Monday, December 21, 2009

Dua Amalan Sunnah dengan Ancaman Rasullulah terhadapnya

Kuliah Ustaz Kamal Ashaari sangat menarik malam tadi. Berlangsung di Surau An Nur dengan orang ramai bersesak bukan sahaja ke Surau tersebut bahkan pada malam tersebut di Darus Syifa pengajian kepada penuntut2nya berhubung kaedah perubatan Islam.

Ini merupakan kali pertama penulis mendengar kuliah secara langsung dari beliau. Teringat pada ketika penulis masih remaja kegemparan oleh beliau terhadap isu mayat manusia bertukar wajah dan pemecatan beliau sebagai salah seorang imam masjid shah alam.

Pemahaman kita terhadap ibadah sunat adalah buat takpe, tinggalkan pun tiada apa2. Namun apabila sesuai dengan peredaran masa dan pencerapan ilmu seseorang itu, maka kaedah memahami amalan sunat turut berubah iaitu ditinggal tiada apa2, tetapi jika dibuat ALLAH amat menyukainya. Kupasan berhubung hadith nabi menekankan amalan sunat yang mana nabi memberikan ancaman bagi mereka yang meninggalkannya. Petikan kedua-dua hadith ini disebut di dalam hadith qudsi.

Amalan pertama kata Ustaz Kamal Ashaari adalah amalan solat sunat witir. Orang melayu hanya memahami dan mengenali amalan solat sunat witir apabila datangnya bulan Ramadhan. Ini kerana di dalam bulan Ramadahan diwajibkan kita menunaikan witir. Namun sebenarnya witir ini menjadi amalan Rasullullah sebelum tidur. Dan antara petikan hadith Qudsi ini ' dan jika kami meninggalkan witir tanpa sebarang alasan maka bukan kamu dari golongan ku'.

Justeru, kita harus memahami walaupun amalan ini kelihatan sunat tetapi Rasullullah menekankannya seolah-olah ia amalan fardhu.

Kedua, adalah amalan ibadah Qurban. memahami konsep ibadah Qurban ini Rasulullah menyeru bagi mereka yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah Qurban jika sekiranya mampu. Takat kemampuan ini perlulah diukur terhadap diri sendiri. ini kerana dengan ibdah Qurban kita melenyapkan jurang antara kaya dan miskin, golongan berpendapatan tinggi dan rendah, serta sebagainya.

Moga kita dapat mengamalkannya. Insya-ALLAH.

Sunday, December 20, 2009

Undang-undang, Keadilan & Kesaksamaan?

Penulis teringat subjek jurisprudens. Semua mahasiswa undang-undang akan mengambil subjek ini di tahun akhir pengajian. Dan jawapan yang sama akan keluar dan meniti di bibir setiap mahasiswa undang-undang. Bosan, tak minat & sebagainya...

Penulis sendiri mengalami keadaan yang sama. Tetapi penulis kagum dengan Prof Madya Dr Rusniah Ahmad. Bukan sebab markah yang diberi beliau kepada penulis untuk subjek ini tetapi cara pembawaan beliau. Kami menerobos hingga ke benua afrika, UK hatta pembicaraan beliau sampai ke negara 'Uncle Sam'. Pengalaman beliau bersuamikan seorang warga Tunisia, dan pembelajaran beliau di UK serta sifat beliau untuk terus membaca sangat penulis kagumi.

Rasuah, Korupsi & seumpamanya...

Penulis tidak tahu mengapa ia menjadi topik pilihan untuk penulis tulis malam ini. Cuma penulis sering membawa isu ini ke mana-mana untuk difikirkan. Pengalaman penulis di dalam kerajaan (walaupun sementara) tetapi sangat mengingatkan penulis ia telah menjadi 'barah masyarakat'. Generasi baru harus diberi peringatan dan peringatan dan peringatan tentang 'barah' ini....

Pemimpin politik (kerajaan & pembangkang) tahu, pimpinan tertinggi pentadbiran awam tahu, masyarakat tahu, orang awam, orang kampung di kedai kopi, malahan mahasiswa universiti tahu rasuah & korupsi ini melebar berlaku di mana-mana. Tetapi apakah tindakan kita? Apakah mereka tidak takut dengan rezeki yang mereka dapat itu tidak diberkati ALLAH? Apakah mereka tidak sedar perbuatan yang mereka lakukan tidak adil kepada orang lain?

Apakah mereka lupa, harta dunia ini hanya perhiasan di mana ia akan lenyap dan tidak memberikan kebaikan untuk di bawa ke akhirat. Penulis bingung.... Seolah-olah mahu mengubah dunia tetapi apakan daya penulis hanya insan kerdil dan biasa. Mahasiswa kelompok bijak pandai, dan penulis percaya mereka tahu ini perbuatan salah. Penulis hanya mengharap mereka mempertahankan nafsu dan diri mereka dari terjebak dengan perbuatan ini.

Jijik & kotor rasuah / korupsi ini harus ditanam dalam diri semua orang. Penulis insafi diri sendiri... Ya ALLAH, kau jauhkan diri ku dari perbuatan ini semua.

Saturday, December 19, 2009

Forum Pemikiran Bangi: Analisis Pemikiran Politik & Dakwah TG Nik Aziz Nik Mat.

Forum Pemikiran Bangi kali ke 4 telah berlangsung di Surau An Nur berdekatan Darul Syifa (Pusat Perubatan Islam kelolaan TG Haron Din) di bawah anjuran Jawatankuasa Bangi Bandar Ilmu. Pertamanya penulis perlu memberikan kredit kerana inilah satu-satunya forum yg pada pandangan penulis sepanjang penulis hidup majlis kelolaan dibawah Jawatankuasa Penduduk yang cukup kritis membawa pembaharuan dan percambahan idea/ilmu demi kepentingan masyarakat sekelilingnya.

Forum yang berlangsung pada tanggal 19 Disember 2009 ini dihadiri ahli forumnya yang terdiri Saudara Annual Bakri (Setiausaha Politik TG Nik Aziz), Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah (Unit Pengajian Media, UM), dan seorang pensyarah FPI UKM (Jabatan Dakwah). Forum bermula jam 9.30 pagi dan tamat pada jam 1.00 petang.

Kupasan yang sangat menarik ini dimulakan dengan saudara Annual Bakri memetik kata-kata di dalam bukunya telaga Biru ' Tiada satu-satunya ulama' kontemporari hari ini yang mempunyai kuasa dan jajahan takluknya untuk diuji keberkesanannya pemerintahannya dan ilmunya'. Apa yang difahami dari ungkapan di atas selepas kejatuhan Empayar Khilafat Ottoman di Turki dengan digantikan Kamal Attartuk hampir tiada lagi ulama' Islam yang diberikan peluang mempunyai wilayah untuk ditadbir.

Contoh hari ini Dr. Yusof Al Qardawi, Dr Ramadhan al Butty, Hassan Al Banna tidak mempunyai wilayah untuk ditadbir walaupun mereka merupakan tokoh besar dalam gerakan Islam. Justeru, pemilihan Nik Aziz antara tokoh pemimpin Islam yang berpengaruh abad ini oleh WOrld Islamic Scholar tidak dapat disangkal. Bayangkah susuk tubuh ini telah menyerahkan 40 peratus elaun beliau untuk diserahkan kepada kerajaan negeri. 5 peratus diserahkan kepada parti.

persoalannya adakah mana-mana pemimpin Islam yang sanggup melakukakn perkara demikian? rekod ini belum lagi dipecahkan oleh mana-mana tokoh dan pemimpin kerajaan hatta pembangkang sekalipun.

Selain itu, Nik Aziz tidak pernah mempunyai dompet dan hanya menggunakan sampul surat untuk mengisi duitnya. Berdasarkan Annual Bakri lagi, ia merupakan sifat TG sejak dahulu lagi.

Maka apabila Dr Abu Hassan mengatakan kelompok 21-30 tahun dalam kajiannya menyokong Nik Aziz seramai lebih 600 responden berbanding kurang 100 tidak menyokong ia merupakan kelompok muda juga mengagumi TGNA. Kata beliau lagi, DR Abu Hassan merujuk Nik Aziz, sangat memahami keperluan media hari ini. dan Ahli politik akan tenggelam sekiranya tidak mencipta krisis. Justeru, media massa (hatta kerajaan) sekurang-kurangnya akan meletakkan gambar TG Nik Aziz sebanyak 7 hari di dalam sebulan untuk melariskan akhbar mereka. Dan krisis yang dicipta TGNA hatta sehingga 17 hari dimainkan tanpa henti bagi melariskan akhbar dan diperkatakan orang.

Dr Abu HAssa merujuk dunia hari ini menjadikan seseorang terkenal disebabkan attention, attention ini akan menimbulkan perception dimana seseorang akan terus diingati dan dikenali dengan kenyataan kontroversinya. Dan Nik Aziz memahami perkara ini. Beliau juga merujuk Nik Aziz sebagai orang yang jujur dan berterus terang dalam menyatakan pendapat. Pada suatu ketika ia mendoakan Dato Najib dan pada hari lain dia mengatakan apa yang kerajaan lakukan terhadap Selatan Thai adalah sesuatu yang baik.

Berasaskan kajian Dr Abu HAssan, kenyataan yang dikeluarkan Nik Aziz tidak menggunakan saya fikir, saya berpandangan malahan beliau berterus terang menyatakan terus pandangan beliau. Dan soalan moderator adakah kekuatan PAS hanya pada Nik Aziz. Jawapannya berkemungkinan disitu berasaskan kajian tersebut.

Pandangan penulis, secara keseluruhan dari intipati forum tersebut Nik Aziz merupakan salah seorang pemangkin dalam memecahkan blok perkauman. Dan antara kata-kata Nik Aziz juga kita selalu memperkatakan tentang ketuanan Melayu tetapi jarang kita memeperkatakan ketuanan ALLAH, ALLAH ciptakan manusia disisinya sama Melayu, Cina dan India adalah sama yang membezakan antara mereka semua adalah takwa.

Persoalan ini yang menjadikan kita harus berfikir dua kali adakah kita hidup kerana Melayu atau kerana kita Muslim. Bukan bangsa yang harus kita tekankan malahan pendekatan Muslim harus kita hadami. Di suatu sisi, bangsa Cina dan India (bangsa lain) merasa selamat dengan pendekatan Nik Aziz kerana Islam itu adil kepada semua bangsa.

Penulis sering menekankan kelompok generasi muda tidak lagi melihat kepada paras rupa, warna kulit sesuatu bangsa itu lagi malahan selagi pemimpin itu adil, bersih dari melakukan rasuah dan mampu berkhidmat dengan baik kepada rakyat. Pasti mereka akan disokong kelompok generasi muda. Persoalannya sejauh mana kita kerajaan mahupun pembangkang memahami perkara ini.

PRU 13 menurut pandangan penulis sangat kritikal bukan sahaja kepada DSAI sebagai ketua PR malahan kepada DSNR sebagai PM dan kali pertama mengetuai pilihanraya dan kerajaan. Selagi mana kedua2 parti mampu meletakkan seberapa ramai calon yang 'bersih' dan bukannya pemimpin yang korup maka selagi itulah mereka akan mendapat undi golongan muda. Golongan muda tidak memandang parti walaupun ia mempunyai sedikit kesan bahkan apa yang lebih penting pemimpin yang diketengahkan harus mampu menjiwai apa yang Tuan Guru Nik Aziz ada. Antara rahsia nya adalah tasauf yang menyebabkan Tuan Guru Nik Aziz dilihat sederhana, tidak bermegah-megah dengan kemewahan dunia. Mampukah pemimpin kita sebegitu?

Friday, December 18, 2009

Kepentingan Zon Maritim Malaysia

Pada tanggal 21 Ogos 2006, Datuk Seri Nazri Aziz Menteri di Jabatan Perdana Menteri membawa dua rang undang-undang yang penting dan signifikan terhadap zon maritim Malaysia ke Parlimen untuk dibacakan buat kali kedua. pertamanya, pindaan terhadap Ordinan 7 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1969 dan keduanya bacaan rang undang-undang Garis Pangkal Zon Maritim Malaysia 2006.

Keperluan membentangkan rang undang-undang ini disebabkan Malaysia melalui Peta Baru Malaysia Tahun 1979 telah mewartakan kawasan perairan wilayah dan pelantar benua melalui peta tersebut. Kewujudan peta ini juga telah menyebabkan kawasan perairan wilayah negara melalui Peta baru 1979 telah mendapat bantahan (contested area) dari beberapa negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

Sunday, December 13, 2009

Mari kita melangkah ke depan

Saya menghabiskan sedikit masa ketika cuti ini sebagai RA di UKM. Di sebelah malam duduk di dalam bilik sambil tangan mencari-cari dan membaca perkara baru di dalam internet. Terima kasih kepada mereka yang mencipta internet yang membolehkan kita mencari maklumat dalam sekelip mata.

Saya duduk dan mengadap komputer. Cuba mengingati konsep yang pernah di pelajari semasa Diploma Pentadbiran Awam dahulu berhubung 'Local Government' atau kerajaan tempatan. Ketika Diploma kami dikehendaki mengambil satu kertas/subjek khas berkaitan perkara ini.

Kerajaan Tempatan merupakan salah satu bentuk kerajaan dan ketiga di dalam sistem pentadbiran awam Malaysia. Ia di beri penekanan selepas Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan setelah itu Kerajaan Tempatan. Kerajaan tempatan di Malaysia diketuai YDP Majlis Bandaraya/Perbandaran dan dibantu ahli-ahli Majlis yang kebiasaannya di lantik oleh kerajaan negeri yang dimenangi parti politik di sesebuah negeri.

Berdasarkan Senarai Negeri, Jadual Sembilan, Perlembagaan Persekutuan kerajaan tempatan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri namun bagi tujuan pelarasan maka di peringkat Pusat, ditubuhkan kementerian Perumahan, dan Kerajaan Tempatan bagi memudahkan urusannya.

Di Malaysia, kerajaan tempatan mempunyai kuasa membuat peraturan-peraturan kecil (by law) berasaskan kuasa yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Mempunyai kuasa memungut cukai seperti cukai pintu. Memberi kebenaran berniaga dan lesen di dalam kawasan bidang kuasanya. Dan dahulu kuasanya juga meliputi pemungutan sampah dan sisa pepejal yang ketika ini telah diperbadankan melalui Suruhanjaya Sisa Pepejal Malaysia.

Menyorot kembali sejarah kerajaan tempatan di Malaysia, direkodkan pilihanraya kerajaan tempatan pertama pernah diadakan seawal tahun 1857 dimana ahli Majlis Perbandaran Georgetown seramai tiga daripada lima ahlinya dipilih melalui pemilihan terus penduduknya. Dan sejarah pilihanraya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur mencipta sejarah apabila UMNO dan MCA menang 9 daripada 12 kerusi yang membuka jalan penubuhan Perikatan selepas itu.

Pada tahun 1965, kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja Athi Nahappan yang mencadangkan dan mengesyorkan penambahbaikan terhadap sistem kerajaan tempatan. Dan antara cadangan yang agak signifikan malahan dianggap penting adalah pemilihan ahli kerajaan tempatan melalui pilihanraya dihidupkan semula. Malangnya idea ini telah dikesampingkan dan rentetan dari syor Suruhanjaya Di Raja itu beberapa Akta di luluskan termasuklah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Bandar dan Desa 1976.

Pilihanraya tahun 2008 membuka lembaran baru apabila desas desus kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat mendesak diadakan pilihanraya peringkat kerajaan tempatan kembali. Isu ini penting memandangkan seharusnya ahli-ahli majlis berperanan sebagai 'check and balance' dan menjadi mata dan telinga bagi rakyat di dalam daerah tersebut dalam membangunkan kawasan komuniti mereka. Namun, sebaliknya yang berlaku dimana menurut Ketua Audit Negara wujud kepincangan dan ketirisan yang agak berleluasa di kalangan majlis perbandaran dan kerajaan tempatan apabila penganugerahan kontrak kecil diberikan secara terus tanpa melalui tender terbuka.

Peranan ahli majlis yang bersifat politik ini gagal berfungsi sebagai 'good governance' dan tidak dikenali di kalangan masyarakat awam di dalam daerah dan komuniti tersebut. Secara tidak langsung ia merencatkan pembangunan yang diharap dapat membantu rakyat. Persoalannya, sampai bila lagi kita harus menunggu Malaysia terus dibuai mimpi indah dimana pembangunan dirasai segelintir pihak tanpa 'good' governance' gagal diterapkan di dalam setiap pentadbiran kerajaan.

Rakyat tidak mampu menunggu lagi dan kita harus melangkah satu tapak ke hadapan. Biarlah ahli Majlis kita orang tempatan yang duduk di dalam komuniti/daerah itu yang bekerja petang dan malam untuk kesejahteraan rakyat. Mereka di bayar elaun untuk tujuan tersebut...

Undang-undang harus dipinda bagi tujuan tersebut. Mari kita sama-sama fikirkan adakah salah kita mengikut sistem yang lebih baik dengan tujuan rakyat mendapat keuntungan dan nikmat pembangunan yang sewajarnya. Pilihanraya kerajaan tempatan dimana ahli-ahlinya akan dikenali masyarakat, senang berurusan sekiranya mempunyai masalah dan mereka dapat mengawal pembangunan di kawasan tersebut.Fikir-fikirkan...

Tuesday, December 8, 2009

Terima kasih untuk semua

Saya nukilkan dan rafaqkan kesyukuran kepada Allah atas setinggi-tinggi nikmat yang diberikan kepada saya. Alhamdulillah... Buat mak dan ayah, abang-abang dan adik yang terus memberikan kekuatan untu saya terus belajar. Dengan keputusan peperiksaan ini, saya balas segala jasa kalian.

Buat Nurul yang sekelian kali bersabar dengan segala dugaan dan kerenah tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata, kesabaran menanti, hadiah keputusan peperiksaan ini saya hadiahkan.

Terima kasih semua...