Sunday, May 31, 2009

Kenali Diri Sebagai Pemikir Atau Pengikut?

Dalam setiap organisasi tidak kira organisasi berbentuk persatuan, kelab, pertubuhan politik dan sebagainya dua entiti kelompok sebegini sememangnya wujud. Namun bagaimana kita mahu mengenali kedua-dua kelompok ini sepertimana kita mnegenal itu emas, itu permata, itu berlian dan sebagainya dengan mudah?

Tidak semua pemikir itu adalah pekerja dan tidak pula pekerja itu semata-mata pekerja kerana mereka boleh juga akan menjadi pemikir.

Mengapa dikategorikan dua kelompok sebegini? Persoalan ini baik dikemukakan memandangkan tujuan berasosiasi supaya kita dapat mengurus sesebuah organisasi menjadi lebih cekap, efektif dan efisien.

Pemikir kebiasaannya melihat dengan 'mata burung' iaitu penglihatan nya di hadapan mewakili dari pelbagai aspek dan angle. Justeru, 'penglihatan' nya boleh dikatakan melihat aspek visi dan misi bagi memastikan objektif pertubuhan/ persatuan / kelab tercapai. Pandangan mereka terlalu besar dan kadang kala jauh tinggi melangit dan susah dicapai.

Walau pun begitu, bagi pemikir yang rasional yang telah bermula dari pekerja, mereka memahami dan kebiasaannya tahu ia boleh dicapai. Yang menjadi penghalang adalah kemahuan ingin buat atau tidak. Ini lah kegagalan utama pekerja dan selalu berakhir dengan kritikan pemikir tidak rasional dan menyusahkan. Sedangkan jalan sukar ini telah ditempuhi pemikir sebelum disuruh dan diberikan kepada pekerja untuk melakasanakannya.


Berbanding pekerja merupakan pelaksana kepada tindakan yang telah diwujudkan oleh pemikir dalam membawa halatuju visi dan misi persatuan atau organisasi.

Mana satu yang lebih baik? Pasti orang menganggap pemikir itu lebih baik yang kebiasaannya dikonotasi juga sebagai pemimpin. Tetapi bagi penulis, pemikir yang datang di 'groom' dari pekerja itu jauh lagi baik apabila ia menjadi pemikir. Penulis berpengalaman berjumpa bebearap kawan dan taulan yang hakikatnya mereka cukup berpengalaman kerana bermula dari bawah. Justeru,apabila mereka merangka program maka disini dapat dilihat kelebihan mereka kerana mereka 'foreseen' masalah-masalah yang akan timbul sebelum hari kejadian.

Justeru, adalah penting pemikir yang tidak tahu dan kurang mahir dalam bidang mereka dikelilingi golongan ini dalam merangka dan membangunkan jabatan mereka. Pengalaman penulis, memandangkan penulis bukan datangnya dari kelompok teknikal dan familiar dengan kenderaan besar seperti bas atau kenderaan kecil seperti kereta maka penulis sentiasa berhati-hati dalam mengambil setiap tindakan.

Contohnya dalam proses pembelian bas, kereta dan sebagainya, pemnadu dan juruteknik ini merupakan penasihat yang baik. Pandangan dan rangkuman idea kelompok kedua-dua mereka mampu mengurangkan kos kerosakan apabila membeli sesuatu kenderaan. Pemandu memahami gerak kerja dan jenis kenderaan dan keperluan yang diperlukan dalam membawa sesuatu kenderaan. Juru teknik memahami kerosakan yang sering menjadi masalah dan akhirnya merencatkan pergerakan bas untuk bergerak dengan lebih baik.

Dan alangkah baiknya penulis ada kemahiran seperti pemandu dan juruteknik yang boleh mengambil tindakan bersandarkan pertimabangan sepertimana mereka....

Isu Lain, Jawab Lain

Dalam membicarakan persoalan undang-undang kita diajar menjawab isu yang dibahaskan atau yang menjadi titik persoalan dan bukan menjawab isu-isu lain. Di sinilah kelemahan pelajar-pelajar bukan undang-undang yang menjawab beradasarkan apa yang diketahui dan bukannya menjawab apa yang dikehendaki soalan.

Apa hubung kaitnya dengan isu yang akan saya kemukakan dibawah ini???

Persoalan orang ramai wajar atau tidak Chin Peng di benarkan pulang? Bukannya persoalan menghidupkan kembali komunis di Malaysia. Dua persoalan yang dikemukakan jauh berbeda dan tidak mempunyaai pertalian antara satu sama lain.

Persoalan dasar dan asas ini timbul apabila Ketua Parti Komunis Malaya dulu, Chin Peng berkeinginan untuk pulang ke Malaysia. Walau bagaimana pun segelintir pihak menghalang dan tidak perlu kerana tidak mahu luka lama berdarah kembali.

Apakah persoalan keselamatan negara tergugat apabila Chin Peng dibenarkan pulang? Keinginan Chin Peng hanya mahu dibenarkan pulang dan mati di tanahair nya sendiri. Memandangkan beliau juga berasal dari Malaysia dan masih lagi mempunyai saudara mara maka 'kewajaran' ini harus diberi pertimbangan dengan beberapa justifikasi.

Golongan muda melihat isu ini jauh dari lingkup bangsa bahkan mengangkat ini sebagai isu kemanusiaan. Jika ibu bapa kita, saudara mara kita, dan sesiapa sahaja yang dahulunya memberi ancaman kepada negara tetapi setelah lebih 20 tahun ancaman itu telah dilumpuhkan wajar kah kita memberi mereka peluang kembali dan meninggal ditanahair mereka.

Komunis secraa rasminya meletakkan senjata pada tahun 1989, dan dengan itu secara rasmi Malaysia bebas dari ancaman komunis. Hari ini 2009, maka genap 20 tahun ancaman komunis dilumpuhkan. Setelah 20 tahun dengan ancaman komunis di Malaysia dilumpuhkan sepenuhnya maka adakah rakyat Malaysia terlalu dangkal untuk kembali kepada komunis dengan meninggalkan kekayaan Malaysia yang ada.

Justeru, isu Chin Peng ingin pulang dan menghidupkan komunis tidak seharusnya dipermainkan kerana ia melibatkan dua isu yang berbeza. Ketika ini, membangkitkan kembali peringatan berhubung komunis sangat wajar bagi menangkis komunis dihidupkan tetapi janganlah propaganda keterlaluan ini menutup isu utama Chin Peng ingin diberi bawa peluang untuk peluang.

Propaganda keterlaluan ini saya rujuk dengan serangan berhari-hari dari akhbar arus perdana tentang kezaliman komunis, program bual bicara yang mana tidak relevan dan tidak berkaitan langsung dengan isu utama membenarkan Chin Peng di bawa pulang. Seharusnya Menteri-menteri, YB2, masyarakat dan individu untuk melihat dengan mata hati dan berada dikedudukan seorang tua yang jauh diperantauan tanpa sanak saudara yang hanya mahu menghabiskan masa tuanya untuk mati di tanahairnya. Tiada perikemanusiaan dalam hati kita untuk membenarkan ini berlaku.

Fikirlah sejenak kerana mungkin satu hari nanti kita juga boleh jadi seperti Chin Peng bukan sebagai ancaman komunis tetapi ditinggalkan anak-anak dan sebagainya. Oleh iu, mari kita beri jawapan sebenar kepada isu utama dan bukan memberikan jawapan yang lain yang mengelirukan masyarakat.

Thursday, May 28, 2009

Hari Mendatang 42 Hari

Esok tugasan rasmi saya yang terakhir akan hampir tamat. Memandangkan esok adalah sesi taklimat pembelian sebut harga bas baru yang terlalu lama maka secara tidak rasmi(Saya banyak menyimpan pengalaman dengannya) menandakan tugas saya akan tamat. Inilah yang selalu akan ditanya oleh En Daim apabila mesyuarat post MPU bagi memastikan kesilapan yang sama tidak berbuah dua kali.

Kebanyakan urusan dokumentasi tender/sebut harga bas melibatkan dokumentasi dan perjanjian. Justeru, sepertimana kata-kata En Norman, Penasihat Undang-Undang USIM selalunya bahagian ini paling sukar ketika mendraf perjanjian. Kami terpaksa foreseen apakah keadaan atau kejadian yang akan merugikan USIM jika klausa ini tidak dimasukkan sebagai kontrak pembelian.

Saya bersyukur kerana melalui zaman susah ini kerana kesilapan orang yang terdahulu. Maka saya mengambil kira banyak perkara dan pertimbangan yang perlu dibuat bagi memastikan segala tindakan sejajar dan selari dengan apa yang dikehendaki USIM. Ketiadaan beberapa klausa penting menyebabkan perjanjian ini perlu mengambil kira ketiadaan intipati pada masa lalu untuk dimasukkan.

Esok juga tinggal 42 hari saya berada di USIM. Meninggalkan USIM mungkin akan menyebabkan segelintir orang berkata alangkah ruginya saya apabila telah ada peluang kerja yang baik dengan kerajaan tetapi mengambil pilihan untuk berhenti. Ia bukan bermakna berhenti untuk sesuatu yang lebih baik tetapi yakin dan percaya lah kita ingin melakukan sesuatu yang lebih baik. Kerja dengan kerajaan tidak menjamin kita menjadi kaya tetapi senang. Tetapi matlamat saya bukan untuk senang atau menjadi kaya apabila membuat pilihan berhenti tetapi ada sesuatu yang perlu diteruskan...

Wednesday, May 27, 2009

Pemimpin Mahasiswa Perlu Menjadi 'Mover"

Daring To Dare merupakan tag line bagi Proton, salah sebuah Perusahaan Automobil Nasional negara. Penulis semasa memimpin Jawatankuasa Pembangunan Pelajar Kolej Proton telah diberi maklum bahawa untuk menjadi Kolej Terbaik, kita perlu mencipta sesuatu yang baru.

Akhirnya di zaman kami, Jawatankuasa Kolej menjemput mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad merasmikan program di kolej kediaman. Maka penulis dan rakan-rakan JPPK telah meletakkan satu indicator yang JPPK junior dibawah kami agak sukar mengapainya. Apa motivasi yang menyebabkan kami boleh sebegitu?

Di zaman kami di kolej, kami bukan sahaja keluar berjumpa pengurusan Proton membentangkan projek yang akan dibuat di Kolej Proton, hubungan yang baik dengan industri ini membantu kami mengurangkan kos dalam bentuk 'in kinds' dimana t-shirt, files, pen dan barang-barang lain telah ditanggung Proton. Justeru, duit kolej boleh disalurkan untuk program-program lain dan keperluan yang lebih bermanfaat.

Daring to Dare perlu difahami bukan sahaja dalam perkataannya tetapi mengajak kita melakukan sesuatu luar dari resmi kita/ kebiasaan kita. Di UUM contohnya kita sudah biasa dengan program tradisi dan akhirnya ia diturunkan dari generasi ke satu generasi JPPK. Di zaman kami melalui Liza, Timb. Pres JPPK yang kini tutor di UMK, beliau mencetuskan idea gotong royong sekampung dimana kami sama-sama memasak dan 'rewang' untuk menjayakan gotong royong tersebut.

Sebab itu, di titik akhirnya pemimpin mahasiswa perlu menjadi pencetus kepada suatu yang baru di dalam kampus. Barulah beliau akan disegani dan digemari. Kebiasaan akan menghilangkan pemimpin mahasiswa dari terus diingat dalam zaman mereka. Penulis yakin penulis hanya lebih dikenali sebagai salah seorang yg memimpin di Kolej berbanding berada di MPP kerana sebab di atas.

Limitasi masa seseorang pemimpin mahasiswa untuk bertugas sangat terhad. Mereka hanya mempunyai 6-8 bulan setelah ditolak cuti semester dan sebagainya. Ini tidak termasuk persediaan kertas kerja, group binding dan menghadapi masalah puak di dalam kumpulan tersebut. Justeru itu, seseorang pemimpin mahasiswa seharusnya hanya fokus kepada program berimpak tinggi dan tidak terlalu banyak selain tugas hakiki membantu memperbaiki kemudahan pelajar.

Budaya yang di cetus dan dimulakan pemimpin mahasiswa sekiranya baik pasti akan merakyat kepada semua mahasiswa di kampus. Persoalannya sejauh mana pemimpin mahasiswa kita hari ini dikampus-kampus telah bertindak sebagai pencetus, mover atau perintis kepada budaya baru itu???

Kita fikir bersama-sama

Tuesday, May 26, 2009

N.41 Manek Urai

Manek Urai, salah satu kawasan di dalam jajahan Parlimen P.31 Kuala Krai sangat jarang diketahui tetapi akan menarik perhatian ramai orang. Kematian YB Ismail Yaacob membuka sekali lagi peluang untuk Barisan Nasional membuktikan dibawah kepimpinan Najib, bahawa parti UMNO parti tertua di dalam negara ini mampu menarik perhatian rakyat lagi.

Sebagaimana ketahui umum, Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang terus menerus kekal di bawah parti Islam SeMalaysia (PAS) sejak pilihan raya umum tahun 1990 ketika itu berjuang bersama-sama S46 di dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Terserlahnya kejayaan PAS di Kelantan bukan sahaja semata-mata dibawah PAS tetapi dikuatkan dengan kekuatan tokoh kepimpinan Kelantan yang diketuai Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Pada Pilihanraya Umum 2008 PRU12, PAS berjaya menubuhkan kerajaan negeri disana dengan 38 kerusi manakala UMNO 6 kerusi dan KeAdilan satu kerusi. Almarhum YB Ismail Yaacob yang merupakan ADUN sejak lima penggal lalu mendapat 1352 undi majoriti bagi mengalahkan calon dari UMNO pada pilihanraya ke 12 yang lalu.

Pada PRU ke 11, BN menang dengan majoriti tipis 52 undi tetapi pada PRU ke 10 (1999) PAS menang dengan 1518 undi majoriti. PRU ke 9 (1995), PAS menang dengan 1829 undi. PRU ke 8 (1990) PAS menang dengan 3608 undi.

PAda tahun 1986, PAS menang agak tipis tetapi dengan 594 undi. Justeru, secara kesimpulan Manek Urai bolehlah dikatakan antara salah satu kubu bagi PAS. Tetapi walaubagaimana pun ia bukan lah laluan yang mudah bagi UMNO untuk memenangi kerusi di situ. Ini dibuktikan kemennangan pada tahun 2004 apabila wujud sentimen Pak Lah ketika itu baru sahaja dilantik menjadi PM dan dikenali dengan the clean guy hanya dapat menawan kerusi disitu dengan kelebihan 52 undi sahaja.

Najib ketika masih lagi berada di Singapura telah menaytakan kesediaan awal UMNO untuk bertanding di situ. Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato' Mustafa Ali pula menyarankan agar UMNO tidak bertanding. Persoalan parti politik mana yang bertanding persoalan kedua dan yang lebih penting rakyat seharusnya dibenarkan peluang untuk menggunakan kuasa mereka untuk membuat pilihan.

Andaikata sesiapa pun yang dipilih rakyat mereka harus dihormati sebagai pilihan rakyat bukan menafikan hak mereka atau menyeret mereka keluar dari DUN sepertimana yang berlaku baru-baru ini. Kita seharusnya yakin dan percaya rakyat paling berkuasa menaikkan dan menurunkan pemimpin mereka dengan izin ALLAH.

Friday, May 22, 2009

Isu yang tidak akan selesai

Prof Salleh Buang ketika diwawancara di dalam astro awani mengatakan tiga entiti yang dilihat boleh menyelesaikan krisis di Perak adalah Sultan, Rakyat atau Mahkamah.

Keputusan Mahkamah Rayuan yang diumukan dengan keputusan 3-0 oleh tiga panel Mahkamah Rayuan tidak akan menyelesaikan sebarang isu di Perak. Selepas ini peguam Nizar pula akan memfailkan rayuan di Mahkamah Apex, Mahkamah Persekutuan. Ini belum lagi menunggu kes-kes yang akan dibicarakan berhubung Sivakumar terhadap Ganesan, keputusan surat letak jawatan tiga ahli-ahli DUN dan banyak lagi.

Kita berhenti berpolitik, berfikir secara waras dan rasional DEMI RAKYAT PERAK

BN - Taknak adakan pilihan raya, kecuali ada perkenan Sultan

PR - nak pilihanraya, tubuh kerajaan berdasarkan mandat baru.

Langkah yang boleh diambil demi kebaikan RAKYAT PERAK

PR nak pilihanraya, BN tak nak pilihanraya solusi tubuhkan kerajaan dari semua part yang ada.

Menang jadi abu kalah jadi arang, kedua-dua dapat memerintah. Asasnya parti-parti semua untung dan dapat manfaat dan demi RAKYAT PERAK.

Tunggu pilihan raya ke 13.

Wednesday, May 20, 2009

Bersetuju untuk tidak bersetuju

Budaya masyarakat maju dan bertamadun adalah menghormati idea dan pandangan yang dikemukakan orang lain walaupun mereka tidak mempunyai pandangan yang sama dan serupa. Walau pun ibarat kata rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Dan pandangan sebegini adalah sesuatu yang biasa dan lazim diterima di dalam masyarakat mereka.

Apabila penulis meneliti dan menilai tingkah laku masyarakat kita, sejauh mana kita mampu menerima kritikan dan pandangan yang berbeda belum boleh kita jadikan indicator yang wajar dalam membahaskan sesuatu isu secara terbuka.

Contohnya banyak...

Isu PPSMI - Pengajaran dan Pembelajaran dalam mata pelajaran Sains dan Matematik yang menarik minat hampir seluruh masyarakat dari ahli politik hingga ke tukang sapu mempunyai pandangan berbeda.

Lihat bagaimana pula, sikap sekelompok golongan yang tidak menerima adalakah menghormati idea golongan yang satu lagi.

Isu 5 Peguam ditangkap Polis - kita melihat golongan yang menentang penangkapan atas nama hak yang telah diperuntukkan perlembagaan persekutuan melalui Article 5(3).

Wujud kelompok yang menerima dan menyokong penangkapan tersebut, begitu amarah terhadap badan profesional Majlis Peguam atas desakan agar Menteri berkaitan, Ketua Polis Negara berundur kerana penangkapan tersebut.

Ekspresi hak dan kebebasan merupakan sesuatu yang lumrah selagi mereka tidak mencabuli kebebasan dan hak yang diberi. Jadi kudis ker kalau mereka cakap dan mengeluarkan desakan tersebut. Yang tidak berkaitan just express your opinion seperti yang sepatutnya lah...

Oleh itu, jangan lah kita terlalu obsess untuk menidakkan orang lain tetapi perlu faham limitasinya dimana. Pandangan penulis adalah buat biasa-biasa sudah....

Hak dan mulut dia untuk bercakap...

Tuesday, May 19, 2009

Memahami Program Bual Bicara Mahasiswa

Program Bicara Siswa atau kini lebih dikenali Suara Siswa sentiasa dinanti-nantikan pemimpin mahasiswa khususnya dan mahasiswa amnya. Sewaktu di moderatorkan Dr. Nordin Kardi beberapa tahun lalu, kita melihat bagaiamana pemimpin mahasiswa menangkis dan ‘bersilat’ dalam berhujah. Ia meruapakan salah satu kemahiran berkomunikasi yang dianggap penting khususnya bagi pemimpin mahasiswa apabila mendepani isu kampus mahu pun isu nasional.

Tahun 2009, Rangkaian Televisyen Malaysia menambah baik program ini yang dahulunya di kenali Bicara Siswa tetapi kini diberi nafas baru dengan nama Suara Siswa. Moderator yang dipilih pula bukan sahaja mempunyai kelayakan PhD iaitu Dr. Fazley tetapi juga seorang selebriti yang tidak asing lagi di dalam industri hiburan Malaysia. Persoalannya sejauh mana kejayaan pembaharuan yang cuba di buat RTM terhadap satu-satunya program bual bicara pemimpin mahasiswa ini.

Setelah ke udara hampir sebulan, kita telah melihat bagaimana teknik dan cara yang tidak kena di asak ketika pemimpin mahasiswa ditanyakan soalan. Ini bukan sahaja menganggu pemimpin mahasiswa menyampaikan hujah-hujah mereka malahan adab dan teknik ‘menyinggung’ ucapan pemimpin mahasiswa juga seperti dibuat-buat. Akhirnya, pemimpin mahasiswa ini bukan sahaja tidak menyampaikan pandangan yang konkrit malahan tidak memahami persoalana yang dikemukakan moderator kepada ahli-ahli panel.

Selain itu, persoalan-persoalan yang dikemukan juga sbeenarnya tidak mencerminkan budaya intelektual program tersebut. Program Suara Siswa ini merupakan program jemputan pemimpin mahasiswa untuk menyampaikan idea dan pandangan yang kritis. Walaubagaiamana pun, kegagalan moderator membuat kajian akademik dan memahami gerak kerja di kampus juga sedikit sebanyak merencatkan program ini secara keseluruhannya.

Seharusnya keberanian Singapura beberapa tahun yang lalu membuat forum siaran langsung bual bicara Menteri bersama-sama kumpulan pelajar di dalam program rancangan televisyen mereka seharusnya di puji. Ini bukan sahaja mengalakkan pelajar-pelajar tersebut berpartisipasi bertanya secara aktif malahan memastikan mutu soalan yang dikemukakan juga bertaraf tinggi. Persoalannya adakah kita bersedia?

Justeru, RTM disarankan menilai semula program ini dengan memahami hala tuju sebenar dahulu program Bicara Siswa diwujudkan. Sekiranya intipati kewujudan ini untuk menjadikan ianya saluran mahasiswa menyampaikan pandangan yang tuntas maka persembahan, ahli panel hatta moderator perlulah betul-betul berwibawa untuk menjayakan program ini.

Cukup rasanya kita ‘melacurkan’ pelbagai stesen televisyen kita dengan program yang bukan berbentuk intelektual maka wajarkah satu-satunya program bual bicara pemimpin mahasiswa ini dibuat dengan meletakkan orang yang bukan sepatutnya di situ. Tepuk dada, tanyalah akal kita.

IDZUAFI HADI KAMILAN
MANTAN YDP MPP UUM 2006/2007

Yang Ke 100

Ini merupakan keraian coretan penulis yang ke 100. Penulis ingin menulis sesuatu yang berguna kepada pemimpin mahasiswa yang ada.

Melahirkan pemimpin mahasiswa yang lebih baik dari kita...

Penulis sering diingatkan oleh senior2 kami dan kawan2, kejayaan seseorang pemimpin bukan sahaja perlu dilihat dari kepimpinannya malahan perlu juga dilihat tentang kebolehan nya melahirkan pemimpin yang lebih baik dari beliau.

Zaman berubah mengikut situasi dan kondisi. Justeru, suasana kepimpinan kita tidak mungkin sama dengan cara kepimpinan anak muda memimpin hari ini. Justeru, apa yang lebih penting adalah memberikan mereka ruang secukupnya dan mengalakkan mereka melahirkan potensi diri untuk memimpin dengan lebih baik. Pengalamaan kepimpinan kita mungkin berguna untuk zaman kita tetapi ia mungkin mampu memberi jalan kepada orang lain mengutip sesuatu yang boleh diolah bagi dipraktik di zman kepimpinan mereka.

Persoalannya, berapa ramai yang sanggup pemimpin mahasiswa kita dahulu berkongsi pengalaman, cerita dengan generasi hari ini agar mereka menjadi pemimpin yang lebih baik dari kita. Sekurang-kurangnya pemimpin hari ini memahami bahawa tindakan salah ini pernah dilakukan oleh pemimpin mereka pada waktu dahulu yang mana mereka tidak boleh melangkah melakukan kesilapan yang sama.

Sering saya memberi perumpamaan sebegini, jika ada seorang tua yang sering ke surau melalui jalan yang sama tertendang batu ditepi jalan maka ia boleh dimaafkan kali pertama, teteapi luka buat kali kedua akibat kesalahan menendang batu yang sama di tempat yang sama itu bodoh namanya.

Perkara ini kita ingin kan pemimpin hari ini meneladani agar mereka menjadi pemimpin lebih baik dari kita.

Ilmu bukan ditimba untuk dibawa mati tetapi ilmu ditimba untuk disampaikan dari hati ke hati.

Sunday, May 17, 2009

Kawan Suka & Duka

Penulis teringat masa di kampus.

Penulis antara ribuan (mungkin) yang beruntung mempunyai kawan yang ramai. Dari Perlis hingga Sabah, dari Johor ke Utara / Kelantan, alhamdulillah penulis mempunyai kawan- kawan dimana-mana.

Kebiasaan penulis, apabila kemana-mana penulis akan menghubungi kawan-kawan apabila outstation. Lalu adalah penginapan percuma. Sewaktu di kampus lagi UiTM dan UUM, masa cuti semeter penulis memastikan berjalan ke rumah kawan-kawan sebelum terus pulang ke rumah di Johor. Penulis percaya masa yang terluang ini hanyalah sewaktu belajar kerana selepas itu penulis sudah agak sibuk dan tidak mempunyai masa seperti itu.

Ada kawan-kawan yang berada dikeliling kita hanya diwaktu senang, dan ada pula berada disisi kita senang dan duka.

Bagaimana membezakannya?

Cuba perhatikan sekeliling kita?

Setelah lebih 3 hingga 4 tahun kita belajar dan meninggalkan kampus. Masih ada lagi atau tidak, kawan-kawan kita yang menghubungi dan bertanya khabar? Atau hilang begitu sahaja meninggalkan zaman. Atau sewaktu kita di klimaks kuasa, mereka berada dengan kita tetapi apabila kita menjadi marhaen biasa mereka hilang tanpa ada khabar berita....

Penulis sudah masak dengan perangai manusia bergelar kawan yang akan sentiasa mengambil kesempatan terhadap kesenangan orang lain. Tetapi yakin dan percayalah akhirnya kita juga memahami dimana permata dari beribu-ribu kawan yang kita pernah ada.

Wednesday, May 13, 2009

Biasiswa JPA - Siri 2

Polemik biasiswa JPA terus mendapat perhatian PM. Terbaru, 4 menteri kabinet MCA bertemu PM agar cara biasiswa ini diagih-agihkan perlu diolah semula.

Penulis ingin memberikan pandangan peribadi agar sekurang-kurangnya kita tahu apa yang wajr dan dapat memuaskan hati semua pihak. Penulis menolak kenyataan Presiden MCA jika biasiswa JPA ini perlu diagih-agihkan berdasarkan meritokrasi maka pencapaian akademik perlu menjadi penilaian mutlak berbanding kokurikulum dan temuduga.

Heloooooo.....

Tak semua yang pandai membaca seperti ulat buku dan menghafal buku-buku untuk peperiksaan mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi. Tidak salah kiranya JPA mengeluarkan statistik berapa ramai pemohon yang dapat biasiswa ini.

Contohnya statistik dari bangsa (walau pun penulis tak bersetuju ditakuti racist), tanggungan ibubapa, jantina dan sebbagainya. Semua ini sesuai dengan konsep ketelusan dan kebertanggungjawaban. Helo, Jabatan Perkhidmatan Awam sangat 'berkuasa' takkan benda-benda ini perlu diajar dan diberitahu.

Sekurang-kurangnya ia akan meredakan kemarahan orang terhadap JPA yang dikatakan berat sebelah. Kdang-kala penulis rasa kita telah buat kerja dengan cara yang betul tetapi pandangan dan persepsi orang terhadap jabatan ini yang menyukarkan kita.

Kriteria seperti pencapaian akademik, kokurikulum dan temuduga adalah jalaan terbaik menilai kebolehan seseorang pelajar dalam menentukan mereka boleh menjadi orang berguna atau tidak.

Cukup penulis kata, as long as kita tidak mengambil hak orang lain dalam pengagihan biasiswa ini sudah cukup. Semua orang tidak akan marah. Tetapi andaikata hak mereka telah diganggu dan ketiadilan berlaku, maka inilah jadi nya persoalan dibangkitkan yang menyusahkan ramai orang selepas itu.

Biasiswa JPA : Siapa yang dapat?

Persoalan ini semakin terbuka dan dibuka oleh parti komponen BN sendiri. MCA dan MIC mula mempersoalkan bagaimana kriteria dibuat bagi menentukan seseorang itu layak mendpat biasiswa JPA khususnya untuk ke luar negara.

Umum mengetahui setiap tahun badan-badan tertentu seperti MARA, JPA dan sebagainya akan menawarkan beberapa biasiswa bagi mmbiayai the best brain untuk ke luar negara bagi melanjutkan pegajian mereka khususnya dalam ijazah pertama. Walau bagaimana pun, tidak semua dapat ditaja memandangkan jumlah yang mendapat keputusan cemerlang terlalu ramai berbanding biasiswa yang ditawarkan.

Bayangkan dari 15,000 yang memohon biasiswa ini (JPA), 8000 telah ditemuduga namun yang ditawarkan hanya lah 2000 orang sahaja.

Dan yang sangat pelik adalah kebanyakan anak-anak kaum Cina ini yang mendapat keputusan baik hampir semua tidak dapat biasiswa ke luar negara JPA malahan hanya mendapat melanjutkan pelajaran di IPTA sahaja.

Saya sering bercakap berhubung ketelusan dalam membuat keputusan dan kebertanggungjawaban. Dalam Islam kita bukan sahaja di ajar berlaku adil kepada sesama Islam malahan juga berlaku adil kepada orang bukan Islam. Sekiranya mereka layak dan harus diberi biasiswa mengapa ia perlu di halang. Di takuti ada 'tangan-tangan ajaib' yang mengambil hak mereka.

Justeru, kini mereka sendiri mempersoalkan hak mereka. Seringkali kita mendengar pegawai kanan perkhidmatan awam atau anak adun, ahli parlimen mendapat biasiswa ini. Tetapi benar ke? Persoalan buah keras ini saya serahkan kembali kepada pihak yang selayaknya untuk mmberikan jawapan.

Jawapan yang sedia ada di berikan Tan Sri Adam, KP JPA masih lagi tidak meredakan perasaan mereka ini. Saya boleh memahami perasaan mereka, kerana mereka juga rakyat Malaysia. Yang penting jangan diambil hak mana-mana kaum yang telah diberikan. Contohnya jika dulu kita mendengar dalam Parlimen 55% biasiswa untuk bumiputera dan 45% untuk bukan bumiputera, marilah kita sama-sama memenuhi dan mematuhi. Dan kini mereka inginkan penjelasan?

Monday, May 11, 2009

Kerja Perlu Dibereskan vs Seminar Di Genting Highlands

Hari ini penulis masih lagi bercuti. Bagi menghabiskan cuti tanpa rekod yang diberi. Ada beberapa pertimbangan yang perlu dibuat hari ini:-

a) Pergi seminar yang diarahkan HEP ke Genting Highlands

b) Masuk pejabat memastikan surat dan kerja yang diarahkan diselesaikan

c) Duduk berehat di rumah

Penulis tidak berhajat melunaskan perkara pertama. Perkara kedua, separuh-separuh kerana boleh diruskan melalui emel dan telefon.

Penulis berhajat ingin menyelsaikan perkara-perkara yang perlu selesai sebelum berhenti. Di sebabkan perkara-perkara lain ex menghadiri seminar dan sebagainya, perkara keutamaan terpaksa dipinggirkan.

Dan sebenarnya penulis memang berhajat pergi walaubagaimana pun ini semua bergantung kepada keadaan dan situasi. Dalam situasi sekarang penulis ingin memilih untuk menyelesaikan kerja utama dahulu berbanding perkara lain.

Komen : Kesan Keputusan Mahkamah Tinggi Berhubung Krisis Perak

Perbincangan Astro Awani membincangkan penyatuan di Perak. Sangat mengujakan semua ahli panel bersetuju bagi menyelesaikan isu ini kembali kepada rakyat Perak.

Sepanjang krisis ini di Perak, kita telah dapat melihat apa yang ahli-ahli panel simpulkan ada tiga entiti yang menentukan keputusan ini. Pertama, entiti undang-undang yang telah dimenangi peringkat awal oleh Nizar. Kedua, entiti Kesultanan Perak, dimana Nizar akan berjumpa Paduka Sultan Perak untuk membubarkan dewan. Ketiga, entiti rakyat dimana kesemua ahli panel ingin perkara ini dikembalikan kepada rakyat.

Prof. Salleh Buang mengemukakan hujahnya, seorang negarawan akan memikirkan untuk generasi seterusnya manakala ahli politik akan memikirkan untuk pilihan raya seterusnya.

Komen:

Kenapa rakyat perlu memberi pilihan? Kenapa tidak Sultan?

Apakah ia akan memuaskan hati semua pihak? Apa akan jadi jika kita tidak mengembalikan kepada rakyat?

Persoalan-persoalan ini mungkin akan timbul bagi seorang kebanyakan kerana mungkin tidak mengetahui, mendalami isu ini atau tidak mempelajari sains politik. Justeru kita perlu memberi paham agar semua orang berpuas hati kenapa rakyat perlu diberi keutamaan dalam menentukan keputusan ini.

Abraham Lincoln pernah berkata dalam kata-kata mashyur nya kerajaan ini dipilih untuk rakyat, diperintah oleh rakyat dan untuk rakyat. Apakah signifikan dari kata-katanya?

Dalam setiap kali pilihanraya atau lima tahun sekali kerajaan memberikan kepada warganegaranya untuk menentukan kerajaan mana yang mereka inginkan atau wakil rakyat mana yang akan mewakili mereka di dalam DUN atau Parlimen bagi menyuarakan pendapat mereka.

Perlu difahami 'menyuarakan pendapat' bukan bermaksud bercerita atau mewakili mereka mengemukakan isu longkang tersumbat, lori sampah tidak datang, banjir yang merosakkan kampung halaman. Tetapi 'menyuarakan pendapat' lebih kepada membuat 'undang-undang yang baik' untuk negara mereka. Ini kerana tugas-tugas lain telah diambil alih agensi-agensi berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.

Justeru, Artikel 119 (1) Perlembagaan Persekutuan membenarkan tiga syarat penting seseorang berhak memilih wakil rakyat mereka. Cukup umur, tinggal di tempat konstituensi nya dan ketiga, telah berdaftar mengikut aturan yg telah ditetapkan.

Selain itu, rakyat merupakan golongan terbanyak dan peringkat pembuat keputusan yang paling be'raja dalam setiap kerajaan demokratik sistemnya. jika di susunatur di dalam Piramid Kerajaan, rakyat walaupun berada di peringkat bawahan tetapi ia merupakan asas, 'foundation' terhadap jatuh bangunnya kerajaan.

Justeru, kita telah melihat bagaimana di dalam tahun 1997 apabila Indonesia runtuh akibat reformasi rakyatnya yang ingin pembaharuan dari Presiden Suharto.

Oleh itu, kuasa yang dikembalikan kepada rakyat ini sebenarnya bukan shaja penting, signifikan dalam kerajaan demokrasi, ia juga kuasa 'mediasi' berbanding entiti lain seperti entiti undang-undang kerana keputusan yg tepat bukan selalunya ada pada undang-undang atau entiti Sultan kerana ia bersendirian dan keputusan hanya pada seorang sahaja. Justeru itu, mediasi seperti ini 'rakyat' lah penghujung segala masalah di Perak.

Friday, May 8, 2009

Memahami & Menghormati Teori Pemisahan Kuasa

Dalam teori sistem Pemisahan Kuasa atau lebih dikenali Theory Separation of Powers, kuasa kerajaan demokratik dibahagi kepada tiga cabang iaitu Kuasa Eksekutif, Kuasa Legislatif dan Kuasa Judiciary.

Justeru, ketiga-tiga ini mempunyai ketinggian kuasa yang sama dimana salah satu tidak boleh melebihi salah satu cabang yang ada. Contohnya, kuasa eksekutif (kabinet, polis, tentera) tidak boleh menafikan atau melebihi kuasa legislatif (pembuat undang-undang) atau judiciary tidak boleh melebihi kuasa eksekutif dan legislatif serta sebaliknya.

Walaupun kita mempunyai ciri-ciri yang sama seperti model Westminster dimana ahli-ahli legislatif turut menjadi ahli-ahli Executive, namun pada asasnya ia berbeda memandangkan di UK ia mengamalkan Parliament Supremacy dimana Parliament boleh menafikan mana-mana undang-undang yang mereka rasakan tidak tepat. Berbanding Malaysia kita bounded dengan Perlembagaan Persekutuan sepertimana di ungkap di dalam Artikel 3, Perlembagaan Persekutuan iaitu Perlembagaan ini adalah undang-undang tertinggi di dalam negara.

Di dalam kes Dewan Undangan Negeri Perak, pencerobohan Polis (eksekutif) merupakan palit hitam dalam sejarah demokrasi di dalam negara ini. Kemarahan rakyat Malaysia khususnya di Perak hanya disiram lagi dengan api dan itu bukanlah jalan penyelesaian yang baik. Ahli-ahli dewan undangan negeri yang telah dipilih oleh rakyat tidak kira mereka parti mana (UMNO, PR) merupakan wakil rakyat yang telah dipilih melalui pilihanraya yang sah.

Tindakan mengasari dan polis menceroboh DUN Perak sebenarnya merupakan kesalahan sepertiman di dalam Mahkamah, hakim merupakan orang yang paling berkuasa justeru, polis perlu menerima arahan dari beliau sebelum apa-apa tindakan dapat diambil. Keputusan mengheret Speaker keluar dan menyingkirkannya dari kerusi Speaker hanya akan memberi persepsi negatif kepada rakyat Perak khususnya.

Artikel 36A (6) di dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak pula menunjukkan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri hanya boleh membuang Speaker apabila Speaker terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang berunsur keuntungan kepada diri beliau. Dan pastilah bukan dengan cara mengangkat tangan to remove Tuan Speaker.

Artikel 72 (1) Perlembagaan Persekutuan pula secara jelas (literal dan express) menyatakan bahawa Prosiding di dalam Dewan Undangan Negeri/Parlimen tidak boleh dicabar di dalam mana-mana Mahkamah bagi menunjukkan ketiga-tiga cabang ini berdiri setaraf. Justeru, pihak polis yang mana mereka bukan di pilih rakyat tidak seharusnya mengasari dan menceroboh Dewan Undangan Negeri walaupun mendapat kebenaran sesiapa pun.

Persoalan 'keselamatan' yang menghalalkan perbuatan polis masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri masih menjadi titik persoalan?

Persoalan itu hanya beliau sahaja yang boleh jawab kerana ia dibenarkan oleh beliau. Tetapi kesannya berpanjangan dan akan dipolemikkan lagi pihak satu lagi.

Sudah cukup negara ini berpolitik, masa terus berjalan PRU 13 akan dijadikan bukti dan alasan rakyat sepertimana di atas untuk menidakkan BN. Justeru, berhati-hati...

Tindakan ini walaupun tidak populis tetapi menyebabkan rakyat melihat wakil mereka telah dikasari. Seharusnya, penangguhan boleh dilakukan sehingga keputusan Mahkamah 11 Mei ini menentukan siapa MB akan terjawab?

Dengan cara ini konflik sepertimana di dalam DUN Perak boleh dielakkan.

Thursday, May 7, 2009

DUN Perak

Seperti apa yang di duga di dalam forum Perlembagaan Perak oleh Datuk Shafie Abdullah, DUN tersebut telah menjadi huru hara dan seolah-olah apa yang pernah dilihat di Taiwan dan Korea telah mula menjalar ke dalam Dewan Parlimen Malaysia (DUN Perak). Sangat memalukan tetapi penulis tidak mahu komen panjang memandangkan akan ada ramai rakan2 bloggers yang akan panjang berlebar menyokong dan menolak perkara seperti ini berlaku.

Bagi penulis, ia bukan lagi persoalan institusi raja, kedaulatan undang-undang yang di'bakul sampah'kan malahan ia melibatkan juga ketirisan moral ahli-ahli Dewan Undangan Negeri semua.

Walau apa pun yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya.

Analisis Ucapan Dato Saifudin Abdullah




Pada 7hb Mei 2009, Dato Saifuddin membuat lawatan kerja ke USIM dan berdialog dengan pemimpin mahasiswa.

Penulis mengenali Dato Saifuddin sebagai seorang yg simple dan pemimpin politik yang 'bekerja'. Beliau pernah menjadi pembentang kerta kerja berhubung AUKU ketika penulis menjadi pengarah Persidangan Mahasiswa Undang-Undang Kebangsaan. Walau pun ketika itu, beliau telah bergelar Dato, beliau telah drive sendiri dengan isterinya ke UUM untuk menyampaikan kertas kerja tersebut dengan penginapan yang tak seberapa dan honorarium yang tak sampai RM500 sebagai saguhati membentas kertas tersebut.

Dalam ucapan beliau tadi, beliau menekankan peri pentingnya menghayati budaya ilmu. Menjelaskan berhubung prinsip budaya ilmu iaitu dengan meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat paling tinggi. Mennuntut dan berkongsi ilmu yang dicari dan bertindak berasakan dengan ilmu yang ada.

Justeru, belaiu memahami permintaan orang muda tidak besar iaitu mahu suara mahasiswa di dengar oleh kerajaan. Mengingini pandangan mahasiswa diiktiraf. Kesemua ini dapat dilakukan dengan memahami mahasiswa bukan sahja perlu diakui pemimpin masa depan bahkan pemimpin hari.

Perbincangan

Penulis pernah menceritakan bagaimana suara orang muda pada hari ini menyebabkan kerajaan di tolak. Penulis percaya jika ada 10 orang seperti Dato Saifuddin Abdullah dan Dato Mustapa Mohamad, BN boleh dan akan kekal memimpin Malaysia.

Penulis yakin dan percaya mahasiswa atau pemimpin mahasiswa tidak mempunyai apa-apa 'self interest' dalam menyuarakan dan melontarkan pandangan. Lihat saja isu yang cuba diketengahkan supaya adalah menjadikan ia lebih telus dan adil. Persoalan nasional dan kampus dibuat berasaskan pandangan dan melihat situasi dan suasana di kampus luar dan negara luar. Ini bermakna mahasiswa membuat analisis sebelum menyampaikan atau melontarkan pandangan dan pendapat.

Berapa ramai pemimpin mahasiswa hari ini yang menyelami jiwa kampus...

Dato Saifuddin Abdullah

Dato' Seri Ahmad Shabery Chik

Mereka ini jiwa tulin pemimpin mahasiswa di kampus. Justeru apabila diletakkan sebagai Menteri atau Timbalan Menteri Pengajian Tinggi mereka akan lebih menjiwai suasana kampus dan mahasiswa serta tidak berasa kekok untuk berjumpa pemimpin mahasiswa.

Justeru, penulis yakin orang yang boleh menjiwai KPT adalah mereka yang pernah berada dan membuat kerja-kerja kemahasiswaan sebelum ini. Carilah permata tersebut di antara menteri2 yang ada ketika ini di dalam kabinet.

Wednesday, May 6, 2009

Jadikan Budaya - Hadiah Buku

Perangkaan Perpustakaan Malaysia pada tahun lalu menunjukkan ratio seorang rakyat Malaysia ketika ini adalah sebuah buku setiap bulan. Petunjuk ini jauh lebih baik beberapa tahun yang lalu di mana seorang rakyat Malaysia hanya membaca 3 helai mukasurat setiap bulan. Walau pun begitu ia jauh lebih tertinggal di belakang dari statistik negara maju yang lain seperti Perancis, UK, Jepun dan sebagainya.

Anak-anak di Malaysia tidak di didik untuk berbelanja untuk buku tetapi kita di'mewah'kan membeli handphone, dan barangan elektronik yang lain. Beberapa banyak pula mahasiswa di IPTA mempunyai akses untuk membeli majalah yang tinggi nilai akademia nya di kampus. Penulis terkesan dengan ucapan peghargaan seorang blogger kepada Pn Ainon, di universiti terbuka PTS dimana beliau berbelanja hampir RM300 untuk anak-anak kecilnya bagi membuat sebuah library khas untuk anak kecil mereka.

Penulis ingin panjatkan kesyukuran ini juga kerana ibu bapa penulis mengajar penulis diwaktu sekolah rendah dan tadika dengan dewan pelajar. Setiap bulan, mereka memastikan dewan pelajar dibeli dan dibaca untuk hadman kami adik beradik. Mungkin ada segelintir ibubapa yang jauh lebih baik mendidik anak mereka menggunakan buku diwaktu kecil. Tetapi berapa ramai?

Seharusnya budaya membaca dan menghadiahkan buku menjadi darah daging kita. Tetapi kita lebih suka memberi barang perhiasan dan sebagainya. Perkara-perkara menghadiahkan dan menganugerahkan pelajar dan orang lain tidak akan merugikan malahan ia merupakan satu pelaburan bagi meningkat kefahaman dan menambahkan ilmu dan penting apabila berhujah.

Harapan penulis biar lah budaya ini menjadi intipati penting agar kita dapat membangunkan bangsa dan budaya.

Kenapa kita Bangsa Melayu yang melayuuuu?

Persoalan ini penulis ingin lontarkan kepada semua yag merasakan diri mereka orang Melayu. Konotasi di dalam Perlembagaan Persekutuan telah dibuat secara 'general' dan merangkumi beberapa aspek yang teramat longgar. Walau pun begitu, istilah melayu ini tidak pernah dicabar oleh mana-mana perseorangan walau pun perdebatan yang cukup hebat berlaku di luar.

Penulis cukup kesal dan kecewa apabila bekerja dalam kelompok bangsa sendiri. Penulis telah pernah bekerja dengan firma guaman kepunyaan bangsa asing, firma guaman melayu, di Perodua dan di SSM. Kepelbagaian pekerjaan dan rakan-rakan membentuk penulis agar menjadi lebih terbuka dan liberal sebagai anak Malaysia. Bukan penulis menyisihkan bangsa sendiri atau lebih tepat orang Islam tetapi melayu kita yang buat kita terus di pandang hina oleh bangsa asing.

Perhatikan di sektor kerajaan yang hampir 90% orang melayu, kerja macam tak kerja. kejap ada kejap tiada. Bandingkan pula di sektor swasta dan persendirian dimana bangsa asing bekerja. Mereka tekun bekerja. Persoalan eksploitasi dan penindasan dimana-mana berlaku.

Penulis segan dan malu untuk menyatakan kita perlu menolong bangsa kita dahulu dalam memilih kerja dengan kerajaan. Apakah bangsa asing tidak perlu dibantu jika kelayakan mereka ada dan kerja mereka lebih baik dan bagus berbanding orang kita. Bukankah mereka orang Malaysia juga. Persoalan ini harus dilebarluaskan... Di sini lah kita dapat lihat ketidakseimbangan terhadap bangsa-bangsa lain masih belum ada.

Kita bukan berada di Tanah Melayu, bumi ini milik rakyat Malaysia yang inginkan negara nya maju setaraf dengan negara maju di luar. Kalau begini bangsa kita mentadbir institusi kerajaan, kita risau akan negara kita. Kita berkira apabila pukul 5.00 petang untuk balik ke rumah. Pernah kah terdetik di hati untuk bekerja lebih sedikit masa yang ada demi menyelesaikan kerja yang ada tanpa menunggu esok.

Orang memerhatikan kita dan memahami negara ini bukan milik sebuah bangsa. Harapannya, bangsa Melayu kita tidak akan terus melayu di bumi sendiri...

Malam Perdan Siswa Acacia Avenue


Malam tadi penulis menghadiri Malam Perdana Siswa Kolej Kediaman Acacia selaku penasihat. Alhamdulillah, akhirnya program tersebut berlangsung dengan baik dengan kehadiran Dato VC selaku Perasmi.

Walau pun kami berhadapan dengan limitasi masa namun sokongan JAKSA khususnya membuatkan program ini berjaya. Penulis percaya ahli jawatankuasa akan mendapat manfaat besar dari program ini walaupun penulis tidak akan lama bersama mereka.

Moga Acacia terus maju dihadapan dengan jaya nya. Doa sentiasa diiringi bersama-sama mereka.

Monday, May 4, 2009

PhD atau Profesor lebih penting...

Persoalan ini pernah ku lontarkan kepada Dr Nordin Kardi berhubung adanya segelintir pensyarah UUM yag gagal apabila dihantar menyambung pelajaran ke peringkat PhD. Persoalannya perlu dan kenapa?

Jarang-jarang di negara ini Profesor mendapat title tersebut tanpa ada PhD. Antara segelintir yang penulis ingat nama nya Prof. Maimunah, di Fakulti Perniagaan UiTM dimana penulisan beliau banyak tertumpu kepada Industrial Relations in Malaysia. Penting untuk kita melihat ketinggian ilmu itu bukan sebanyak mana kita lahirkan PhD graduates tetapi bergantung juga bagaimana olahan ilmu itu dibuat dan diteroka.

Persoalan PhD ini sebenarnya menjumudkan daya pemikiran dan ketinggian ilmu sesorang. Ini kerana PhD ketika ini hanya menumpukan satu bidang sahaja seadnagkan di dalam konsep ilmu Islam ia mencapah sebab itu tidak heran kalau dulu para ilmuwan Islam bukans sahaja hafiz Quran malahan menguasai pelbagai ilmu seperti astronomi, perubatan, falsafah dan sebagainya.

Oleh itu, apabila ilmu ini tidak dicerakinkan sepertimana yang telah dibuat di dalam Islam maka kepakaran sesorang itu hanya terhad dalam sesuatu bidang sahaja.

Ketika ini, kita menjadi kagum apabila sesorang itu mempunyai double degree dalam pengajiannya. Sedangkan perkara ini telah dipraktikkan lama dahulu. Contohnya, seorang kenalan penulis ketika berkunjung di UK dahlu mempunyai degree dalam bidang engineering dan accounting.

Dr. Nordin Kardin mempunyai double degree di dalam bidang Psikologi dan Ekonomi.

Orang sebegini lah yang perlu kita lahirkan dalam merakyatkan ilmu yang ada demi membangunkan negara. Malangnya budaya Malaysia, Profesor di anugerahkan kepada sesiapa yang terlibat dalam bidang pengurusan even buku-buku yang dihasilkan pun ciput cukup-cukup kelayakan untuk dapat title Prof. Apa sumbangan kepada masyarakat? Apa sumbangan kepada negara yang melayakkan beliau untuk diberi gelaran Prof? Persoalan-persoalan ini lah perlu diangkat ketika menemuduga Profesor bukan sebab kawan dan kesenangan semata-mata.

Long Call Kawan di Mahkamah Tinggi Shah Alam

Semalam penulis menghadiri log call kawan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Elena dan Mages adalah dua kawan 'baru' penulis di UKM. Mereka berdua adalah graduan undng-undang UKM yang secara kebetulan menyambung Master di UKM bersama-sama penulis. Kami berkongsi makanan ketika waktu rehat kelas bagi Medical Law dan Legal Research. Pada masa yang sama, mereka merupakan pelatih di dalam kamar. Bagi Elena gadis kacukan Cina dan Sabah ini, menjadi pelatih di dalam kamar di Tetuan Hafarizam & Co, Penasihat Undang-Undang UMNO. Manakala Mages pelatih di dalam kamar sebuah firma guaman di Kajang, walau bagaimana pun beliau telah mendapat kerja sebagai Peguam Persekutuan di Kementerian Kerja Raya sejak 1 April yang lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 6, Hakim Su sangat bagus nasihat yang diberikan kepada bakal peguam yang didaftaraikan. Antara kata-kata beliau profesion ini bukan noble bukan disebabkan profesion ini semata-mata tetapi ahli-ahli nya yang menjadikan ianya 'noble profesion'. Sekiranya peguam bersifat amanah pada kerjanya, tingkahlakunya, maka itulah yang meyebabkan profesion tersebut menjadi noble katanya.