dengan cara efektif dan efisyen akan menyebabkan parti lawan memasarkan diri mereka dengan mudah dalam setiap rumah-rumah pengundi mereka. Kepercayaan maklumat daripada media ini adalah penting kerana ia menjadi asas seseorang pengundi itu membuat keputusan. Apabila maklumat sebegini dapat disalurkan dengan cara mudah dan pantas maka ia memudahkan pengundi membuat penilaian dan keputusan bagi memilih calon pada hari pengundian nanti. Secara konklusinya, calon-calon pilihanraya umum ke 13 hari ini berhadapan dengan satu kelompok yang celik maklumat dengan penggunaan internet. Justeru, calon-calon muda seperti Khairy Jamaluddin, Muammar Gaddafi, Nurul Izzah, dan sebagainya mempunyai kelebihan masing-masing dalam penggunaan media sosial sebagai wadah berkempen. Namun demikian, ia tidak sama sekali menafikan kelompok lama tetapi mesra media sosial seperti Perdana Menteri sendiri. Dengan kempen era baru ini sekurang-kurangnya kos percetakan akan berkurangan dan pembaziran dapat dielakkan. Mungkin sudah sampai masanya kita memikirkan untuk mengaplikasi teknologi sebagai alternatif berkesan menemui pengundi di alam siber. Di beberapa negara maju seperti pemilihan Presiden Amerika Syarikat atau pilihanraya di United Kingdom, bahan-bahan kempen mereka tidaklah sampai beratus ribu dollar berbanding di negara kita. Ini kerana selepas 5 Mei nanti, bahan-bahan kempen konvensional ini akan dibuang begitu sahaja. Justeru, sudah sampai masanya kita menilai semula aplikasi di zaman teknologi maklumat ini. Apabila ini berlaku maka akan benarlah kata-kata Alvin Toffler dalam bukunya The Third Wave yang berbunyi gelombang ketiga yang akan menakluk dunia selepas pertanian dan perindustrian adalah teknologi maklumat.’

UNDI KAUM CINA DI MALAYSIA: APA KAYU UKUR MENGUNDI CALON PRU 13?

Sejarah kedatangan kaum Cina bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi apabila pedagang-pedagang Cina khususnya dari wilayah Cina Selatan seperti Fujian dan Guangdong datang berniaga di Pelabuhan Melaka ketika itu. Zaman kemuncak kedatangan Cina ini ditandai pula dengan perkahwinan Puteri Hang Li Po dengan Sultan Muzafar Syah dan hari ini kaum Cina adalah merupakan penduduk majoriti kedua terbesar di Malaysia dengan jumlah 7 juta orang. Walau bagaimana pun, berdasarkan perangkaan daftar pemilih pengundi bagi tahun 2013, sebanyak 55 peratus jumlah kaum Cina telah mendaftarkan diri sebagai pengundi dan jumlah ini lebih tinggi berbanding dengan jumlah kaum-kaum lain yang telah mendaftarkan diri sebagai pengundi jika di nisbahkan dengan jumlah penduduk secara keseluruhannya. Justeru, undi kaum Cina boleh dianggap penentu dalam memastikan kedudukan parti-parti politik yang bertanding hari ini. Kerjasama di antara parti-parti politik berasaskan bangsa telah dimulakan Parti Perikatan apabila menyertai pilihanraya pada tahun 1955 dan pada Pilihanraya tahun 1959 kerjasama sebegini selepas kemerdekaan telah berjaya meyakinkan rakyat apabila menerima 73 peratus sokongan pengundi di peringkat Parlimen. Walau bagaimana pun, hubungan kerjasama ini ada pasang surutnya. Pada tahun 1969, parti Perikatan menghadapi ujian getir apabila hanya menerima 44.9 peratus tidak termasuk sokongan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak berbanding PAS 20.9 peratus da DAP 11.9 peratus. Beberapa negeri dan bandar besar di Selangor dan Kuala Lumpur telah dimenangi Parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP). Sejak dari itu dengan reformasi yang dizahirkan dengan nama parti Barisan Nasional pada tahun 1974, parti kerjasama bersama MCA, Gerakan, MIC dan beberapa komponen parti-parti di Sabah dan Sarawak ini terus berjaya membentuk kerajaan dengan undi dua pertiga sehinggalah di landa tsunami politik pada tahun 2008. Walau pun kerjasama parti-parti politik pembangkang seperti PAS, DAP dan Keadilan hanya bermula pada tahun 1999 apabila berlakunya kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri namun mereka berjaya meraih sokongan rakyat sebanyak 45 kerusi Parlimen dan antara keputusan terbaik selepas tahun 1969. Pada tahun 2008, parti Barisan Nasional hanya mendapat 51.4 peratus undi sokongan rakyat dan kegagalan mendapat dua pertiga majoriti mula dikatakan apabila undi Melayu berpecah kepada tiga parti politik seperti UMNO, Keadilan dan PAS. Manakala pengundi-pengundi Cina dan India mula beralih memberi sokongan kepada pakatan pembangkang ketika itu. Pada Pilihanraya Umum ke 13, banyak kayu ukur yang menjadi asas pertimbangan pengundi Cina khususnya berhubung pelaksanaan hukum Hudud PAS, kestabilan politik dan ekonomi, keadilan sosial, ketelusan, integriti calon dan sebagainya. Walau bagaimana pun, kajian yang dilakukan Junaidi Awang Besar dan rakan-rakannya yang bertajuk Analisis Pola Pengundi Etnik Kaum Cina dalam Pilihanraya Kecil Dun Tenang, Johor telah membincangkan bahawa sejak tahun 1999 pengundian Cina terhadap calon berasaskan kaum mungkin akan berkurangan pada masa hadapan dan ia akan menandakan bermulanya politik baru di Malaysia ketika itu nanti. Amer Saifude Ghazali dalam kajian beliau yang bertajuk Politik Etnik Malaysia: Analisis Pasca Pilihanraya Umum ke 12 pula menyatakan bagi kawasan pengundi dimana tiada majoriti kaum mendominasi pada tahun 2008, pengundi kaum Cina telah menolak politik pembangunan malahan menunjukkan sokongan kepada pakatan pembangkang. Ini menunjukkan secara tidak langsung pengundi Cina mempunyai kuasa penentuan yang besar khususnya di beberapa tempat termasuklah di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur. Rujukan negeri-negeri ini penting memandangkan pengundi Cina merupakan kelompok majoriti berbanding Melayu seperti di Pulau Pinang (53.92%), Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur (51%). Bagi negeri Sabah (17%) dan Sarawak (32%) merupakan jumlah kedua tertinggi selepas etnik bumiputera Sabah dan Sarawak berbanding Melayu. Adakah dengan munculnya kuasa pengundi Cina ini akan menghakis kuasa Melayu di Malaysia? Persoalan ini sangat rumit dan kompleks namun ia telah diselesaikan oleh Bapa-bapa Perlembagaan kita iaitu Suruhanjaya Reid pada tahun 1957. Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan keistimewaan orang Melayu yang terdapat pada Perkara 152 hanya boleh di pinda berdasarkan peruntukan Perkara 159 yang memerlukan sokongan dua pertiga bermaksud 148 orang ahli-ahli parlimen. Oleh itu adalah mustahil untuk dipinda memandangkan calon-calon Melayu yang bertanding pilihanraya umum ke 13 ini adalah lebih ramai berbanding bukan Melayu. Selain itu, Suruhanjaya Reid telah mengariskan pindaan berhubung kuasa Raja-raja Melayu, agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu hanya boleh dilakukan dengan perkenan Majlis Raja-raja yang menjadi benteng terakhir sebagai pelindung hak yang telah disimpul kemas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, walaupun pengundi Cina mungkin menguasai sebahagian besar negeri-negeri dan wilayah namun dalam konsep demokrasi di Malaysia mereka tidak mampu membentuk sokongan di Parlimen tanpa wujudnya undi sokongan seperti kaum-kaum lain khususnya Melayu yang membentuk majoriti dan kaum India. Ini telah dibuktikan sejak pilihanraya pertama lagi pada tahun 1959. Dengan sebab itulah, Pilihanaraya Umum ke 13 menarik untuk ditinjau apabila pengiktirafan juga di beri pada kaum-kaum lain untuk bertanding dalam parti yang majoritinya Melayu seperti PAS. Pencalonan Hu Pang Chow, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS yang akan menentang Datuk Wee Ka Siong yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri Pelajaran. Oleh yang demikian, secara asasnya pengundi-pengundi Cina sudah mula keluar dari kelompong menyokong calon berasaskan kaum, ras dan agama. Dengan batu asasnya di tunjukkan pada tahun 2008, maka politik perkauman mungkin boleh dianggap semakin luntur dan ke belakang di sebalik wajah baru politik nilai dan adab. Justeru, hari ini sudah mula beberapa ahli Parlimen memulakan pencak silat dalam tempoh kempen pilihanraya perdebatan manifesto yang ingin di bawa di kawasan masing-masing. Dengan wujudnya politik baru ini maka masyarakat Malaysia sudah menandakan diri mereka semakin matang dalam berpolitik. Adakah masyarakat kita telah bersedia? PRU ke 13 adalah jawapannya.

Kerajaan Sementara: Sejarah dan Aplikasi di Malaysia

Tarikh Pilihanraya Umum di Malaysia masih lagi menjadi tanda tanya apabila Parlimen masih lagi belum di bubarkan. Rakyat masih terus menanti walaupun Dewan Undangan Negeri Sembilan telah terbubar secara automatik apabila tamat tempohnya pada 28 Mac 2013 yang lalu. Pastinya tarikh 28 Mac 2013 mencatatkan sejarah penting dalam sejarah pilihanraya di Malaysia, kerana buat pertama kalinya sebuah Dewan Undangan Negeri di dalam Malaysia terbubar secara automatik apabila genap tempohnya 5 tahun, setelah ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan telah mengangkat sumpah dan bersidang pada 28 Mac 2008 berdasarkan peruntukan Perkara 58, Perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan. Walau pun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sembilan telah dibubarkan secara rasmi namun Yang Berhormat Datuk Seri Utama Mohammad Hassan telah mengumumkan pentadbiran kerajaan tetap berfungsi sepertimana biasa memandangkan mereka kini berfungsi sebagai caretaker government manakala badan kehakiman dan badan eksekutif tidak terlibat dengan apa-apa pembubaran. Ramai orang membuat spekulasi bagaimanakah pengiraan tarikh genap 5 tahun di buat. Berdasarkan peruntukan Perkara 55 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen haruslah berjalan dari tarikh mesyuaratnya yang pertama. Oleh itu, berdasarkan maksud peruntukan di atas ini bermakna Parlimen Malaysia hanya mempunyai tempoh tamat sah laku sehingga 28 April 2013. Ini kerana kesemua ahli Parlimen telah mengangkat sumpah dan mula bersidang pada 28 April 2008. Ada yang bertanya, bolehkah kiraan tarikh mengangkat sumpah dikira sebagai tarikh mula mesyuarat bersidang kerana di dalam peruntukan Perlembagaan hanya menyebut tarikh mula bersidang dan bukannya tarikh mula mengangkat sumpah.. Jawapannya adalah, secara konvensyen apabila seseorang ahli Parlimen mengangkat sumpah maka selepas itu akan diteruskan dengan persidangan mesyuarat. Penulis harus sering kali mengingatkan pembaca bahawa di dalam kes Loh koi Choon, Hakim Raja Azlan Shah mengingatkan bahawa Perlembagaan harus diinterprestasikan secara liberal dan luas dan bukannya dengan cara yang sempit. Ini bermaksud apabila perkataan yang digunakan didalam Perlembagaan di rujuk maka ia harus diinterpretasikan secara luas seperti mengangkat sumpah dan bersidang di atas. Sangat signifikan juga Perlembagaan Persekutuan ini dirujuk serta diselang selikan dengan Perlembagaan Negeri memandangkan PErlembagaan Negeri merupakan cedokan daripada Perlembagaan Persekutuan bagi penulis menerangkan isu ini disini. Dengan berlakunya pembubaran ini maka apa yang pasti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan yang telah berkhidmat genap 60 bulan ini mereka layak mendapat ganjaran dan saraan sepertimana serupa di dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan). 1980. Walau pun, DUN Negeri Sembilan telah terbubar secara automatik dan akan disusuli negeri-negeri lain dan Parlimen, apa yang lebih penting ketika ini adalah kewujudan caretaker government atau kerajaan sementara. Ini kerana idea penubuhan kerajaan sementara telah pun menjadi salah satu isi penting kepada Jawatankuasa Pilihan Reformasi Pilihanraya yang telah ditubuhkan pada 2011 bagi menambah baik perjalanan pilihanraya di Malaysia. Berdasarkan kertas kajian Caretaker Government during Election: A Comparative Study of Pakistan, Bangladesh and India, Pakistan, 2006 dari Institut of Legislative Development and Transparency, Kerajaan sementara bolehlah didefinisikan sebagai individu atau kumpulan manusia yang dilantik bagi mentadbir kerajaan bagi satu tempoh masa tertentu (kebiasaannya singkat) sehingga sebuah kerajaan baru yang diabsahkan (legitimate) terbentuk. Ada banyak sebab kerajaan sementara boleh dibentuk namun kebiasaannya adalah i) negara mengalami zaman darurat; ii) kerajaan sedia ada menghadapi undi tidak percaya dan kalah di dalam Parlimen dan iii) Parlimen dibubarkan secara normal dan akan menghadapi pilihanraya. Contohnya ketika tahun 1969 negara menghadapi zaman darurat, satu jawatankuasa MAGERAN di bentuk yang bertindak mengambil alih kuasa kerajaan sebelum Parlimen dibenarkan berfungsi kembali pada tahun 1971. Pada tahun 1996 Presiden Farooq Leghari telah membubarkan Dewan PErhimpunan Kebangsaan (Parlimen) Pakistan dan membatalkan kerajaan Perdana Menteri ketika itu, Benazir Bhutto. Malik Meraj Khalid Rektor Universiti Islam Antarabangsa telah dilantik sebagai Perdana Menteri Kerajaan sementara. Oleh itu, kita harus faham pemerintah yakni Presiden atau Raja berhak melantik sesiapa sahaja yang tidak berkepentingan tetapi berkebolehan bagi memimpin kerajaan sementara. Ini juga yang terjadi pada tahun 1959 apabila YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj telah meletakkan jawatannya dan jawatan beliau ditanggung Tun Abdul Razak sebagai Pemangku Perdana Menteri selama 2 bulan bagi memastikan beliau dapat berkempen dengan efektif dan efisyen bagi Parti Perikatan. Menyorot susur galur idea kerajaan sementara ini mula popular selepas Perang Dunia ke 2 apabila Perdana Menteri Churchill daripada Parti Konservatif ketika itu telah mendapat maklumat awal berhubung akan adanya perletakan jawatan dikalangan Menterinya yang datang daripada Parti Buruh. Justeru, Churchill telah meletakkan jawatannya sebelum tindakan diambil oleh Menteri Parti Buruhnya tanpa berunding dengan mereka terlebih dahulu. Oleh itu, Raja telah mengarahkan sebuah kerajaan sementara yang diketuai oleh Churchill bagi memastikan urusan harian kerajaan berjalan seperti biasa. Menurut Prof Sir Ivor Jenning di dalam bukunya Cabinet Government, ia bukanlah tradisi British melantik caretaker government sewaktu pilihanraya berlangsung namun menjelang pilihanraya umum Britain pada tahun 1945 ketika itu, mereka perlu memilih diantara dua, sebuah kerajaan Parti Konservatif atau sebuah kerajaan Parti Buruh yang kuat dan diwaktu yang sama urusan Raja (kerajaan) perlu berjalan seperti biasa menyebabkan idea kerajaan sementara menjadi popular ketika itu. Justeru, idea terhadap cadangan penubuhan kerajaan sementara ini penting bagi memastikan kerajaan sementara ini menjalankan urusan pentadbiran sehari-hari tanpa menyalahguna kuasanya untuk parti-parti tertentu. Menurut Jagdish Chandra Johari dalam bukunya The Constitution of India, The Politico Legal Study menyatakan ketika kerajaan sementara berfungsi mereka tidak boleh a) memulakan atau mewar-warkan dasar kerajaan yang baru b)berjanji atau memulakan program baru c)menyediakan elaun, kenaikan gaji dan emolumen dan d) tidak boleh membuat majlis-majlis yang boleh dihadiri Menteri. Manakala bagi Caretaker Conventions Australia 2010 menetapkan pula kerajaan sementara ini perlu mengelakkan daripada membuat sebarang keputusan dasar yang besar yang akan mengikat kerajaan akan datang; membuat sebarang perlantikan utama dan memasuki mana-mana kontrak atau perjanjian. Walaupun asasnya, perlantikan kerajaan sementara ini kebiasaannya terdiri daripada kerajaan yang terdahulu. Namun bagi memastikan konsep semak dan imbang maka wakil pembangkang boleh juga dijemput menyertai kerajaan sementara. Selain itu, terdapat juga kaedah di mana wakil perkhidmatan awam yang berfungsi memainkan peranan ini. Oleh itu, perlantikan kerajaan sementara ini merupakan undang-undang tidak bertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan atau secara tidak langsung memberikan kuasa budibicara Yang DiPertuan Agong untuk melantik kerajaan sementara atau peralihan. Ia tidak menjadi titik pertikaian kerana Yang DiPertuan Agong juga boleh melantik wakil pembangkang jika berkebolehan sebagai sebahagian daripada peruntukan yang boleh di baca di dalam Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan. Namun kebiasaannya, wakil kerajaan terdahulu dipilih memandangkan pengalaman mentadbir dan tradisi konvensyen yang telah diamalkan sejak dahulu lagi. Isu kewujudan kerajaan sementara sangat kritikal pada Pilihanraya Umum ke 13 yang bakal diadakan memandangkan pilihanraya merupakan hak setiap warganegara untuk menentukan calon yang terbaik bagi mewakili suara mereka di dalam Parlimen. Menurut Dr. Mohd Faisal Syam di dalam Proposal for a Caretaker Government during the Election Period for submission to the Malaysian Parliamentary Select Committee for Electoral Reform pada tahun 2011, beliau menyatakan pilihanraya juga menjadi peluang bagi warganegara untuk memberi atau menghukum calon-calon yang sedia ada atas asas integriti dan pencapaian mereka. Akhirnya walaupun pelbagai pihak telah mencadangkan kita melihat konvensyen kerajaan sementara / peralihan dibeberapa buah negara seperti di UK, Australia dan sebagainya. Kita harus fahami konvensyen ini tidak mempunyai kuasa mengikat maksudnya jika masih lagi berlaku pelanggaran terhadap tatacara kelakuan yang dilakukan kerajaan sementara pemimpin kerajaan sementara yang memerintah maka ia tetap tiada gunanya. Namun, penulis juga memandang positif usaha Perdana Menteri meminta Peguam Negara menderaf tatacara bagi Kerajaan Sementara pada masa yang sama sangsi dengan usaha yang tergesa-gesa ini. Penulis teringat kata-kata almarhum guru penulis, Dr Che Norlia Mustafa undang-undang yang dibuat seharusnya melihat keadaan mikro dan makro sesebuah negara itu. Malahan pada masa yang sama juga, signifikan undang-undang itu serta implikasinya terhadap sosial masyarakat harus diambil kira. Jika terusan mengambil cedokan undang-undang tanpa melihat keadaan persekitaran Malaysia, penulis bimbang kita akan menjadi seperti Akta Perhimpunan Aman yang diperingkat awalnya terdapat banyak percanggahan tanpa berunding dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Suruhanjaya Pilihanraya, parti-parti politik, NGO, SUHAKAM, universiti dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian, di titik akhirnya adalah semangat keterbukaan juga lah yang lebih penting. Jika kita menyorot sejarah kerajaan sementara ini kembali, ada sesuatu yang kita tertinggal dalam meneliti sejarah Perdana Menteri Churchill apabila mempopularkan idea kerajaan sementara ialah beliau telah menghadiri PostDam Conference bersama Menteri Luarnya Anthony Eden pada 17 Julai 1945 yang dihadiri juga Presiden Truman, Amerika Syarikat dan Stalin, Perdana Menteri USSR ketika itu. Perdana Menteri Churchill telah membawa juga Clement Attlee yang juga Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri Bayangan dengan Ernest Bevin (Menteri Luar Bayangan) walaupun mereka dari parti politik yang berbeda. Peristiwa ini telah menjadi ingatan penting berhubung apa yang dimaksudkan dengan semangat kerajaan sementara dan menonjolkan lagi Churchill sebagai seorang negarawan yang ulung di Britain ketika itu.

Sunday, January 31, 2010

Pilihan Raya Kampus : Semakin jauh dari Demokrasi

Penulis kira penulis bukan lah orang yang layak untuk terus berbicara berkaitan Pilihan Raya Kampus (PRK) tahun ini. Walau pun begitu, memandangkan penulis sebagai pemerhati luar, masih berstatuskan mahasiswa di salah sebuah IPTA 'panas', dan sedikit pengalaman berhubung perjalanan PRK di kampus, penulis coretkan sedikit perkara ini untuk kita sama-sama berfikir adakah tujuan PRK ini telah memenuhi matlamatnya mendidik mahasiswa berhubung erti demokrasi.

Di antara demokrasi & demonstrasi, ada dua kaitan rapat. Kegagalan pihak pentadbir universiti memastikan PRK di jalankan dengan cara adil dan saksama, sekali lagi 'adil & saksama' akan mengundang kecelakaan di mana antara dua pihak akan bertindak di luar norma-norma demokrasi yang seharusnya bersifat baik. Penulis katakan begini, PRK di jalankan, demokrasi di didirikan dengan membenarkan mahasiswa memilih calon2 nya degan bebas tanpa PAKSAAN dan pada masa yang sama sekiranya ada 'induce' tidak mengapa selagi mahasiswa tidak ditakutkan dengan mereka boleh memilih sesiapa sahaja.

Kegagalan PRK dijalankan sepertimana di atas, akhirnya menimbulkan sepertimana kertas undi bersiri ditulis nombor matriks, mahasiswa 'di nasihatkan' tahun pertama khususnya untuk memilih calon tertentu dan sebagainya membawa kepada demonstrasi. Namun apa yang sangat menyedihkan demonstrasi aman ini saya kira tercalar dengan penyertaan FRU. Seingat penulis, di dalam buku Mahasiswa mengugat' hanya sekali sahaja FRU & Polis di bawa masuk ke universiti bagi 'menenangkan' keadaan. Penulis kira mahasiswa yang berhimpun kelompok pandai dan bijak, pastilah mereka tidak akan membuat sesuatu yang di luar batasan kelompok orang yang pandai berfikir.

MPP: Eksekutif Bukan Eksklusif

Sering kali penulis kaitkan apa yang berlaku kini di mana-mana kampus apabila MPP hanya bersifat eksklusif berbanding eksekutif (mentadbir). Berada di kelompok dan dunianya sendiri dengan lupa tanggungjawab dan peranannya kepada mahasiswa yang mengundi mereka. Penulis katakan dengan pengalaman berada di salah sebuah kampus ini, Persatuan Mahasiswa gagal menghadami denyut nadi mahasiswa, keadaan di waktu perayaan, musim peperiksaan dan sebagainya pemimpin mahasiswa ini gagal mendekati malahan meraikan mahasiswa yang pernah memilihnya.

Penulis bukan sahaja terkejut dengan keadaan PRK tahun ini yang sebenarnya lari dari 'semangat' demokrasi yang kita mahu mengakar di kalangan mahasiswa. PRK tahun ini seolah-olah adalah Pilihan Raya Umum (PRU) versi universiti penuh dengan kotor, penipuan, dan segala macam dosa dan nista yang tidak sepatutnya di ajar kepada mahasiswa. Tidak kah "MEREKA" takut untuk berhadapan dengan ALLAH berhubung amanah yang di pinjamkan kepada mereka tetapi mereka gagal melaksanakan amanah ini sesuai dengan konsep keadilan.

Selagi universiti terus didendangkan dengan alunan politik luar selagi itulah mahasiswa akan terus menjadi boneka dan univeriti akan terus berada di 'takuk' lama yang tidak akan dapat terus maju ke hadapan setanding dengan universiti luar.

Monday, January 4, 2010

Memulakan semester baru di Tahun Baru

Penulis memulakan semester baru dengan empat subjek baru yang penulis kurang 'familiar' tetapi akan mencubanya dengan bersungguh-sungguh. International Economics Law, Advance SOGA, IT Law dan Islamic Criminal LAw. Penulis senaraikan kenapa...

Undang-undang ekonomi antarabangsa sangat jauh dari penulis kerana ketika kali pertama penulis mengambil subjek Undang-undang Antarabangsa di peringkat sarjana muda, penulis tidak ingat penulis ada belajar IEL. Dan jauh lagi cuba mengingati apa itu WTO, IMF, dan sebagainya. Penulis katakan hanya mengingati perkara-perkara ini dengan tujuan perdebatan dan perbahasan ketika di UUM dahulu. Langsung tiada kaitan dengan undang-undang. Tetapi memandangkan subjek di ajar 'ayahanda', penulis akan cuba sedaya mungkin berusaha memahaminya.

Undang-undang Jualan Barangan Lanjutan lebih mirip kepada perlindungan pengguna. Sangat menarik dan sangat relevan penulis rasakan. Namun apa yang menjadi masalah adalah tugasannya berterusan dan kerjanya banyak. Peringkat Sarjana mmbuatkan penulis perlu tekun dan fokus terhadap kerja-kerja yang ada. Penulis takut akan terlepas pandang dengan perkara-perkara lain bilamana penulis fokus pada yang lain.

Undang-undang Teknologi Maklumat memerlukan penulis faham frasa baru dan konsepnya. Penulis masih ingat penulis dapat gred yang kurang baik ketika mengambil Cyber Law. Penulis ingin menebusnya. Undang-undang Jenayah Islam pula penulis tidak ada asas pengajian syariah tetapi memandangkan ia merupakan tanggungjawab yang perlu penulis ambil sebagai muslim maka penulis mengambilnya. Mungkin ia mudah sedikit memandangkan penulis pernah 'sit in' class terlebih dahulu.

Yang Pasti, penulis akan lebih sengsara berbanding semester lepas bagi menghadapi semester ini.